Jumaat, 14 Ogos 2009

Mu’jizat al-Quran : Penyanyi Pop Inggeris memeluk Islam

Petikan dari Taman-taman Syurga

Cat Steven atau Yusuf Islam merupakan seorang penyanyi Inggeris yang sangat terkenal pada tahun 70-an. Yusof Islam dilahirkan dalam sebuah keluarga Kristian Katholik yang kaya raya kerana perniagaan dalam bidang muzik. Menurut Yusof Islam beliau telah diajar bahawa Tuhan itu Wujud, tetapi menurut Yusof dalam agama Kristian, tiada hubungan terus dengan Tuhan dan oleh sebab itu mereka terpaksa bergabung dengan Tuhan melalui Jesus Christ dan jalan untuk sampai kepada Tuhan. Yusof Islam menerima ajaran tersebut tetapi beliau tidak menerima bulat-bulat. Yusuf Islam memerhatikan patung-patung Jesus Christ tetapi mengikut pandangannya patung-patung tersebut hanyalah batu-batu tanpa nyawa.

Menurut Yusof Islam, lama kelamaan beliau mengabaikan agama Kristian dan beliau mula menyanyi dan bercita-cita menjadi seorang penyanyi yang terkenal dan itulah matalamat mencari wang. Orang-orang yang berada di sekeliling Yusof mempengaruhi untuk berfikir bahawa itulah matalamat yang sebenar dan dunia ini adalah Tuhan mereka. Beliau mula menyanyi dan melnulis lagu, tetapi jauh di dalam lubuk hatinya beliau mempunyai perasaan kemanusian dan berkata sekiranya ia menjadi kaya ia akan membantu orang-orang miskin. Akhirnya beliau terkenal dan ketika itu beliau masih lagi remaja tetapi nama dan gambarnya sudah tersebar diseluruh dunia.

Setahun lepas kejayaannya, beliau sakit tenat dan dijangkiti penyakit TB dan telah dimasukkan ke hospital. Pada ketika itu lah Yusuf mula berfikir apa yang akan terjadi kepadanya. “Mengapakah aku berada di sini? Mengapakah aku berada di katil ini?” Beliau cuba mencari jawapan. Semenjak itu beliau telah berjinak-jinak dengan pelbagai agama termasuk agama Buddha, Zen dan Ching, nemerologi, tarot dan astrologi, tetapi tidak menemui sesuatu.

Abangnya telah menziarahi sebuah masjid di Jerusalem di mana dipenuhi dengan manusia dan kehidupan sedangkan gereja-geraja dan synagogue (rumah ibadat Yahudi) kosong. Apabila abangnya datang ke London, ia membawakan Yusuf Islam senaskah al-Quran terjemahan. Abangnya tidak menganut agama islam tetapi merasai bahawa terdapat sesuatu dalam agama Islam dan berpendapat bahawa Yusuf juga akan dapat menemui sesuatu dalam agama tersebut. Setelajh membaca Yusus menyedari bahawa semua nabi diutuskan oleh Tuhan dengan membawa ajaran yang sama, iaitu Islam. Hanya al-Quran yang dapat memberi jawapan kepada persoalanya.

Yusuf telah mengucap Dua Kalimah Syahadah di hadapan imam besar Masjid Regent Park di London pada tahun 1977 iaitu satu tahun setengah selepas beliau menerima al-Quran daripada abangnya. Kini Yusuf Islam menjadi seorang pendakwah Islam yang gigih. Beliau telah menubuhkan Sekolah Islam di London dan aktif dalam kegiatan kebajikan.

Rabu, 5 Ogos 2009

INFO AL-QURAN 2

أصلية

Asliyyah...

Ia adalah 29 huruf yang dikenali seperti berikut :
ا, ب, ت, ث, ج, ح, خ, د, ذ, ر, ز, س, ش, ص, ض, ط, ظ, ع, غ, ف, ق, ك, ل, م, ن, و, ء, هـ , ي.

Al-Ustaz al-Doktor Ahamd Isa al-Ma'sarawi (Ketua Jabatan Qari SeMesir) menyebut dalam kitabnya al-Mu'jam al-Tajwidiy :

"Adalah menjadi satu kesilapan kepada golongan yang berpendapat bahawa
Huruf Asliyyah adalah sebanyak 28 huruf, kerana mengira huruf Alif ( ا ) dan
Hamzah ( ء ) sebagai satu huruf atas sebab rapatnya hubungan mereka berdua
di dalam penulisan (seperti أ ) . Padahal yang sebenarnya kedua-dua huruf itu
adalah dua hakikat yang berbeza kerana kedua-duanya mempunyai makhraj
(tempat keluar) berbeza bercerai sesama mereka : Alif Maddiyyah makhrajnya
ialah ruang tengah kerongkong, sedangkan Hamzah pula ialah hujung halkum."

Sekian...

MENGENALI IMAM QURRA SEPULUH (pengenalan)

Assalamualaikum wrt,

Setelah kita membincangkan sebelum ini berkenaan al-Quran itu diturunkan di atas tujuh huruf serta perbahasan maksud huruf tersebut. Maka pada kali ini kita selangkah lagi masuk ke alam ilmu Qiraat serta merasai suasana keadaan yang ada di dalam ilmu ini dengan kita mengenali tokoh-tokoh imam Qurra yang sepuluh sepertimana yang disusun oleh imam Ibnu al-Jazari dalam catatannya, Toyyibah al-Nasyr.

Telah saya huraikan sebelum ini bahawa tujuh huruf itu bukanlah memberi makna tujuh imam tetapi ia adalah penunjukkan makna yang terlalu luas sehingga mencapai puluhan pandangan alim ulama dalam mentafsirkan maksudnya. Dan, saya tidak berniat untuk menghurai isu itu lagi.

Kalau dilihat dalam helaian ilmu Qiraat, di sana terdapat beberapa sukatan pembelajaran yang berbeza dalam memahami ilmu ini. Ada yang membincangkan 7 imam sahaja, 10 imam, 14 imam dan sebagainya. Kerana ini semua terbit dari perjalanan sejarah hidup pembawaan mushaf al-Quran yang berbeza. Hal inipun telah saya kupaskan di coretan yang lalu.

Sekarang ini kita akan mengenali imam-imam qurra yang cukup dikenali samada dari sudut sejarah hidup riwayat imam-imam tersebut, latarbelakang pendidikan, sifat tubuh badan dan apa-apa yang berkaitan dengan mereka.

Namun perlulah diketahui setiap dari mereka yang sepuluh ini lahir anak didik yang kalau dikumpulkan kesemua sekali mencapai angka ribu. Diistilahkan anak didik ini sebagai perawi. Sekalipun begitu hanya 2 orang sahaja perawi mereka yang akan kita perkenalkan juga di dalam ruangan 'Mengenali Imam Qurra Sepuluh' ini. Kerana imam-imam tersebut pabila mengajarkan al-Quran kepada anak muridnya bukan tertumpu kepada satu huruf sahaja seperti kita pada hari ini bahkan banyak huruf (seperti pelajar-pelajar di fakulti al-Quran dan al-Qiraat). Sehingga disebut oleh ahli sejarah bahawa setiap dari mereka (imam) mengetahui tentang perbezaan bacaan yang banyak dan diajar kepada anak murid mereka mengikut tahap kekuatan anak murid mereka masing-masing. Perkara ini lebih dikenali keadaannya oleh ahli di zaman itu.

Sebelum lebih lanjut lagi, saya suka memperingatkan di sini sudah 2 istilah yang kita dapat setakat ini iaitu :
1) Imam - iaitu imam-imam qurra sepuluh.
2) Perawi - iaitu 2 orang anak murid yang masyhur dari setiap imam di atas. Jumlah mereka bila didarab dengan imam menjadi 20 perawi.

