💊💊💊💊💊💊💊💊💊💊
Fiqh al-Hayat : Tugas Hakiki
📚📚📚📚📚📚📚📚📚📚
Manusia dengan kesibukan dunianya menjadikan hakikat penciptaan dirinya semakin sirna dan hampir lenyap dari penglihatan mata sekalipun celik.
Buaian duniawi yang mendodoi sambil didendang irama rentaknya sukar untuk mata itu melawan.
Alangkah indahnya jika 3 alasan ini sentiasa bermain di dalam fikiran dan jiwa, bagi melawan kembali sapuan angin dunia yang kelihatan lembut tetapi sangat ampuh tarikannya.
SATU: KITA DICIPTA HANYA UNTUK BERIBADAH
Firman Allah swt :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
[Surat Adh-Dhariyat 56]
"Dan tidaklah Daku menciptakan manusia dan jin itu melainkan agar mereka beribadah kepada Ku".
DUA: KITA DIPERINTAH HANYA UNTUK BERIBADAH
Firman Allah swt :
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ
[Surat Al-Bayyinah 5]
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat".
TIGA: KITA DIBENARKAN SEHARI SEMALAM HANYA UNTUK BERIBADAH
Riwayat al-bukhari dan Muslim:
قال النبي صلى الله عليه وسلم ففرض الله عز وجل على أمتي خمسين صلاة
"Sabda Nabi saw, lalu Allah azzawajalla memberi perintah kefarduan ke atas umatku sebanyak 50 kali solat".
Perintah 50 kali ini memberi gambaran pada asalnya bahawa kita manusia ini hanya disuruh untuk solat sepanjang siang dan malam harinya.
Tidak ada pekerjaan lain yang dibenarkan untuk dilakukan selain itu.
Jika ini dilaksanakan pasti urusan makan minum akan disediakan oleh Allah satu persatu tanpa usaha manusia.
Tempat tinggal pun akan disediakan dengan iradat dan kudrat Ilahi.
Celik mata terus ambil wuduk untuk solat, selepas itu solat lagi dan terus solat sehingga selesai 50 waktu sehari semalam dan pejam mata malamnya untuk tidur. Begitulah kehendak asal Sang Pencipta yang Maha Memiliki dan Menentukan.
Lalu, dengan asbab kelemahan anak Adam ini dan rahmat Allah swt yang melimpah ruah menjadikan solat 50 kali kepada 5 kali sahaja.
Walhal setiap satu kali waktu ini pun masih mewakili 10 waktu yang asalnya. Maka genaplah 50 kali juga secara maknawinya.
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا ۖ
[Surat Al-An'am, 160]
"Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya".
🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺🌺
-Khuwaydim al-Quran-
7 September 2019
Tiada ulasan:
Catat Ulasan