Ahad, 26 April 2020

Khatam dalam bulan Ramadan

Soalan:
Ustaz, bacaan al-Quran saya ada baki beberapa juzuk lagi. Masuk Ramadan ni, elok saya mula baru atau habiskan bacaan lama dan khatam dalam bulan Ramadan?

2 Jawapan:

Pertama: Elok habiskan bacaan tersebut dan cubalah khatam dalam bulan Ramadan. Selepas itu, ulangi semula dari awal al-Fatihah dan cuba khatam lagi dalam bulan Ramadan. Bermakna ada 2 jenis khatam: khatam dari luar; dan khatam dari dalam.

Ini kerana 2 kelebihan yang ingin kita dapatkan iaitu: kelebihan khatam; dan kelebihan baca al-Quran 30 Juzuk dalam bulan mulia ini.

Diriwayatkan Anas bin Malik ra sangat gemar menghimpunkan ahli keluarganya jika ingin khatam al-Quran. 

Begitu juga Ibnu Abbas ra yang sering mengupah seseorang untuk mencari sesiapa di kalangan umat Islam yang ingin khatam al-Quran untuk dia hadir ke majlis khatam orang tersebut.

Mujahid pernah mengajak al-Hakam untuk sertai majlis khatamnya:

"Kami memanggilmu untuk turut serta khatam kami dan kerana telah sampai kepada kami kenyataan tentang bahawasanya doa adalah mustajab di kala khatam al-Quran".
-mawquf sahih, kitab Nataij al-Afkar-

Talhah bin Musorrif menyebut:

"Daku dapati orang yang baik dari umat ini gemar mengatakan: Apabila khatam (bacaan al-Quran) di awal siang, para malaikat mendoakannya sehingga petang. Dan apabila khatam di awal malam, para malaikat mendoakannya sehingga subuh"
-Isnadnya hasan, kitab Adab al-Masy ila al-Solah-

Kedua: Jika seseorang mendapati dirinya terhalang dari mendapatkan peluang membaca al-Quran bagi tempoh yang panjang maka sayugia dia mulakan semula dari awal al-Fatihah.

Sebagaimana hal keadaan: wanita yang didatangi keuzuran solat selama 15 hari sedangkan dirinya sibuk dengan kerja untuk menyara keluarga; wanita yang dapat merasakan kelahiran bayinya bakal berlaku di awal bulan Ramadan sehingga nanti nifasnya menghalang dirinya dari membaca al-Quran dalam bulan tersebut; dan sebagainya.

Hendaklah dia meraih bersungguh-sungguh membaca al-Quran 30 juzuk lengkap dalam bulan Ramadan berbanding mengejar 2 jenis khatam seperti pilihan pertama di atas.

Ini dilihat kerana amalan para ulama dan orang soleh terdahulu yang mana mereka berhenti dari membuat sebarang kerja lain apabila Ramadan telah tiba dan hanya menumpukan membaca al-Quran untuk khatam secara sempurna sebanyak yang mungkin.

Imam Malik dan Imam Syafie menutup meja-meja fatwa mereka apabila masuk ke dalam bulan Ramadan semata untuk memperbanyakkan membaca al-Quran.

Hubungan intim Ramadan dengan al-Quran telah digambarkan oleh imam Nawawi dalam al-Tibyan bahawa Mansur Za'dan dari kalangan tabi'in membaca al-Quran sekali khatam antara waktu zuhur dan asar, dan sekali lagi antara maghrib dan satu perempat malam.

Begitu juga al-Azadi yang mengkhatamkan al-Quran antara maghrib dan isyak setiap malam di bulan Ramadan.

Siyar A'lam al-Nubala ada menceritakan bahawa imam Syafie mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali dalam bulan Ramadan.

Dan junjungan Nabi saw juga membaca di hadapan gurunya Jibril as setiap Ramadan menjelma sekali khatam kecuali Ramadan terakhir sebanyak dua kali (al-'aradah al-akhirah).

Kesimpulan:
Pilihan pertama dilihat untuk merebut fadilat kelebihan khatam al-Quran lebih-lebih lagi pada bulan yang sungguh mulia ini.

Manakala pilihan kedua memberi pilihan yang lebih menyantuni golongan yang mempunyai kekangan dari segi waktu. 

Walau bagaimanapun, memperbanyakkan membaca al-Quran adalah sebaik-baik pilihan dan amalan yang paling utama. Saya menyeru diri ini dan diri pembaca semua agar kita memperbanyakkan membaca al-Quran lebih-lebih lagi di musim PKP ini kita mempunyai ruang yang banyak berbanding Ramadan di tahun-tahun lepas. Maka usahakan untuk membaca al-Quran dengan sekali khatam paling kurang.

"Ya Allah ya Tuhan kami, rezekikan kami membaca al-Quran pada sepanjang malam dan siang hari".

-Khuwaydim al-Quran-
21 April 2020

🌺🌸🌺🌸🌺🌸🌺🌸🌺🌸

Kelas al-Quran Online untuk yang baru mahu mengenal huruf dan yang ingin talaqqi musyafahah boleh hubungi:

http://wasap.my/60132505750/bacaanalQuranonline

Sesi percubaan disediakan.

Tiada ulasan: