AL-QURAN MEMPUNYAI PELBAGAI BENTUK BACAAN
Negara kita dan majoriti negara umat Islam kini menggunakan bacaan Hafs.
Namun perlu diketahui ketika wahyu al-Quran masih turun, Nabi sering meminta Jibril as untuk naik ke atas (berjumpa dengan Allah) untuk meminta bentuk bacaan yang lain juga.
Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas ra menyatakan: Nabi saw telah bersabda :
"Malaikat Jibril as telah membacakan kepadaku dengan satu huruf (bentuk bacaan) lalu aku mengulang bacaan itu, aku sentiasa meminta Jibril supaya menambahkan lagi huruf yang lain (meminta Jibril as supaya mohon dari Allah swt bentuk bacaan yang lain) dari ayat tersebut dan beliau menambahkan sehingga kepada tujuh huruf".
Para sahabat ra juga mendapat bacaan bentuk yang berlainan dari Baginda saw. Hal ini dapat dilihat pertembungan antara Umar ra dan Hisyam bin Hakim ra seperti berikut:
Bukhari dan Muslim juga bahawa Umar bin al-Khattab ra berkata: "Aku mendengar Hisyam bin Hakim ra (yang sedang sembahyang) membaca surah al-Furqan ketika itu Rasulullah saw masih hidup. Lalu aku perhati bacaannya, dia membaca dengan banyak huruf yang aku sendiri tidak baca seperti itu di depan Rasulullah saw. Aku berazam untuk menangkapnya sejurus saja dia selesai sembahyang, aku tunggu sehingga dia memberi salam kemudian aku pegang dia dengan kain selempangnya dan bertanya: "Siapa yang bacakan kepada kau sepertimana yang aku dengar tadi?". Dia menjawab: "Rasullullah saw yang bacakan kepadaku (seperti itu)". Aku berkata: "Kau penipu, demi Allah, Rasulullah tidak bacakan kepadaku seperti itu". Kemudian aku membawa dia bertemu Rasulullah saw dan aku bertanya: "Wahai Rasulullah! Aku mendengar dia membaca surah al-Furqan dengan huruf yang kau tidak bacakan kepadaku sedangkan kau telah mengajarkan aku bacaan surah itu". Lalu Rasulullah saw bersabda: "Lepaskan dia wahai Umar! Bacalah wahai Hisyam!". Dia pun membaca seperti yang aku dengar tadi dan Rasulullah saw bersabda: "Demikianlah seperti itu diturunkan", kemudian Rasulullah saw menyuruhku pula:"Bacalah wahai Umar!". Maka aku baca sepertimana yang Baginda ajarkan, dan Rasullullah saw bersabda: "Itu juga seperti yang telah diturunkan, sesungguhnya ini adalah al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah apa yang mudah (bagi kamu) dari salah satu huruf itu".
Secara ringkasnya, al-Quran mempunyai pelbagai bentuk dialek atau lahjah bacaan mengikut kesesuaian suku Arab yang ada ketika wahyu sedang rancak turun.
Namun pada kurun ke11 Hijrah, khilafah Dinasti Uthmaniyyah telah mewartakan hanya bacaan Hafs sahaja yang digunakan diseluruh negara umat Islam untuk keseragaman. (Dinamika Ilmu Qiraat Quraniyyah oleh Dr Sabri Mohamad)
Namun beberapa negara masih lagi kekal dengan bentuk bacaan yang dibawa oleh Sahabat ra yang asal seperti di benua Afrika yang majoriti menggunakan bentuk Qalun dan Warsy.
Lihat https://www.youtube.com/results?search_query=bacaan+qalun
Lain bentuk bacaan, maka lain juga hukum hakam tajwidnya. Sebagai contoh bacaan Warsy mempunyai 2, 4 atau 6 harakat bagi hukum Mad Iwad. Mad Jaiz Munfasil dan Wajib Muttasil dengan 6 harakat secara wajib.
Semoga bermanfaat.
Khuwaydim al-Quran
1 Mei 2019
Tiada ulasan:
Catat Ulasan