Ruangan ini juga akan menampilkan kaedah atau rumus umum dari setiap imam untuk pengetahuan bersama. Cumanya sahabat-sahabat tidaklah dibenarkan untuk mempraktikkan kaedah tersebut samada untuk amalan pembacaan al-Quran seharian, persemabahan atau tanpa apa-apa tujuan tanpa tunjuk ajar dari guru yang mendalami bidang ini atas sebab beberapa faktor seperti berikut :

a) Semua bentuk bacaan qiraat yang ada pada hari ini diambil oleh seorang anak murid dari gurunya adalah secara talaqqi dan musyafahah (secara berguru). Hal ini berterusan sehinggalah sampai ke tabi'in, dari tabi'in ke para sahabat ra, dan seterusnya para sahabat mengambilnya dari Baginda saw yang semuanya berjalan di atas jalan talaqqi dan musyafahah. Kita akan lihat suasana ini memang berlaku ketika sejarah latarbelakang pendidikan setiap imam qurra dikemukakan nanti. Oleh itu, perlulah kepada mereka yang berminat untuk mempraktikkan bacaan qiraat yang lain mempelajari terlebih dahulu dari guru yang mendalami ilmu ini.

b) Kaedah atau rumus yang ditampilkan dalam ruangan ini adalah berbentuk umum semata-mata. Hal ini adalah kerana hampir keseluruhan ayat dalam al-Quran mempunyai kaedah khusus yang tidak dapat saya kemukakan di dalam ruangan ini yang semua itu menjadi perbezaan bacaan setiap dari mereka. Seperti juga kita mengetahui lahjah percakapan orang Kelantan yang kaedah secara amnya mereka bercakap akan menghilangkan huruf 'N' yang berada di hujung kalimah yang mempunyai huruf tersebut di hujung lalu digantikan dengan bunyi huruf 'E' condong seperti : 'makan' jadi 'make', 'ikan' jadi 'ike', 'pinggan' jadi 'pingge' dan lain-lain lagi. Itu kaedah umum yang ramai orang ketahui, adapun kaedah khusus yang hanya diketahui oleh anak kelahiran Kelantan sahaja adalah tidak dapat diketahui oleh orang luar melainkan dengan jalan belajar secara talaqqi dari orang Kelantan atau orang yang mengetahuinya, seperti perkataan : 'ais' bertukar kepada 'beng', 'satu' kepada 'so' sebagai contoh : "Milo beng so!" bermakna "Milo ais satu!". Yang semua ini perlu dipelajari jika ingin menuturkannya dengan baik.

Begitulah hakikat perbezaan bacaan qiraat yang ada. Sebab itu kepada sesiapa yang hanya mengetahui serba sedikit kaedah qiraat yang ada sebenarnya dirinya belum layak untuk mengamalkan bacaan qiraat yang pelbagai apatah lagi mengajarkannya.

Namun saya sedih kerana ada beberapa golongan terutamanya di negara kita yang mana mereka ini dilatih dan diajarkan bentuk-bentuk bacaan qiraat dalam tempoh yang singkat (hanya beberapa minggu, itupun seminggu hanya berapa jam sahaja) diberi tempat untuk mengajarkan kepada orang ramai sacara rasmi. Saya tidak bersetuju dengan hal keadaan tersebut sekiranya dia mengajarkan kepada orang lain dari selain yang dipelajarinya kerana atas beberapa faktor yang memberi kesan ke atas ketulenan dan kualiti ilmu ini. Berkemungkinan menjadi mereka (pengajar dan yang di ajar) terjatuh dalam tempat yang salah. Saya memohon maaf tapi itulah hakikatnya.

Tujuan ruangan ini dibuat adalah untuk memberi gambaran ringkas kepada sahabat pengunjung berkenaan ilmu Qiraat. Kerana saya bercita-cita untuk mengupas ilmu ini dengan lebih meluas, kaitannya dengan ilmu-ilmu yang lain atau kehebatan perbezaan bentuk-bentuknya dari pelbagai sudut secara ilmiah dan kehidupan manusia, di masa yang akan datang kelak, insyaAllah.

Sekian.....