SOALAN:
Apakah wanita haid boleh berada di dalam masjid untuk tujuan belajar?
JAWAPAN:
Wanita haid dan nifas yang masih belum kering darahnya dan belum mandi hadas begitu juga lelaki; atau perempuan yang dalam keadaan junub dan masih belum mandi wajib, TIDAK BOLEH berada diam di dalam masjid dengan apa tujuan sekalipun. Bahkan perbuatan itu adalah haram di sisi empat mazhab yang muktabar.
Al Jaziri dalam kitab al fiqh 'ala al mazahib al arba'ah menyatakan sepakat 4 mazhab:
إنه لا يصح الاعتكاف من الحائض والنفساء
Maknanya: tidak sah i'tikaf (diam dalam masjid) di kalangan wanita haid dan nifas.
HUJAH:
Terdapat 2 dalil yang dipegang dalam hal demikian:
1) al-hadith li Ibn Abd al Wahhab
في المُعتَكِفاتِ إذا حِضْنَ: أمَرَ رسولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ بإخْراجِهنَّ مِن المسجِدِ، وأنْ يَضرِبْنَ الأخْبِيَةَ في رَحَبةِ المسجِدِ حتَّى يَطْهُرْنَ.
Maknanya: wanita-wanita yang beri'tikaf apabila datang haid, Baginda saw menyuruh mereka keluar dari masjid, dan mereka mendirikan khemah di tepi-tepi masjid sehingga mereka bersuci (kering dari darah dan mandi hadas).
2) sunan Abi Dawud daripada A'isyah ra:
جاء رسول اللهِ صلى الله عليه وسلم ووجوه بيوت أصحابه شارعة في المسجد فقال وجهوا هذه البيوت عن المسجد ثم دخل النبي صلى الله عليه وسلم ولم يصنع القوم شيئا رجاء أن تنزل فيهم رخصة فخرج إليهم بعد فقال وجهوا هذه البيوت عن المسجد فإني لا أحل المسجد لحائض ولا جنب
Maknanya: Baginda saw datang dan melihat muka pintu rumah para Sahabat ra menghadap ke masjid. Lalu Baginda bersabda: "Palingkan rumah-rumah ini dari masjid" kemudian Baginda masuk (ke dalam masjid) dan mereka tidak melakukan apapun kerana mengharapkan ada ayat yang turun memberi keringanan. Apabila Baginda keluar selepas itu, Baginda bersabda lagi sekali: "Palingkan rumah-rumah ini dari masjid sesungguhnya aku tidak membenarkan masjid bagi wanita haid dan orang yang berjunub".
ISU BERBANGKIT:
Soalan yang mungkin timbul di kalangan wanita kini, apakah dengan adanya tuala wanita pada zaman ini yang boleh menahan dari kebocoran hukum berkenaan boleh berubah kepada harus?
Jawapannya, TETAP TIDAK BOLEH kerana illah dalam menyatakan darah haid mungkin akan jatuh ke lantai masjid terbatal dengan riwayat Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim bahawa para isteri Nabi saw meletakkan wadah (bekas) di bawah kaki isteri yang sedang solat tetapi keluar darah istihadah. Perlakuan mereka ini berlaku di dalam masjid.
Jelas pengharaman itikaf wanita haid bukanlah berpunca daripada wanita itu sendiri iaitu mungkin darahnya mencemarkan masjid tetapi sebagai menjaga kehormatan dan kemuliaan rumah Allah itu sendiri. Min bab ikram buyutillah.
PANDANGAN KONTRA:
Imbangan bagi pandang ini adalah dari mazhab al Zahiri yang memegang kaedah asal adalah harus, selagi tiada dalil yang mengharamkan maka hukum asal adalah harus. Harus wanita haid dan nifas beritikaf dalam masjid. Adapun 2 dalil di atas mereka anggap berstatus lemah tidak boleh dijadikan hujah.
HUJAH BALAS:
Bagi menjawab pandangan mazhab al Zahiri perlulah dilihat dari aspek riwayat hadis kerana kedua-dua hadis dianggap lemah statusnya.
Hadis pertama:
- Kitab al-Hadith li Ibn Abd al-Wahhab, Muhammad bin Abd al-Wahhab mengatakan isnadnya jayyid (bagus).
- Kitab al-Mughni, Ibn Qudamah mengatakan isnadnya jayyid.
Hadis kedua:
- Kitab al-Badr al-Munir, Ibn al-Mulaqqin mengatakan hasan kerana perawinya thiqqah dan memiliki syahid.
- Kitab Nasb al-Rayah, al-Zaila'i mengatakan hasan.
- Kitab al-Sayl al-Jarar & Nayl al-Awtar, al-Syawkani mengatakan sahih dan memiliki syawahid.
Jelas, status hukumnya adalah Sahih dan Hasan yang layak dijadikan hujah bagi hukum dalam isu-isu yang berkaitan fiqh.
SISIPAN:
Walau bagaimanapun wanita haid dan nifas masih boleh mengunjungi masjid untuk menghadiri aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid. Ini kerana hukum yang dibincangkan di atas adalah berkisar keberadaan mereka di ruang solat khusus sahaja. Atau kata mudahnya ruang solat yang berkarpet.
Adapun ruang lain dalam masjid seperti dewan, kedai, ruang aktiviti, kantin, balkoni dan sebagainya tiada larangan untuk wanita haid dan nifas untuk diami. Apatah lagi perbincangan ini tidak meliputi tempat-tempat yang selain masjid seperti madrasah, ruang solat di pasaraya dsb.
Hadis pertama menunjukkan semangat wanita di zaman Nabi untuk beri'tikaf pada bulan Ramadan namun dengan kedatangan haid mereka mendirikan khemah-khemah kecil untuk di tepi-tepi masjid dan tunggu mereka sehingga suci.
KESIMPULAN:
Dalam kesimpulan ini saya memilih 2 perkara:
PERTAMA: kalam Syaikh Daud al-Fathoni al-Syafi'i, seorang tokoh ulama Tawhid, Fiqh dan Tasawuf Nusantara ini dari kitab beliau yang masyhur, Furu' al-Masa'il:
"Tetap dihukum haram ke atas perempuan yang kedatangan haid masuk ke dalam masjid walaupun dia berkeyakinan darahnya tidak akan menitis ke lantai masjid".
"Berlainan dengan bangunan madrasah ataupun tempat belajar agama maka tidaklah haram kecuali apabila dia yakin akan mengotorkan tempat itu dengan darah haidnya maka ia adalah diharamkan".
KEDUA: Warta dari majlis fatwa negeri selangor tentang pengharaman wanita haid dan nifas berada diam dalam masjid sekalipun dengan niat belajar. Lihat lampiran.
-Khuwaydim al-Quran-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan