Rabu, 17 September 2008

AKADEMI AL-QURAN : KENAL BACAAN BERQIRAAT

Rancangan Realiti Akademi Al-Quran

Alhamdulillah, kita sebagai rakyat malaysia berbangga dengan usaha sesetengah pihak media yang cuba memperkenalkan bacaan al-Quran berlagu dan berqiraat melalui rancangan realiti sekumpulan anak muda-mudi yang diajar dan dipraktik untuk mereka mengalunkan ayat suci al-Quran dengan versi baru di tengah-tengah masyarakat yang tidak ramai tahu akan kewujudan salah satu cabang ilmu dari al-Quran ini.

Nanti saya akan perkenalkan secara asas dan disertakan bukti-bukti yang ada untuk para pembaca lebih tahu bahawa ilmu Qiraat ini sebenarnya bukanlah satu ilmu yang asing dalam dunia Islam berserta sejarah perkembangannya. Dan apa yang cuba dibawa oleh pihak media tertentu itu adalah satu wajah untuk segarkan kembali ilmu ini dalam bentuk yang lebih menarik dan akhirnya boleh diterima oleh orang ramai, khususnya masyarakat Islam di Malaysia.

Qiraat

Pengenalan:
Ulama Qiraat mengistilahkan (menta'rifkan) ilmu Qiraat ini sebagai:
"Satu ilmu yang menerangkan kaedah-kaedah membaca kalimah-kalimah dalam al-Quran dan perbezaan-perbezaan yang wujud dari kalimah itu serta bersandarkan kepada orang yang membawa bacaan itu".

Maka Qiraat adalah bentuk-bentuk perbezaan dari sudut bahasa dan sebutan yang Allah swt sendiri membenarkan perbezaan bacaan itu sebagai kemudahan dan keringanan kepada hamba-hambanya yang mempunyai pelbagai latarbelakang terutamanya dari kalangan masyarakat Arab untuk membaca al-Quran.

Hubungannya dengan al-Quran:
Al-Quran: adalah wahyu yang telah diturunkan ke atas junjungan Nabi Muhammad saw sebagai keterangan dan i'jaz (melemahkan kepandaian manusia dengan hikmah-hikmah yang terdapat di dalamnya).
Qiraat: adalah perbezaan lafaz wahyu itu pada segi huruf dan cara menuturkannya. Maka semestinya orang yang ingin mengetahuinya mengambil melalui jalan talaqqi dan musyafahah (secara berguru yakni guru yang mengetahui tentangnya).

Dalil Pembuktian

Datang dari hadis-hadis Rasulullah saw seperti berikut:

1) Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas ra menyatakan: Telah bersabda Nabi saw: "Malaikat Jibril as telah membacakan kepadaku dengan satu huruf (bentuk bacaan) lalu aku mengulang bacaan itu, aku sentiasa meminta Jibril supaya menambahkan lagi huruf yang lain (meminta Jibril as supaya mohon dari Allah swt bentuk bacaan yang lain) dari ayat tersebut dan beliau menambahkan sehingga kepada tujuh huruf".

2) Dari Bukhari dan Muslim juga bahawa Umar bin al-Khattab ra berkata: "Aku mendengar Hisyam bin Hakim ra (yang sedang sembahyang) membaca surah al-Furqan ketika itu Rasulullah saw masih hidup. Lalu aku perhati bacaannya, dia membaca dengan banyak huruf yang aku sendiri tidak baca seperti itu di depan Rasulullah saw. Aku berazam untuk menangkapnya sejurus saja dia selesai sembahyang, aku tunggu sehingga dia memberi salam kemudian aku pegang dia dengan kain selempangnya dan bertanya: "Siapa yang bacakan kepada kau sepertimana yang aku dengar tadi?". Dia menjawab: "Rasullullah saw yang bacakan kepadaku (seperti itu)". Aku berkata: "Kau penipu, demi Allah Rasulullah tidak bacakan kepadaku seperti itu". Kemudian aku membawa dia bertemu Rasulullah saw dan aku bertanya: "Wahai Rasulullah! Aku mendengar dia membaca surah al-Furqan dengan huruf yang kau tidak bacakan kepadaku sedangkan kau telah mengajarkan aku bacaan surah itu". Lalu Rasulullah saw bersabda: "Lepaskan dia wahai Umar! Bacalah wahai Hisyam!". Dia pun membaca seperti yang aku dengar tadi dan Rasulullah saw bersabda: "Demikianlah seperti itu diturunkan", kemudian Rasulullah saw menyuruhku pula:"Bacalah wahai Umar!". Maka aku baca sepertimana yang Baginda ajarkan, dan Rasullullah saw bersabda: "Itu juga seperti yang telah diturunkan, sesungguhnya ini adalah al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah apa yang mudah (bagi kamu) dari salah satu huruf itu".

Di sana banyak lagi dalil-dalil yang datang dari Baginda Rasulullah saw yang menunjukkan bahawa bentuk-bentuk bacaan yang berbeza itu adalah kehendak Rasulullah sendiri agar Allah swt menurunkan satu-satu ayat al-Quran dengan pelbagai bentuk bacaan supaya memudahkan umatnya yang terdiri dari pelbagai kabilah dan peringkat umur untuk membaca al-Quran dengan kesesuaian lidah mereka (ini dikhususkan kepada kaum Arab sahaja, kerana ketika turunnya ayat-ayat Allah swt ini bangsa Arab ramai yang mula masuk agama Islam sedangkan mereka dari pelbagai kabilah, daerah dan peringkat umur, sudah tentu lidah antara mereka mempunyai perbezaan dalam menuturkan bahasa arab itu sendiri apatah lagi al-Quran yang datang untuk mereka baca dan berpegang dengannya).

Sejarah

Telah jelas penurunan ayat al-Quran berserta dengan tujuh huruf semenjak dari zaman Rasulullah saw lagi. Para sahabat dibacakan setiap seorangnya dengan satu huruf sahaja kemudian mereka bertebaran ke seluruh pelusuk dunia yang dibuka dengan membacakan huruf yang telah dipelajari dari Baginda saw tanpa mereka ketahui bacaan huruf sahabat yang lain. Ini berkembang dengan anak murid masing-masing yang mempelajari bacaan al-Quran sedangkan di tanah pembukaan Islam yang lain mempunyai bacaan yang lain pula tanpa mereka ketahui kerana para sahabat ra pada masa itu bertebaran membawa dakwah risalah Islam ke seluruh alam.

Namun ada juga di antara para sahabat yang mengambil dari Baginda saw dengan dua huruf atau lebih, kemudian mereka bertebaran ke suluruh dunia dan hal ini berterusan dari tabi'in kepada tabi' tabi'in sehingga sampai kepada satu umat yang mula mengambil ketekunan dalam masalah ini.

Diperselisihkan oleh ulama bahawa ia bermula di tanah suci Mekah atau Madinah Munawwarah kerana kebanyakkan surah adalah surah Makki, sebahagian besarnya. Namun, boleh juga dikatakan selepas Hijrah kerana umat Islam mula bercampur dan berkembang lalu bahasa dan lahjah mereka bercampuk aduk.

Dari Sahabat turun kepada tabi'in, kemudia turun kepada tabi' tabi'in dan seterusnya begitulah sampai kepada kita melalui jalan talaqi dan musyafahah. Di pertengahan itu, ada ulama yang dianugerahkan oleh Allah swt peluang dan kecerdikan untuk menyampaikan bacaan itu kepada umat Islam secara formal, lalu namanya terkenal dan disandarkan jenis bacaan yang diajarnya kepada namanya diantaranya Nafi', Ibnu Kathir, Abu Amru dan lain-lain lagi. Sehingga dikatakan terdapat dua puluh lima imam qurra' yang telah dicatatkan, namun yang terkenal pada hari ini dan dipelajari tujuh, sepuluh atau empat belas imam sahaja atas sebab-sebab tertentu yang telah dibincangkan oleh alim ulama dalam masalah ini.

Tahukah anda, pada kurun kesebelas Hijrah yang lampau, Masjidil Haram Mekah sendiri menggunakan bacaan Ibnu Kathir, tetapi pada hari ini kita dapati telah menggunakan bacaan Hafs dan diguna pakai di kebanyakan tanah umat Islam.

Penutup

Demikianlah serba ringkas pengenalan yang dapat kita kongsi bersama tentang ilmu Qiraat ini. Namun, agak tidak cukup kalau saya tidak katakan bahawa sejarah penulisan di zaman Osman bin Affan sendiri (yang terkenal dengan tulisan Resam Uthmani) berkait rapat dengan ilmu Qiraat. Begitu juga, dalam perbahasan perkataan 'huruf' dari sabda Baginda saw yang di atas tadi dibincangkan oleh ulama akan maksudnya dalam satu ruang yang agak luas perbincangannya.

Namun di sini, saya berazam (insyaAllah) sekiranya ada masa dan peluang dengan secicip ilmu dan seinci kefahaman yang ada saya akan kemukakan perbahasan-perbahasan itu di masa akan datang. Amin...

Jumaat, 12 September 2008

I'JAZ HUKUM TAJWID 1 - (Sambungan)

Pembaca yang dihormati sekelian,

Dalam catatan yang lepas, kita telah ketahui bahawa bacaan yang terdapat dengung adalah bacaan yang agak sedikit memerlukan masa di antara dua kalimah. Lantas ia menunjukkan sesuatu yang bersifat "makan masa', dan ada sesuatu yang berada tengah di antara dua perkara.

Pada kali ini, kita akan melihat lagi pelbagai contoh untuk menjelaskan lagi keistimewaan yang terdapat dalam hukum Izhar ketika seorang membaca al-Quran. Semoga dapat dirasakan makna atau mesej yang tersirat yang ingin disampaikan oleh Allah kepada setiap pembaca 'surat-surat'Nya itu.

Contoh-contoh dari firman Allah swt:

1) ((قل هو الله أحد # الله الصمد # لم يلد ولم يولد # ولم يكن له كفوا أحد ))
- Tiada dengung atau tempoh masa panjang kerana ia menunjukkan satu perkara yang Qat'i (perkara yang tidak boleh dipertikaikan).

2) ((فلا خوفٌ عليهم )) al-Baqarah ayat 38
- Tiada dengung pada tanwin tersebut, tidak perlukan masa bermakna tiada ada rasa takut dalam hati orang yang mengikut petunjuk Allah walau sedetik sekalipun.

3) (( الذى أطعمعهم منْ جوع وءامنهم منْ خوف )) Quraisy ayat 4
- Terdapat dengung pada (( من جوع )) menunjukkan ada tempoh masa untuk menghilangkan rasa lapar orang Quraisy ketika mereka bermusafir pada musim sejuk dan panas. Sebab itu mereka disuruh untuk menyembah Allah.
- Adapun pada (( من خوف )) tiada dengung menunjukkan cepatnya rasa takut itu hilang dengan datangnya perasaan aman dan tenang.

4) (( وما الله بغافلٍ عما تعملون )) al-Baqarah ayat 74
- Tanwin bertemu huruf 'Ain tiada dengung, menjelaskan sesuatu yang Qat'i. Bahawasanya Allah swt tidak ada alpa dan lalai dari apa yang kamu lakukan sekalipun sesaat.
- Sedangkan alpa dan lalai di sisi manusia itu ada dan tak dapat dipisahkan sepertimana dalam firman Allah: (( وهم فى غفلةٍ معرضون )) al-Anbiya' ayat 1 dan (( كنا فى غفلةٍ من هذا )) al-Anbiya' ayat97. Kedua-duanya terdapat dengung (maka ia memerlukan masa untuk menuturkan dengung tersebut), menunjukkan bahawa manusia itu adalah lalai dan leka terhadap Hari Kebangkitan untuk tempoh masa yang lama selama mereka hidup di dunia ini.

5) (( وما منْ إله إلا الله )) Ali 'Imran ayat 62
6) (( والله عزيزٌ حكيم )) (( والله سميعٌ عليم )) (( والله غفورٌ رحيم )) dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Di sana, ada banyak lagi contoh-contoh ayat yang berkenaan jika diteliti dan direnung kita akan dapati maksud yang tersirat. Oleh itu, Allah itu Maha Hebat sehingga sekecil-kecil sudut yang datang dariNya ada perkara besar di sebaliknya yang akan diperolehi oleh mereka yang mempunyai akal fikiran. Wallahu 'Alam...

NOTA:
Ayat-ayat yang dikemukan di atas sila lihat terjemahan al-Quran untuk mengetahui maknanya. Dan sesiapa yang kurang memahami artikel ini, sila rujuk kepada ustaz-ustazah dan alim ulama yang ada. Sekian, terima kasih.

Ashab al-Rass ( أصحاب الرس )

Firman Allah swt :

1) (( وعادا وثمود وأصحاب الرس وقرونا بين ذلك كثيرا #
وكلا ضربنا له الأمثال وكلا تبرنا تتبيرا ))

Maksudnya:
"Dan (telah Kami binasakan) kaum 'Ad dan Tsamud dan penduduk Rass dan banyak lagi generasi-generasi di antara kaum-kaum tersebut # Dan Kami jadikan bagi setiap mereka perumpamaan dan masing-masing mereka itu benar-benar telah Kami binaskan dengan sehancur-hancurnya", al-Furqan ayat 38&39.

2) ((كذبت قبلهم قوم نوح وأصحاب الرس وثمود #
وعاد وفرعون وإخوان لوط #
وأصحاب الأيكة وقوم تبع كل كذب الرسل فحق وعيد ))

Maksudnya:
"Sebelum mereka lagi sudah terdapat kaum Nuh dan penduduk Rass dan Tsamud yang telah berdusta # Dan kaum 'Ad, kaum Firaun dan kaum Luth # Dan penduduk Aikah serta kaum Tubba', semuanya telah mendustakan rasul-rasul maka sudah semestinya mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan", Qaaf ayat 12, 13 dan 14.

Mereka adalah...

1) Sepertimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas ra: "Rass ialah satu telaga yang berada di negara Azerbaijan", dan "Penduduk Rass adalah ahli Qaryah dari salah satu perkampungan Tsamud".

2) Rass adalah telaga yang sudah kering airnya. Kemudian dijadikan nama satu kaum, iaitu kaum Rass. Mereka menyembah patung, lalu Allah mengutuskan nabi Syuib as kepada mereka untuk menyeru mereka supaya kembali menyembah Allah semata-mata.

3)Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan al-Naqqasy telah berkata: "Penduduk Rass mempunyai sebuah telaga yang memberi minum kepada mereka dan menyuburkan tanah-tanah mereka. Dan terdapat seorang raja yang adil dan baik akhlaknya sehingga ketikamana raja itu mati mereka semua rasa sayang sangat-sangat kepadanya. Selepas beberapa hari berlalu, maka ada seekor syaitan menyamar sebagai raja tersebut di hadapan mereka dengan mengatakan: "Aku belum mati lagi, akan tetapi aku tidak dapat dilihat oleh kamu semua sehingga aku lihat tukangan kamu (dengan maksud diadakan patung yang berupa raja tersebut)".

Maka penduduk Rass gembira dengan berita itu, dan diadakan dinding antara mereka dengan patung itu untuk mereka berinteraksi dengan raja itu pada sangkaan mereka (sepertimana yang dikehendaki oleh syaitan), dan dikatakan kepada mereka bahawa dia tidak akan mati untuk selama-lamanya.

Oleh itu, penduduk Rass rasa sangat gembira kerana raja mereka masih ada lagi bersama-sama dengan mereka, sehingga mereka mengadakan korban dan menyembah patung itu.

Lalu Allah mengutuskan seorang rasul untuk memberitahu kepada mereka bahawa ada syaitan yang menyamar di sebalik patung tersebut, melarang mereka untuk sembah kepada patung tersebut dan menyuruh mereka kembali menyembah Allah yang maha Esa.

Lalu rasul ini dimusuhi, dibunuh dan dicampak jasadnya ke dalam telaga. Maka air telaga itu berubah menjadi menjadi tidak elok seperti dulu; mematikan tanaman-tanaman mereka, makin diminum airnya makin haus, hasil buah tidak menjadi dan rumah mereka menjadi rosak jika dicuci dengan airnya. Sehingga bangsa ini musnah sedikit demi sedikit dan penempatan itu dihuni pula oleh jin dan binatang-binatang liar.

4) Mereka adalah satu kaum yang kaya kerana mempunyai banyak telaga dan pelbagai ternakan. Tetapi mereka tergolong dari kaum yang menyembah patung. Kemudian Allah mengutuskan kepada mereka rasul, lalu mereka mendustakan rasul tersebut. Mereka duduk disekitar telaga-telaga itu sambil dibinasakan.

5)Ibn Jarir memilih untuk mengatakan mereka adalah Ashab al-Ukhdud sepertimana yang tercatat dalam surah al-Buruj.

Kesimpulan

Semoga catatan ini mengenalkan kita tentang kisah-kisah yang disebut dalam al-Quran.
Banyak umat-umat yang terdahulu telah dibinasakan oleh Allah kerana mereka menyukutukan Allah dalam Ibadah dan aqidah mereka dengan cara menyembah patung-patung dan tidak mempercayai akan risalah dan dakwah yang dibawa oleh rasul-rasul utusan Allah.

Isnin, 8 September 2008

MUKJIZAT HUKUM TAJWID 1 - HUKUM IZHAR (الإظهار)

Pengenalan

Makna Izhar (الإظهار) di sisi ulama Qiraat dan Tajwid ialah :
-Mengeluarkan huruf dari makhrajnya (tempat keluar huruf) tanpa dengung. Dengan makna lain ialah dijelaskan Nun yang berbaris mati ( نون ساكنة) atau tanwin tanpa dengung apabila terdapat selepas itu salah satu dari huruf yang berikut: Hamzah (ء), Ha' bulat (هـ), Ha nipis (ح), Kho' (خ), 'Ain (ع) dan Ghain (غ).

Sebagai contoh:

1) ((و صدٌ عن سبيل الله)) Tanwin bertemu dengan huruf 'Ain.
2) ((كم ءاتيناهم منْ ءاية بينة)) Nun yang berbaris mati bertemu dengan huruf Hamzah.
Maka kedua-dua contoh di atas perlu dijelaskan Tanwin dan Nun yang berbaris matinya tanpa disertakan dengan dengung.

Dan dengung bila dibunyikan wajib selama dua harakat. Harakat ialah tempoh masa umpama gerakan jari, dua harakat bermakna gerakan jari sebanyak dua kali.

Renungan

Sesungguhnya terdapat banyak contoh-contoh bagi hukum Izhar ini di dalam al-Quran. Sepanjang kita membaca ayat-ayat al-Quran kalau direnung dan ditadabbur kita akan dapati bahawa ketiadaan dengung bermakna tiada mengambil masa yang panjang dalam bacaan, kerana dengung itu sendiri ketika dibunyikan ia memerlukan masa.

Ini menunjukkan hubungan satu kalimah dengan satu kalimah yang selepasnya adalah dengan kadar yang cepat bila dituturkan dan tiada pemisah di antara keduanya yang boleh menyebabkan menjadi lama ketika membaca dua kalimah tersebut.

Sebagai contoh :

Firman Allah swt:
((فمن يعمل مثقال ذرةٍ خيرا يره # ومن يعمل مثقال ذرة شرا يره))
Kita dapati pada ((ذرةٍ خيرا )) hukum Izhar berlaku, maka dijelaskan tanwinnya tanpa dengung kerana kalimah selepasnya dimulakan dengan huruf Kho' (خ). Maka tidak memerlukan masa yang panjang untuk menuturkannya

Ini memberi makna:
1) Allah ingin memberitahu kepada kita bahawasanya timbangan amal dari kebaikan seseorang manusia adalah terlekat pada dirinya dan tiada pemisah untuk selama-lamanya.
2) Ianya begitu laju untuk dituliskan amalan itu dalam catatan amalan baik oleh para malaikat, dan dikurniakan satu kebaikan yang dilakukan dengan sepuluh kali ganda pahala. Adapun berniat buat kebaikan tapi tidak melakukannya tetap mendapat satu pahala.

Adapun pada ((ذرةٍ شراً يره)) bacaan di situ agak lambat kerana terdapat dua kali dengung yang mengandungi makna:
1) Wujud jarak di antara amalan sebesar zarah dengan kejahatan yang dilakukan.
2) Dan juga memberi makna bahawa mempunyai masa dan peluang untuk bertaubat.

Ini dikuatkan lagi dari dalil yang terdapat dalam al-Quran dan hadis tentang catatan amalan baik ke dalam buku catatan amalan seseorang adalah dengan kadar segera, sekalipun niat sahaja sudah dikira sebagai pahala. Adapun amalan jahat tidak dicatat selama tiga hari lamanya semata-mata ingin menunggu taubat dari si pembuat dosa tersebut.

NOTA:
Untuk lebih memahami, rujuk kepada mereka yang lebih mengetahui. Insyaallah anda akan lebih rasa takjub dengan susunan setiap sudut dalam al-Quran
. Ameen.

Ahad, 7 September 2008

SI SEMUT DAN NABI SULAIMAN AS

Kisah Bermula

Pada satu hari, Nabi Sulaiman as berjalan bersama dengan tenteranya yang terdiri dari jin, manusia dan burung. Jin dan manusia berjalan bersamanya sedangkan burung-burung terbang seiring dengan gerombolan tentera tersebut sambil memayungi Nabi Sulaiman dan lainnya dari kepanasan matahari.

Setiap dari tiga kumpulan tentera ini (jin, manusia dan burung) mempunyai ketua masing-masing bagi mengawal gerakan perjalanan tentera di bawah seliaan mereka.

Maka mereka diatur dan disusun dengan tertib dan bersistem supaya tentera di barisan hadapan sentiasa bersambung dengan tentera di barisan belakang dengan dikawal oleh ketua masing-masing seperti yang dilakukan oleh raja-raja sekarang. Sehingga tiada dari mereka yang terkeluar dari barisan ketika berjalan sebagaimana firman Allah swt:
((وحشر لسليمان جنوده من الجن والإنس والطير فهم يوزعون ))
Maksudnya: "Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan)", surah al-Naml, ayat 17.

Mereka berjalan dengan sekata sehingga sampai di satu lembah yang diduduki oleh banyak semut. Ada seekor semut yang merupakan ketua dikalangan mereka berseru kepada rakyatnya sepertimana yang difahami oleh Nabi Sulaiman: Firman Allah swt :
(( حتى إذا أتوا على واد النمل قالت نملة ياأيها النمل ادخلوا مساكنكم لا يحطمنكم سليمان وجنوده وهم لا يشعرون))
Maksudnya: "Wahai semut sekelian! Masuklah ke rumah-rumah kamu sehingga Nabi Sulaiman dan tenteranya tidak membinasakan kamu semua sebab mereka tidak sedar akan perbuatan mereka terhadap kita nanti", surah al-Naml, ayat 18.

Lalu Nabi Sulaiman tersenyum selepas faham akan kata-kata si semut itu dan rasa takjub kerana peringatan yang diberikan kepada kaumnya. Firman Allah swt :
((فتبسم ضاحكا من قولها وقال رب أوزعنى أن أشكر نعمتك التى أنعمت على وعلى والدى وأن أعمل صالحا ترضاه وأدخلنى برحمتك فى عبادك الصالحين))
Maksudnya: "Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Dan dia berdoa: Wahai Tuhanku! berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibubapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redai, dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hambaMu yang soleh". Surah al-Naml, ayat 19.

Kesimpulan

1) Nikmat ilmu yang diperolehi oleh seseorang sudah cukup untuk dia menjadi seorang yang bersyukur kepada Tuhannya. Nikmat yang diberi seperti mendapat sedikit ilmu perlu disertakan dengan pujian dan syukur kepada Allah swt yang telah memilih dia untuk mendapat nikmat itu.

2) Berbuat baik kepada dua ibubapa semasa hidup mereka serta mendoakan kebaikan untuk mereka berdua selepas kematian mereka.

3) Cara Islam ketika seronok dan gembira di atas satu kejayaan yang diperolehi ialah dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah swt dan memohon kepada Allah supaya ditetapkan dalam kalangan orang yang sentiasa mengingatiNya.

Khamis, 4 September 2008

Apabila Binatang Diajar Membaca al-Quran

TERJEMAHAN VIDEO

Burung-burung tersebut boleh membaca al-Quran di antaranya surah al-Fatihah dan al-Ikhlas. Selain itu boleh juga memberi salam dan berselawat ke atas Nabi saw. Diajar oleh penjaga mereka sendiri yang berasal dari Pakistan, sebab itu bacaan al-Quran yang diperdengarkan mempunyai dialek bacaan dari negara itu.
Hal ini membenarkan kisah Nabi Sulaiman as yang boleh berinteraksi dengan binatang-binatang dan kisah binatang yang boleh mengerti ayat-ayat bacaan Nabi Daud as.

PENGAJARAN

Pengajaran yang boleh didapati ialah, manusia lebih utama dalam memartabatkan al-Quran berbanding makhluk lain kerana al-Quran diturunkan adalah untuk mereka. Dan pastikan anak-anak kita diajar membaca al-Quran kerana mereka adalah harta kita yang paling berharga di akhirat kelak. Ameen...

Selasa, 2 September 2008

Khatam al-Quran 8 kali Sehari?

KEBIASAAN SALAFUSSOLEH

Ibnu Abi Daud menceritakan bahawa kalangan salafussoleh, sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dua bulan sekali, ada yang setiap bulan sekali khatam, ada yang setiap sepuluh hari sekali, setiap lapan hari sekali,dan kebanyakan mereka khatam setiap tujuh hari sekali, ada juga setiap enam hari sekali, setiap lima hari sekali, setiap empat hari sekali, banyak juga setiap tiga hari sekali, dan ada juga setiap dua hari sekali. Dan ramai juga yang satu hari sekali khatam, dua kali khatam atau tiga kali khatam. Ada sebahagian mereka lapan kali khatam dalam masa sehari, empat kali pada siang hari dan empat lagi pada waktu malam pula.

SIAPAKAH MEREKA?

Mereka yang mengkhatamkan al-Quran :
1) Sekali sehari semalam ialah Saidina Osman ra, Tamim al-Dari, Said bin Jubair, Mujahid,
Imam al-Syafie dan selain mereka.
2) Tiga kali sehari semalam ialah Sulaim bin 'Itr ra (Kadi Mesir di zaman pemerintahan
Mu'awiyah ra). Diceritakan juga dia selalu mengkhatamkan al-Quran pada waktu malam
sahaja tiga kali, dan kadang-kadang empat kali.
3) Empat kali pada waktu siang dan empat kali pada waktu malam ialah Ibnu al-Katib ra. Ini
adalah peringkat yang paling tinggi setakat yang pernah diketahui. Waktunya di antara
Zuhur dan Asar sekali khatam, Maghrib dan Isya' sekali khatam dan dua kali khatam pada
bulan Ramadan.
4) Mujahid dan Ali al-Azdi mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam di bulan Ramadan di
antara waktu Maghrib dan Isya'.
5) Sekali khatam dalam satu rakaat sembahyang ialah Osman bin 'Affan ra dan Tamim al-Dari.

BENARKAH HAL DEMIKIAN TERJADI?

Sepatutnya kita menjaga pembacaan al-Quran dan memperbanyakkannya. Sebab itu, setiap individu berbeza dengan individu yang lain. Sesiapa yang diberi pemikiran yang mendalam dan rahsia-rahsia al-Quran hendaklah ia memperbanyakkan bacaan al-Quran dengan kadar kemampuannya itu. Begitu juga sesiapa yang sibuk dalam menuntut ilmu atau lain-lain kepentingan agama dan kemaslahatan umat maka hendaklah ia membanyakkan membaca al-Quran dengan semampu mungkin.

Sabda Baginda saw kepada Abdullah bin Amru: "Bacalah al-Quran setiap bulan", berkata Abdullah : "Aku mampu lebih lagi", lantas Baginda bersabda lagi: "Maka bacalah ia setiap dua puluh malam", maka berkata Abdullah : "Aku mampu lebih lagi", lantas Baginda bersabda: "Maka bacalah setiap tujuh hari dan jangan lebih dari itu". Begitu juga sabda Baginda: "Tidak akan memahami bacaan al-Quran bagi sesiapa yang membacanya kurang dari tiga hari". Wallahu 'Alam.

Isnin, 1 September 2008

Al-Quran : Membacamu Tidak jemu

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Di sisi para bahasa, mereka berpendapat al-Quran berasal dari : kata kerja Qo, Ro, A yang memberi makna membaca.

Ada pendapat menyatakan bahawa ianya membawa makna:
1) Pengumpulan
2) Merangkaikan
3) Akrab atau dekat
4) Kitab suci agama Islam

Di sisi para ulama Usul dan Feqah ialah : (mempunyai 8 ciri)
1) Kalam Allah swt yang mempunyai mukjizat,
2) yang mencabar dengan sependek-pendek surah darinya akan sesiapa saja untuk membawa surah yang mempunyai kehebatan seperti yang ada di dalamnya,
3) yang diturunkan kepada penutup para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad saw dengan perantaraan Malaikat Jibril as,
4) yang tertulis pada mushaf,
5) yang sampai kepada kita secara mutawatir,
6) yang membacanya adalah dianggap ibadah,
7) yang boleh dibaca di dalam sembahyang,
8) dan dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri surah al-Nas.

Sejarah Penurunannya

Firman Allah swt : "Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan al-Quran di dalamnya...", surah al-Baqarah, ayat 185. Dan firmanNya lagi : "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) di malam Lailatul Qadar", surah al-Qadr, ayat 1.

Apa yang dapat difahami dari dua ayat di atas, al-Quran itu diturunkan sekaligus ke langit dunia yang digelar dengan nama Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar, kemudian diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah saw selama dua puluh lima tahun mengikut
peristiwa yang berlaku dan soalan-soalan dari manusia yang ada pada masa itu.

Mula-mula yang diturunkan

Aisyah ra menceritakan : "Wahyu mula-mula kepada Rasulullah saw ialah mimpi yang benar. Baginda saw nampak dalam mimpinya seperti dinihari waktu Subuh, kemudian Baginda saw suka mengasingkan diri, dia datang ke Gua Hira' dan beribadah (serta bertafakkur) beberapa malam di dalamnya, dan Baginda saw mengambil bekalan untuk tujuan itu dengan kembali pulang kepada Khadijah ra, dan mengulang-ngulang akan keadaan itu. Sehingga, datang kebenaran ketika Baginda saw sedang berada dalam Gua Hira. Datang malaikat kepadanya dan berkata: "Bacalah!", lalu Baginda bersabda sambil bercerita: ""Aku tidak boleh membaca", lalu dia memeluk ku dengan kuat sehingga terasa sakit dan melepaskan semula, dan dia berkata lagi: "Bacalah!", aku berkata: "Aku tidak boleh membaca", dia memeluk aku dengan kuat buat kali kedua dan melepaskan semula, dan dia berkata lagi"Bacalah!", aku berkata: "Aku tidak boleh membaca", dia memeluk aku dengan kuat buat kali ketiga dan melepaskan semula, lalu dia berkata: ((Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang telah menciptakan. Yang telah mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmulah Yang maha pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam (tulis dan baca). Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya))surah al-'Alaq, ayat 1 hingga 5".

Sejarah Pembukuan al-Quran

Terdapat tiga peringkat sejarah al-Quran untuk dijadikan sebagai satu mashaf seperti yang dapat kita lihat pada hari ini:
1) Di zaman Baginda saw masih ada, al-Quran dijaga dan dihafal dalam dada para sahabat. Ada ditulis di atas kulit-kulit binatang, pelepah-pelepah tamar yang lebar, batu-batu putih yang nipis tapi tidak tersusun surah-surahnya dan tidak terhimpun di satu tempat.

2) Di zaman pemerintahan Abu Bakar ra, dihimpun di satu tempat dengan disusun ayat-ayatnya menjadi bentuk suhuf-suhuf surah. Tapi masih bercerai di antara surah-surahnya, yakni tidak tersusun secara tertib.

3) Di zaman pemerintahan Osman ra, surah-surah disusun mengikut tertib dan disalin menjadi satu mashaf sepertimana yang kita baca dan saksikan pada hari ini.