Jumaat, 24 Oktober 2008

ANTOKIA - kisahmu sering disebut

Sedar Tak Sedar

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahhuakbar. Satu kisah yang sering kita umat Islam menyebut-nyebutnya di malam Jumaat, tapi tidak tahu perjalanan peristiwa yang menyentuh jiwa agama ini, lantaran kerana tidak sedar akan kewujudannya dalam helaian sejarah perjuangan umat yang menyembah Ilahi yang Maha Esa. Kisahnya tercatat dalam himpunan cerita-cerita al-Quran.

Sejarahnya penuh dengan; sifat kebertanggungjawaban, amanah dengan risalah Ilahi, korban jiwa dan raga, berani pada yang hak, bersatu dengan tali Allah, kesatuan gerak kerja, berpegang aqidah yang tulus dan mantap, keyakinan yang tinggi, tawakkal yang jitu, kefahaman yang jelas, keikhlasan yang tinggi, tidak takut dengan ancaman, dan tidak terasa dengan cacian.

Kisah Pelajaran Untuk Kita Semua

Sebuah kampung atau negeri yang terkenal dengan nama Antokia, kisah kehidupan penduduknya telah dirakam oleh Allah dalam surah Yasin. Ianya terletak di selatan Turki, hampir dengan negara Syria menjadi sejarah yang agung bagi penganut agama Masihi kerana di sana masih terdapat kesan peninggalan sejarah agama mereka.

#Firman Allah swt :
(( واضرب لهم مثلا أصحاب القرية إذ جاءها المرسلون ))
Maksudnya : "Dan buatlah satu perumpamaan untuk mereka (untuk kaum engkau wahai Muhammad yang mendustakanmu), penduduk kampung yang didatangi utusan-utusan".

Semua ulama Tafsir mengatakan penduduk negeri itu ialah Antokia. Dulunya dia terkenal dengan nama Antioch. Mengikut pendapat Ibn Abbas ra dan kebanyakan ulama, orang yang diutuskan itu adalah sahabat Nabi Isa as, mereka diutus untuk menetapkan ajaran risalah Nabi Isa as di negeri tersebut.

#(( إذ أرسلنا إليهم اثنين فكذبوهما فعززنا بثالث فقالوا إنا إليكم مرسلون ))
Maksudnya : "(Ingatlah) ketika Kami utuskankan kepada mereka dua orang utusan lalu mereka mendustakan dua orang tersebut. Kemudian Kami kuatkan dengan (diutuskan) utusan yang ketiga (pula), maka ketiga-tiga utusan itu berkata : 'Sesungguhnya kami adalah orang yang diutuskan kepada kamu semua'."

Sepertimana yang dipetik dari kata Ibn Ishak dari Ibn Abbas ra, Ka'ab al-Ahbar ra dan Wahab bin Munabbih ra : Di dalam negeri tersebut, terdapat seorang raja yang bernama Antikhas bin Antikhas. Dia serta rakyatnya menyembah berhala. Lalu dengan perintah Allah swt, Nabi Isa as mengutuskan dua orang sahabatnya kepada mereka. Tapi, malangnya mereka terlalu cepat mendustakan utusan tersebut. Kemudian dikuatkan kumpulan utusan itu dengan seorang lagi utusan yang lain menjadikan mereka seramai tiga orang.

Seperti utusan-utusan ilahi yang lain, mereka menyeru penduduk negeri tersebut untuk menyembah Allah swt yang telah menciptakan mereka, meninggalkan amalan penyembahan patung-patung berhala yang tunggul itu. Namun ajakan itu disertai dengan ejekan. Berlaku beberapa perdebatan di antara mereka.

# (( قالوا ما أنتم إلا بشر مثلنا وما أنزل الرحمن من شيء إن أنتم إلا تكذبون ))
Maksudnya : "Mereka menjawab : 'Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah pendusta'."

Kata-kata mereka : "...Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun..." bukti menunjukkan bahawa mereka tahu akan kewujudan Allah akan tetapi mereka ingkar dengan Risalah Kenabian, dan menyembah patung-patung yang dianggap sebagai perantara kepada Allah. Tetapi Allah Maha Suci dari apa yang mereka ada-adakan.

Mereka tidak dapat menerima mengapa Risalah Kenabian ini dibawa oleh manusia seperti mereka juga yang ada sifat makan dan minum, berjalan ke pasar, berkahwin, beranak-pinak dan sebagainya. Mereka mahukan orang yang risalah ini mestilah orang yang pelik dari orang lain, yang bersifat dengan sifat-sifat yang ganjil dan aneh tidak seperti kebiasaan orang ramai.

Kemudian mereka dijawab seperti demikian:
# (( قالوا ربنا يعلم إنا إليكم لمرسلون # وما علينا إلا البلاغ المبين ))
Maksudnya : "Mereka berkata : 'Tuhan kami mengetahui bahawa kami adalah orang yang diutus kepada kamu # Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas'."

# (( قالوا إنا تطيرنا بكم لئن لم تنتهوا لنرجمنكم وليمسنكم منا عذاب أليم ))
"Mereka menjawab : 'Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, jika kamu tidak berhenti dari kerja (menyampaikan risalah) ini nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti merasa siksa yang pedih dari kami'."

Ajaran yang dibawa utusan itu dirasakan seperti menyekat kebebasan yang telah lama mereka kecapi, melawan arus nafsu kehidupan yang telah lama mereka rasakan. Lantas utusan ini dianggap sebagai orang yang memecah-belahkan masyarakat mereka kerana ada sebahagian mereka yang dilembutkan hati mereka oleh Allah swt mengikuti ajaran tersebut.

# (( قالوا طائركم معكم أئن ذكرتم بل أنتم قوم مسرفون ))
"Utusan-utusan itu berkata : 'Nasib malang itu adalah disebabkan kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami pula)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas'."

Perjuangan

# (( وجاء من أقصا المدينة رجل يسعى قال يا قوم اتبعوا المرسلين # اتبعوا من لا يسئلكم أجرا وهم مهتدون ))
"Dan telah datang dari hujung kota seorang lelaki dengan berlari, lantas berkata : 'Wahai kaumku ikutlah (ajaran) utusan-utusan itu # Ikutlah orang yang tidak meminta apa-apa ganjaran upah dari kamu dan mereka adalah orang yang diberi petunjuk'."

Seorang lelaki apabila terdengar sahaja kedatangan tiga utusan itu ke kotanya yang datang dengan mempercepatkan langkah jalannya itu bernama Habib bin Mura seorang tukang kayu dihujung kota. Dia seorang yang suka bersedekah. Datangnya itu dengan niat ingin menolong kumpulan risalah kenabian ini dengan menyeru kaumnya :

# (( وما لى لا أعبد الذى فطرنى وإليه ترجعون # ءأتخذ من دونه ءالهة إن يردن الرحمن بضر لا تغن عنى شفاعتهم شيئا ولا ينقذون # إنى إذا لفى ضلال مبين # إنى ءامنت بربكم فاسمعون ))
"Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku, dan kepadaNyalah kamu (semua) akan dikembalikan # Patutkah aku menyembah tuhan selain dariNya? Jika (Allah) Yang Maha Pemurah mengehendaki mudarat kepadaku nescaya syafaat mereka (tuhan selain dari Allah) tiada memberi apa-apa faedah sikitpun untukku dan tidak dapat menyelamatkanku # Sesungguhnya aku kalau begitu (kalau menyembah juga tuhan selain dari Allah) pasti berada dalam kesesatan yang nyata # Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu (utusan-utusan tadi) maka dengarlah pengakuan keimananku'."

Diriwayatkan oleh Ibn Abbas ra, Kaab ra dan Wahab ra bahawa apabila lelaki itu berkata dengan kata-kata demikian di hadapan kaumnya dia disambar dan dicampak kemudian dibunuh. Tiada seorangpun yang ingin menolongnya.

Dalam nukilan yang lain dia direjam dengan batu oleh kaumnya dan dikeluarkan kerongkongnya. Tetapi dia tidak putus-putus berdoa : "Ya Allah ya Tuhanku! Berilah petunjuk untuk kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak tahu", sehinggalah dia mati syahid.

#(( قيل ادخل الجنة قال ياليت قومى يعلمون # بما غفرلى ربى وجعلنى من المكرمين ))
"Dikatakan (kepadanya) : 'Masuklah ke syurga'. Ia berkata : 'Alangkah baik sekiranya kaumku mengetahui # Apa sebab Tuhanku mengampunkanku dan memasukkanku ke dalam golongan orang yang mulia'."

Di saat dia meninggalkan dunia, malaikat mengunjunginya sambil menyampaikan bahawa Allah telah mengampuni dosanya dan dia akan dimasukkan syurga. Dia mendapat nikmat sepertimana yang dijanjikan Allah kepada mereka yang berjuang di jalanNya.

Pejuang di jalan Allah tidak kira samada dia seorang tukang kayu, seorang nelayan, petani, pegawai kerajaan, cikgu, usahawan, doktor, menteri atau lain-lain. Sesiapa saja yang pernah mengucapkan kalimah لا إله إلا الله محمد رسول الله maka dia seorang penda'i. Dia bertanggungjawab terhadap agamanya, membelanya ketika ia lemah, mempertahankannya ketika ia diserang, menangkis tohmahan terhadapnya, menyebarkan intipatinya pada orang lain, menghayati dan mengamalkannya untuk dirinya, keluarganya, masyarakatnya, negaranya dan dunianya.

Bukanlah penghuni syurga itu tiketnya terdiri dari mereka yang mendalami ilmu Usuluddin, Syariah, Qiraat, Tafsir, seorang imam, tok kadi, ustaz atau ustazah. Tetapi tiketnya ada pada orang yang mengambil Risalah Kenabian ini dengan sentuhan hati nuraninya. Dia berjalan di atas muka bumi ini dengan cahaya Tuhannya, dia tampak hidup bersama dengan manusia lainnya tapi hatinya bersama dengan makhluk-makhluk Allah yang suci di atas sana, dia sungguh-sungguh bersandar kepada sumber kehidupan dari Tuhannya, dan yang pastinya dia tidak membiarkan agamanya hanya sekadar di atas namanya. Bahkan seorang pecacalpun boleh dimasukkan ke dalam syurga jika dia seorang benar-benar hamba kepada Tuhannya.

Kita tidak akan ditanya adakah kita berjaya dengan dakwah kita, tapi kita akan ditanya adakah kita menjalankan dakwah Islam itu...

Selasa, 21 Oktober 2008

I'JAZ HUKUM TAJWID 1 (sambungan 2)

Kita masih membincangkan i'jaz dari segi hukum Izhar yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran bagi mencari lebih lagi kefahaman tentang i'jaz ini sehingga kita benar-benar yakin dan memahami dari sudut itu.

Contoh Lain

1) Firman Allah swt : (( وإذا سألك عبادى عنى فإنى قريبٌ أجيب دعوة الداع إذا دعان )) al-Baqarah ayat 186.
Maksudnya : "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat, Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu".

Tidak terdapat jurang, kelapangan atau dengung di antara قريب dan أجيب kerana selepas tanwin tersebut terdapat salah satu dari huruf Halqi (pernah dibincangkan sebelum ini) iaitu Hamzah(ء), menunjukkan cepatnya Allah memakbulkan doa hamba-hambanya.

2) (( وما يستوى البحران هذا عذبٌ فراتٌ سائغٌ شرابه وهذا ملحٌ أجاج )) surah Faatir ayat 12.
Maksudnya : "Dan tiada sama (antara) dua laut ; yang ini tawar, segar, dan sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit".

Kita dapati pada ayat ini, bahawa air yang tawar, segar dan sedap diminum itu datang dengan bentuk tanwin yang mempunyai dengung, memberi makna ia mempunyai tempoh masa rehat ketika menikmati air yang segar dan sedap diminum ini.

Adapun air yang masin itu datang dengan bentuk tanwin tanpa dengung menunjukkan segera, ketika minum air ini pasti cepat-cepat menolaknya kembali sebab ianya terasa masin di lidah.

3) (( هو الذى أنزل عليك الكتاب منه ءايات محكماتٌ هن أم الكتاب )) surah Ali 'Imran ayat 7.
Maksudnya : "Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamat (ayat-ayat yang terang dan tegas maknanya, dapat difahami dengan mudah) itulah pokok-pokok isi al-Quran..".

Tidak terdapat dengung atau kelapangan di antara tanwin محكمات dan هن kerana ia adalah perkara qat'i (sesuatu yang telah jelas dan tidak boleh dibahaskan), ayat muhkamat adalah tempat rujukan yang dikembalikan ayat yang mutasyabihat (ayat yang mengandungi beberapa makna dan tidak dapat ditentukan yang mana maknanya lebih tepat, hanya Allah yang mengetahui) kepadanya.

Penutup

Sekian saja, keterangan ilmiah yang boleh dikongsi berkenaan i'jaz dari sudut hukum Izhar. Selain dari contoh-contoh yang telah disebut di atas dan artikel sebelum ini, terdapat banyak lagi contoh-contoh ayat yang membenarkan penelitian ilmiah ini. Cuma di sini saya memuatkan sebahagian dari contoh-contoh ayat tersebut. InsyaAllah, di masa yang lain akan saya kemukakan i'jaz dari sudut hukum yang lain pula.

Isnin, 13 Oktober 2008

AL-QURAN : ORANG YANG BERHADAS KECIL, JUNUB DAN HAID

Menghilangkan Kesamaran

Dengan nama Allah, pada kali ini saya ingin mengutarakan perbincangan para ulama berkenaan orang yang berhadas kecil dan besar terhadap Mashaf al-Quran. Seringkali pertikaian ini berlaku dikalangan mereka yang menuntut dalam bidang pengkhususan al-Quran sehingga menimbulkan beberapa pecahan kumpulan dalam hal ini. Cumanya kadangkala mereka berpegang dengan pendapat yang dipegang oleh tenaga pengajar mereka sendiri tanpa mereka ketahui perkara sebenar pandangan ulama dalam hal ini dan kemungkinan berlaku pegangan mereka terhadap pendapat yang lemah serta mungkin pendapat yang tidak ada dipegang oleh seorang ulama pun.

Maka pada artikel kali ini dapat memberi sedikit gambaran bagi menjelaskan sesuatu yang samar terhadap kes ini.

Perbincangan

Permulaannya, kita kena ketahui bahawa kes ini terpecah kepada dua sudut, iaitu :
1) Orang yang berhadas kecil dan besar dari sudut membaca al-Quran.
2) Orang yang berhadas kecil dan besar dari sudut menyentuh Mashaf al-Quran.
Dari kedua sudut ini akan ada sedikit pecahan kecil yang akan saya selitkan di bawah kelompok perbincangan masing-masing.

Sudut Membaca al-Quran

Bagi yang berhadas kecil : Harus, dengan Ijma' (kesepakatan) ulama. Begitu juga boleh untuk melihat Mashaf sepertimana juga harus bagi kanak-kanak untuk menyentuh al-Quran bagi proses pembelajaran kerana mereka tidak mukallaf lagi (mukallaf dengan makna yang telah dipertanggungjawabkan ke atas bahunya dosa dan pahala bagi setiap perbuatannya).
Namun berwuduk adalah lebih baik.

Bagi yang berjunub, haid dan nifas : Harus, ketika proses pembelajaran kerana hajat yang bersangatan dan ketika dengan niat berdoa, berzikir, memuji, memulakan pekerjaan, untuk berlindung, berubat atau dalam keadaan tidak sengaja. Harus juga untuk membaca bacaan yang ringan seperti Basmalah, Hamdalah, al-Fatihah, ayat Kursi, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas dengan niat zikir (ini syarat bagi mazhab Hanafi dan Syafie) berdasarkan dalil dari Aisyah ra berkata : "Bahawa Nabi saw sentiasa berzikir di setiap ketika".

Adapun selain dari sebab di atas maka ia diharamkan oleh mazhab Hanafi dan Syafie berdasarkan dari dua dalil seperti berikut :
1 - Sabda Nabi saw : "Orang yang berjunub dan haid tidak boleh membaca sesuatu dari al-Quran".
2 - Dari Ali ra : "Adalah Rasulullah saw membacakan kepada kami al-Quran di setiap keadaan selagi Baginda tidak dalam keadaan berjanabah".

Adapun bagi mazhab Hanbali : Harus, bagi bacaan sebahagian ayat yang tidak panjang kerana tidak berlaku i'jaz pada ayat yang tidak panjang. Begitu juga harus mengeja ayat al-Quran, melihat ayat al-Quran atau membaca dengan keadaan senyap tanpa suara adalah harus dalam semua keadaan itu.

Dan bagi mazhab Maliki : Harus, membaca al-Quran dengan kadar sedikit selagi darah masih keluar. Adapun keadaan diantara setelah kering darah dan sebelum mandi adalah haram.

*Nota : Sepakat ulama :
1) Tidak mengharamkan untuk melihat ayat al-Quran bagi orang yang berhadas kecil mahupun hadas besar.
2) Seorang Hafizah (perempuan yang menghafal al-Quran) yang kedatangan haid dan nifas boleh mengulang al-Quran kerana hajat yang bersangatan bagi proses pembelajaran.

Sudut Menyentuh al-Quran

Bagi yang berhadas kecil : Mazhab Maliki dan Syafie mengharamkan menyentuh al-Quran meskipun berlapik atau dengan ranting kayu. Bagi mazhab Hanafi dan Hanbali pula harus menyentuh dengan berlapik atau dengan ranting kayu yang bersih.

Bagi yang berjunub, haid dan nifas : Haram, bagi semua pendapat mazhab. Cuma mazhab Syafie mengecualikan ketika kes takut Mashaf al-Quran terjatuh pada tempat najis, api, tangan orang kafir atau tenggelam dalam air bahkan wajib selamatkan ketika itu.

Masalah :
1) Kalau orang yang berhadas kecil dan besar menulis ayat al-Quran jika ia menyentuh maka ianya haram. Adapun jika dia tidak menyentuh ada tiga pendapat :
Pertama - Harus, ini pendapat yang tepat.
Kedua - Haram.
Ketiga - Harus, melainkan bagi yang berjunub.

2) Membawa kitab-kitab yang terdapat di dalamnya ayat al-Quran, baju yang disulam dengan ayat al-Quran, atau begitu juga kepingan duit, barang-barang perhiasan, dinding atau makanan maka pendapat yang tepat adalah harus bagi yang berhadas. Namun ada juga pendapat yang mengharamkannya.

*Nota : Sepakat ulama :
1) Budak kecil boleh memegang Mashaf kerana dia belum mukallaf, dan sebaik-baiknya adalah dengan berwuduk juga.
2) Harus yang berhadas memegang kitab Tafsir al-Quran yang diyakini tafsirnya lebih banyak dari ayat al-Quran.

Ahad, 5 Oktober 2008

MENGENAL WAQAF DAN IBTIDA'

Respon Dari Pembaca

Alhamdulillah, pada kali ini saya berpeluang untuk menulis artikel berkenaan tajuk yang pernah ditanyakan oleh salah seorang pembaca blog ini kepada saya dalam ruangan 'Dari Hati Ke Hati'. Saudara pembaca tersebut bertanyakan adakah dalam hukum tajwid terdapat istilah waqaf jiril, dan saya memberikan jawapan bahawa saya tidak pernah tahu akan istilah waqaf tersebut bahkan saya katakan kepada dia untuk mengemukakan pengetahuannya itu (yang mungkin saya tidak ada ilmu tentang itu). Namun tiada respon. Lantas saya berfikir untuk mengeluarkan satu artikel yang menyentuh secara khusus akan perbahasan tersebut sebagai satu tatapan ilmu kepada pembaca blog ini.

Permulaan

Secara asasnya memang tidak dinafikan bahawa ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan dan nama waqaf, kerana tidak sependapat pada maksud ayat-ayat al-Quran tetapi apa yang telah mereka bahagikan tidak terkeluar dari jenis-jenis yang akan saya kemukakan sebentar nanti.

Setiap pembaca al-Quran patut mengetahuinya kerana demikian secara tidak langsung ia menunjukkan seseorang pembaca itu mempunyai pengertian terhadap makna ayat suci al-Quran. Sebagaimana Saidina Ali ra pernah ditanya apakah maksud kalimah tartil yang terdapat pada ayat 4 surah al-Muzammil (( ورتل القرآن ترتيلا )), maka beliau menjawab: "Mentajwidkan huruf dan mengetahui menghentikan bacaan pada rangkaikata yang sesuai".

Begitu juga Imam Ibnu al-Jazari pernah berkata dalam Toiyyibah al-Nasyr:
وبعد ما تحسن أن تجودا # لا بدا أن تعرف وقفا وابتدا
Maksudnya: "Dan selepas engkau memperelokkan dalam pembacaan dengan bertajwid, semestinya pula kenal akan cara waqaf dan cara ibtida'.

Definisi


Waqaf (وقف) menurut:
- bahasa : Berhenti atau menahan.
- istilah : Menghentikan bacaan dengan cara memutuskan suara di akhir perkataan sekejap untuk bernafas dengan niat akan menyambung bacaan semula.

Ibtida' (إبتداء) menurut:
- bahasa : Bermula
- istilah : Menyambung bacaan semula sesudah menghentikan bacaan sementara kerana bernafas.

Pembahagian

Waqaf terbahagi kepada empat jenis seperti berikut:
1) Waqaf Ikhtibari (وقف اختبارى) : Ialah waqaf pada sesuatu kalimah kerana ingin menerangkan hukum kalimah itu dari sudut resamnya pada Mashaf samada terputus atau bersambung, ditulis dengan Ta' Marbutoh atau Ta' Maftuhah, dan lain-lain lagi.
Sebagai contoh:
-Boleh waqaf pada kalimah فى dalam ayat (( إن الله يحكم بينكم فى ما هم فيه يختلفون )) surah al-Zumar ayat 3.
-Tetapi tidak boleh waqaf pada kalimah فى yang bersambung dengan kalimah ما pada ayat (( قالوا فيما كنتم )) surah al-Nisa' ayat 97. Ini kerana tulisan Resam Usmani sebegitu rupa.

Hukumnya : Harus, dengan cara mengulang kembali kalimah yang diwaqafkannya atau kalimah sebelumnya untuk menyempurnakan maksud dari ayat tersebut.

2) Waqaf Idhtirari (وقف اضطرارى) : Ialah waqaf ketika sebab terdesak seperti kurang nafas, bersin dan sebagainya.

Hukumnya : Harus, bagi si pembaca yang waqaf kerana sebab terdesak lalu apabila hilang sebab terdesak itu mestilah mengulang kembali menyebut kalimah yang diwaqafkannya atau kalimah sebelumnya bagi menyempurnakan maksud ayat bacaannya itu.

3) Waqaf Intizari ( وقف انتظارى ) : Ialah waqaf pada sesuatu kalimah dengan tujuan mencukupkan bentuk-bentuk qiraat yang ada dalam kalimah itu.

Hukumnya : Harus, ini biasanya dilakukan oleh penuntut dalam bidang ilmu Qiraat. Mereka membaca satu ayat dengan pelbagai bentuk qiraat sehingga habis khilaf qiraat yang ada dalam ayat tersebut dengan pemerhatian dan tunjuk ajar dari guru mereka (talaqi dan musyafahah). Jika ayat itu terlalu panjang sudah tentulah memerlukan kemahiran untuk waqaf pada kalimah yang sesuai, kemudian diulang dengan bentuk qiraat yang lain sehingga selesai. Kemudian barulah disambung dengan potongan rangkaikata ayat yang berbaki itu.

4) Waqaf Ikhtiyari (وقف اختيارى) : Ialah waqaf yang boleh dibuat pilihan dengan tanpa sebab-sebab yang telah disebut sebelum ini.

Dan waqaf jenis ini mempunyai beberapa pembahagian yang sudah dikenali ramai sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibnu al-Jazari dalam Toiyyibah al-Nasyr:
فاللفظ إن تم ولا تعلقا # تام وكاف إن بمعنىً علقا
قف وابتدئ وإن بلفظ فحسن # فقف ولا تبدا سوى الآى يسن
وغيرما تم قبيح وله # يوقف مضطرا ويبدا قبله

Maksudnya : "Maka lafaz yang sudah sempurna dan tidak mempunyai sangkutpaut (makna dengan selepasnya), ialah Waqaf Tam dan Waqaf Kaf jika mempunyai sangkutpaut makna (dengan selepasnya). Waqaflah dan mulakanlah (dengan kalimah seterusnya) dan jika mempunyai sangkutpaut dari sudut lafaz (ia adalah) Waqaf Hasan, boleh waqaf dan tidak boleh memulakan bacaan melainkan dimulakan dengan kalimah sebelumnya. Dan selain (yang telah disebut) ini adalah Waqaf Qobih dan bagi si pembaca, boleh waqaf secara terdesak (pada mana-mana kalimah) dan dimulakan kembali dengan kalimah sebelumnya".

Seperti yang dapat difahami dari matan di atas tadi, Waqaf Ikhtiyari terbahagi kepada empat jenis seperti berikut:
1) Waqaf Tam وقف تام (Berhenti sempurna) : Iaitu waqaf yang sempurna maknanya, dan tidak terikat dengan selepasnya dari sudut lafaz dan makna.

Seperti : (( إنما يستجيب الذين يسمعون والموتى يبعثهم الله ثم إليه يرجعون )) surah al-An'am ayat 36. Waqaf pada يسمعون adalah Waqaf Tam kerana sudah sempurna makna dari rangkaikata ayat tersebut dan rangkaikata selepasnya mempunyai makna yang lain pula.

Ia juga diberi nama Waqaf Lazim وقف لازم dan di dalam Mashaf ia diberi tanda ( مـ ) untuk menunjukkan jenis berhentinya adalah Waqaf Tam. Menunjukkan semestinya waqaf pada kalimah itu.

2) Waqaf Kaf وقف كاف (Berhenti Mencukupi) : Iaitu waqaf di satu kalimah yang sempurna maknanya tetapi masih mempunyai sangkutpaut dengan kalimah selepasnya dari sudut makna bukan dari sudut lafaz.

Seperti : (( واذكر فى الكتاب إبراهيم إنه كان صديقا نبيا )) surah Maryam ayat 41. Waqaf pada إبراهيم adalah Waqaf Kaf, maknanya sudah cukup tetapi masih mempunyai kaitan dengan makna pada kalimah selepasnya.

Dalam Mashaf ia diberi tanda ( قلى ) (lebih kurang, ini kerana komputer saya tidak mempunyai tanda yang serupa dengan tanda yang ada dalam Mashaf). Menunjukkan waqaf pada satu kalimah itu lebih utama dari menyambungnya.

3) Waqaf Hasan وقف حسن (Berhenti Elok) : Iaitu waqaf yang sempurna makna pada dirinya tetapi makna dan lafaznya masih terikat dengan kalimah selepasnya.

Seperti : (( الحمد لله رب العالمين )). Boleh waqaf di sini tetapi masih mempunyai kaitan makna dan lafaz selepasnya.

Di dalam Mashaf diberi tanda (صلى) (lebih kurang macam tanda ini, ini kerana komputer saya tidak mempunyai tanda yang serupa dengan tanda yang ada dalam Mashaf). Menunjukkan menyambung bacaan adalah lebih utama dari mewaqafkannya tetapi boleh sahaja untuk waqaf di situ.

4) Waqaf Qobih وقف قبيح (Berhenti Tidak Elok) : Iaitu waqaf pada kalimah yang masih tidak sempurna maknanya dan mempunyai kaitan dengan kalimah selepasnya dari segi lafaz dan makna.

Seperti: (( وعد الله الذين ءامنوا وعملوا الصالحات لهم مغفرة وأجر عظيم )) surah al-Maidah ayat 9. Waqaf pada الصالحات adalah Waqaf Qobih kerana makna ayat masih tidak sempurna.

Di dalam Mashaf ianya diberi tanda (لا) menunjukkan jenis berhentinya adalah Waqaf Qobih. Maka dilarang waqaf di sesuatu kalimah yang terdapat tanda itu melainkan tidak cukup nafas atau bersin dan sebagainya. Apabila hendak memulakan bacaan semula hendaklah mengulang dari kalimah وعـد hingga akhir ayat.

Tambahan

Di sana, ada tambahan waqaf yang selain dari empat Waqaf Ikhtiyari yang telah disebut seperti:

1) Waqaf Jaiz وقف جائز (Berhenti Harus) : Ianya diberi tanda di dalam Mashaf (ج) untuk menunjukkan seorang pembaca al-Quran harus waqaf pada sesuatu kalimah itu ataupun terus menyambungkan bacaannya kerana waqaf padanya tidak sampai merosakkan makna ayat tersebut.

Seperti : (( ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله واسع عليم )) surah al-Maidah ayat 54. Waqaf pada يشاء adalah Waqaf Jaiz kerana ianya tidak sampai merosakkan makna ayat tersebut.

2) Waqaf Ta'anuq وقف تعانق (Berhenti Berikat) : Sejenis waqaf yang perlu kita perhatikan terlebih dahulu di mana kita akan kita waqaf bacaan pada salah satu di antara dua tempat yang berdekatan. Jenis ini dalam Mashaf diberi tanda tiga titik seperti titik huruf Syin ش (Harap maaf kerana komputer saya tidak mempunyai tanda yang serupa dengan tanda yang ada dalam Mashaf).

Seperti : (( ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين )) surah al-Baqarah ayat 2. Terdapat dua tanda (tiga titik seperti yang dinyatakan di atas); satu tanda pada kalimah ريب, dan satu lagi pada kalimah فيه. Pembaca boleh waqaf pada salah satu tempat sahaja, dan tidak boleh pada kedua-dua tempat. Namun boleh juga memilih untuk tidak waqaf pada kedua-dua tempat tersebut.
Ianya juga diberi nama Waqaf Muraqabah وقف مراقبة (Berhenti Pemerhatian).

Penutup

Demikianlah jenis-jenis waqaf dan pembahagiannya yang terdapat di dalam al-Quran. Namun kini semua Mashaf yang dicetak telah mempunyai tanda-tanda waqaf seperti yang disebutkan tadi yang telah diletakkan oleh para ulama untuk memudahkan orang ramai membaca al-Quran. Semoga artikel ini dapat memantapkan ilmu dan mengenalkan kita lagi tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Kalamullah ini. Amin..