Ahad, 26 Julai 2009

INFO AL-QURAN 1

ضواحك (Dhowahik)

Dhowahik ialah kata nama plural/jama'. Plural/mufradnya ialah ضاحك (dhohik) yang bermakna 'si ketawa'.

Dinamakan sebegitu rupa kerana kemunculannya ketika keadaan tersenyum.

Maksud di sini iaitu : gigi permulaan gigi-gigi geraham selepas gigi taring (jika dikira dari gigi kapak) samada di sebelah kanan dan kiri. Giginya yang berbentuk bulat atau rata permukaannya. Dinamakan juga sebagai gigi geraham yang kecil.

Mempunyai bilangan sebanyak 4 gigi. 2 gigi di sebelah atas (di kiri satu dan di kanan satu) dan 2 gigi di sebelah bawah (di kiri satu dan di kanan satu).

Peringatan :

Kesemua gigi manusia itu terbahagi kepada tiga kategori fungsi seperti berikut :
1) Sebagai mengisar dan melembutkan - ialah gigi-gigi geraham.
2) Sebagai memecahkan dan mengoyakkan - ialah gigi taring. Sebab itu ia berbentuk memanjang berputar (runcing) ke bawah hujungnya.
3) Sebagai memotong - ialah gigi kapak dan gigi kacip. Sebab itu ia berbentuk tajam di hujungnya.

Nota :

Wahai sahabat-sahabat pengunjung semua, ketahui dan pelihara akan perkara ini kerana ia aset terpenting untuk kita mengenal makhraj-makhraj huruf al-Quran. Lebih-lebih lagi huruf ض (Dhod) dan huruf ل (Lam) dan yang seangkatannya.

Rabu, 22 Julai 2009

Makluman kepada al-Mizzi (berkenaan Iltifat dalam al-Quran)

Salam sahabat pengunjung,

Baru-baru ini ada permintaan dari salah seorang sahabat pengunjung yang bernama al-Mizzi untuk menghuraikan serba sedikit tentang Iltifat yang berlaku pada ayat-ayat al-Quran.

Penulis memohon ribuan kemaafan kerana tidak dapat menunaikan hajat tersebut. Hal demikian adalah kerana perbincangan tersebut ada dalam sukatan pelajaran tahun 2 di Kuliah al-Quran al-Azhar Tonto. Sedangkan penulis baru ingin mengurus kemasukan ke sana pada awal bulan depan. InsyaAllah kalau berkesempatan lagi akan dihuraikan perbincangan tajuk tersebut secara tepat di masa akan datang.

Sekalipun begitu, Iltifat ialah satu cara penuturan Allah swt kepada hambaNya yang menggunakan bentuk pemalingan ketika berbicara. Dan ia mempunyai beberapa kehebatan dan kelebihan dari segi psikologi.

Misalan yang mudah untuk tajuk itu ialah seperti seorang ibu sedang bersembang dengan si ayah tentang anak-anak jiran mereka sudah ramai yang dah berkahwin. Ketika itu anak bujang mereka yang sudah berumur sedang duduk di hadapan dalam keadaan bukan sedang sama-sama bersembang. Mungkin sedang membaiki kipas yang rosak atau sebagainya tetapi berada di hadapan mereka berdua. Jadi dia lebih banyak mendiamkan diri kerana sedang sibuk dengan aktivitinya ketika itu. Sedang si ibu dan si ayahnya rancak bersembang tentang perkahwinan anak jiran mereka tiba-tiba si ibu terus bertanya : "Ujang oi! Kau pulak bila nak kawin nye. Mak ni pun nak la rasa ada menantu sendiri". Boleh jadi anak bujangnya itu tersentak dan terkejut dan tergamam. Sebab pada sangkaannya, mak dan ayahnya hanya bersembang tentang anak jiran mereka bukan tentang dirinya tetapi dipalingkan tajuk perbualan itu kepadanya.

Segi logiknya memanglah dirinya sendiri tergolong dalam golongan yang disembangkan oleh kedua orang tuanya, tetapi penghujung perbualan itu didatangkan bentuk pertanyaan secara pemalingan kepada anak bujang mereka.

Inilah keadaan yang lebih kurang sama dengan hikmah Iltifat (pemalingan) yang berlaku dalam kebanyakan ayat-ayat al-Quran, untuk memberi sentakan kepada si pendengar ayatNya.

Semoga lakaran ini memberi gambaran secara ringkas kepada semua sahabat dan khususnya kepada sahabat al-Mizzi berkenaan tajuk yang ditanyakan oleh beliau. Terima kasih atas sokongan yang membina ini.

Akhirnya, saya mohon doa dari sahabat pengunjung semua supaya Allah memperkenankan hajat-hajat saya. Dan saya doakan kembali supaya sahabat mencapai apa yang dicita dalam perkara kebajikan. Amin...

Selasa, 21 Julai 2009

I'JAZ TAJWID 3 (sambungan)

Salam untuk sahabat pengunjung,

Terima kasih kerana sudi lagi melawat blog ini walaupun sudah berminggu saya tidak berkesempatan untuk memasukkan entri terbaru. Namun setiap kali saya meninjau blog ini, saya dapati ada beberapa sahabat yang sentiasa mengunjung walaupun tiada pengisian baru seperti sahabat dari Ibu Kota Kuala Lumpur dan lain-lain lagi. Tahniah juga kepada semua sahabat kerana berjaya meletakkan diri dalam golongan yang sukakan ilmu dan thaqafah Islamiah.

Saya juga sebagai penulis memohon jutaan keampunan kerana sudah lama tidak berkesempatan memperbaharui isi laman blog ini atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Apapun saya ucapkan terima kasih kepada semua sahabat pengunjung di atas sokongan anda sekalian selama ini.

Sahabat yang dikasihi Allah sekalian,

Di ruangan ini kita masih membincangkan tentang kehebatan penyusunan Kalam Tuhan dari sudut pandangan salah satu hukum tajwid iaitu Idgham Bila Ghunnah ( الإدغام بلا غنة ).

Di artikel bertarikh 10 April telah saya jelaskan tentang pengenalannya serba sedikit, oleh itu pada kali ini tidaklah saya berhajat untuk menghuraikan penceritaannya dari awal. Hanya saya akan datangkan beberapa lagi contoh untuk menguatkan hal tersebut seperti berikut :

1) (( فأما من ثقلت موازينه # فهو فى عيشةٍ رّاضية )) surah al-Qori'ah, ayat 6&7.
Pada dua kalimah yang ditandakan dengan warna merah seperti di atas, berlaku hukum Idgham tersebut. Padanya tiada dengung, tiada dengung maka tidak perlukan masa yang panjang untuk menuturkannya (kerana dengung mengambil masa untuk dibunyikan selama 2 harakat). Bila masa tidak diperlukan, maka ia menunjukkan sesuatu perkara itu hakikatnya memang tidak perlu difikirkan akan hal keadaannya, kerana ia sesuatu yang sudah menjadi ketetapan dan janji dari Tuhan untuk hambanya.

Sebab itu, kalau dilihat dari segi makna kita akan lebih memahami maksud penceritaan ini. Maksudnya : (( Dan adapun orang yang berat timbangan (kebaikan)nya # Maka dia berada dalam kehidupan yang memuaskan ))

Seolah-olah memberi maksud : "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu fikir dan ragu-ragu lagi terhadap amalan kebajikan yang telah kamu buat selama ini, kerana memang pasti Aku akan memasukkan kamu dalam golongan yang senang-lenang di Akhirat kelak. Perkara ini pasti! Yakinlah dan jangan fikir-fikir lagi!".

Sedangkan ayat selepas itu menceritakan tentang orang yang sedikit amalan kebaikannya dan terdapat unsur-unsur dengung seperti berikut :
((وأما من خفت موازينه # فأمّه هاوية))surah al-Qori'ah, ayat 8&9.
Maksudnya : (( Dan adapun orang yang ringan timbangan (kebaikan)nya # Maka tempatnya adalah neraka Hawiyah )).

Inilah antara salah satu keadilan Allah swt memberi masa untuk orang yang sedikit amalan kebajikannya untuk berfikir dan merenung lantas menghisab diri akan kelemahan amalannya sebelum sampainya waktu yang telah ditetapkan untuk dia berhadap dengan Tuhannya. Kerana apabila sudah sampai masanya (samada mati ataupun Akhirat menjelma) permintaan untuk kembali ke dunia semula tidak akan diberi lagi walaupun sesaat ataupun kurang dari itu. Fikirkanlah!

"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

2) (( ويلٌ لّكل همزةٍ لّمزة )) surah al-Humazah, ayat 1.
Maksudnya : (( Kecelakaan bagi setiap pengumpat lagi pencela )).

Ayat ini adalah berkenaan kutukan Allah swt kepada si pengumpat yang sentiasa mengumpat dan mengejek Rasulullah saw. Samada di belakang atau di depan, perbuatan atau perkataan.

Secara zahir kalimah yang digunakan oleh Allah swt dalam ayat tersebut berlaku hukum Idgham Bila Ghunnah sebanyak 2 kali.

Seperti yang kita bincangkan sebelum ini, tiada dengung tiada penggunaan masa. Tiada masa membawa kepada 2 keadaan iaitu :
- Tiada masa untuk berfikir akan sesuatu hal
- atau; perkara tersebut adalah ketetapan dari Allah swt yang manusia seluruhnya kena menerima bulat-bulat dan tidak boleh dipertikaikan.

Oleh itu, dalam penceritaan contoh dari ayat ini membawa erti bahawasnya Allah swt amat membenci orang yang menentang akan utusanNya iaitu para rasul as. Kerana setiap kali utusanNya datang membawa risalah ketuhanan tiada yang datang melainkan disambut dengan caci-maki dari manusia kebanyakannya, sepertimana dalam firmanNya :
(( Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, tiada seorang rasulpun yang datang kepada mereka melainkan mereka selalu mengejek-ngejeknya )) surah Yasin, ayat 30.

Sekian...