Ahad, 22 Ogos 2010

INFO AL-QURAN 3

KESAHIHAN SANAD (dalam dunia Qiraat)

Rujukan al-Nasyr Fi al-Qiraat al-'Asyr dan Fann al-Tartil menyatakan :

"Ia (kesahihan sanad) adalah salah satu rukun yang semestinya dimiliki sehingga sesuatu bentuk bacaan Qiraat itu menjadi sahih.

Dan, agar sanad itu sahih pula : maka semestinya ia mutawatir, masyhur dan dikenali ramai".

Mutawatir itu bermakna : berlakunya pemindahan sesuatu bentuk Qiraat itu dari satu kelompok ke satu kelompok manusia yang mustahil boleh berlaku untuk mereka berpakat untuk berbohong pada setiap peringkat dari peringkat-peringkat sanad.

Dan, disyaratkan bagi penerimaan sanad yang sahih lagi mutawatir itu adalah ia selaras dengan resam penulisan salah satu dari Mushaf-mushaf Usmani, dan Bahasa Arab.

Dalam Muqaddimah al-Tahrir Wa al-Tanwir menyebut :

"Sanad-sanad Qiraat yang sepuluh itu berakhir dengan kepada lapan orang sahabat ra, mereka ialah : Umar bin al-Khattab, Usman bin 'Affan, Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas'ud, Ubai bin Ka'ab, Abu Darda', Zaid bin Thabit, dan Abu Musa al-Asy'ari. Maka sebahagian Qiraat ada yang berakhir dengan kelapan-lapan sahabat itu dan ada juga dengan sebahagiannya sahaja".

Abdullah bin al-Mubarak berkata (dalam Sahih Muslim) :

"al-Isnad itu adalah dari agama, dan jika tiada ia nescaya sesiapa boleh berkata dengan apa yang ia mahu".

PAUTAN :

1) Mustafa Sodiq al-Rifa'ie dalam kitabnya I'jaz al-Quran Wa al-Balaghah al-Nabawiyyah menyatakan :

"Kemudian (setelah disalin semula semasa Zaman pemerintahan Saidina Usman bin 'Affan ra) dihantar ke setiap negara satu Mushaf. Pada pendapat yang masyhur ia sebanyak tujuh Mushaf. Dihantar ke Mekah, Syam, Yaman, Bahrain, Basrah dan Kufah. Dan satu lagi Mushaf disimpan sendiri di Madinah, ia dinamakan juga sebagai al-Umm. Kemudiannya (Saidina Usman ra) memerintahkan mushaf selain dari tujuh ini dibakar...Hal ini berlaku pada tahun 25 Hijrah".

Perlu diketahui juga bahawa setiap Mushaf yang tujuh itu terdapat perbezaan resamnya kerana ingin memelihara bentuk-bentuk Qiraat yang diamalkan oleh umat Islam di setiap negara itu. Hal ini telah kita bincangkan di artikel yang lalu, pembaca boleh merujuk kembali artikel yang lepas untuk memahami maksud ini.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdul Fattah al-Qodhi dalam kitabnya Tarikh al-Mushaf al-Syarif :

"Maka Tujuh Huruf itu bertebaran dalam keenam-enam Mushaf itu (kerana pendapatnya ada enam salinan Mushaf). Lalu Qiraat yang baca (( ووصى بها إبراهيم )) tidak akan didapati pada Mushaf Madinah dan Syam, namun terdapat di Mushaf yang lain".

Ini kerana Mushaf Madinah dan Syam ditulis dengan (( وأوصى بها إبراهيم )) bagi meraikan bentuk Qiraat yang diajar oleh Zaid bin Thabit ra kepada penduduk Madinah (Qiraat Nafi' dan Abu Ja'far), dan Mughirah bin Syihab ra (Qiraat Ibnu 'Amir) kepada penduduk Syam.

2) Selaras dengan Bahasa Arab dijadikan sebagai salah satu syarat sahihnya satu-satu bentuk Qiraat adalah perlu dilihat dan diselidiki semula.

Ini kerana bersebabkan lahjah-lahjah dalam Bahasa Arab adalah tidak selari antara satu sama lainnya. Lalu menyebabkan kaedah-kaedah Nahu dan Sorof yang timbul dari situasi itu juga akan berbeza antara satu sama lain. Bahkan kalau dilihat dalam satu lahjah pun kadang-kadang ahli bahasanya berbeza pendapat dalam menentukan kaedah tatabahasanya.

Ada kemungkinan juga, lahjah dari satu kelompok suku Arab yang berada jauh pedalaman dari pengetahuan ramai berbeza dengan lahjah bahasa Arab yang lainnya. Lalu ia bertepatan pula dengan salah satu bentuk Qiraat. Menyebabkan orang tidak tahu hal ini akan menyatakan : "Qiraat ini salah kerana tidak bertepatan dengan Bahasa Arab kita".

Oleh kerana itu, sesetengah kitab yang membicarakan ilmu ini tidak bersetuju dengan syarat ini. Dengan kata mereka cukuplah syarat Mutawatir dan selaras dengan Resam Usmani mengatasi syarat Bahasa Arab itu.

Kalau dilihat dalam ilmu bahasa ini pun kita akan dapati ulama Kufah dan Basrah sentiasa berselisih pendapat dalam beberapa hal bahasa. Apatah lagi bahasa-bahasa suku lahjah yang jauh dari pengetahuan orang ramai.

Penulis tidak dapat menyatakan kitab rujukan dalam hal ini kerana kitab-kitab itu sudah tiada dalam simpanan penulis. Namun ia masih segar diingatan, alhamdulillah.

Sekian...Salam Ramadhan.

.