Isnin, 19 Januari 2009

BILANGAN AYAT AL-QURAN 6666?

Dengan nama Allah, kerana dengan namaNya itu tidak ada sesuatupun yang dapat memberi mudarat di bumi dan di langit...

Yang Dikenali di Kalangan Rakyat Malaysia...

Bulan depan anak dara Mak Ngah yang baru balik dari Mesir nak kahwin dengan putera di raja. "Berapa hantarannya?" sapa jiran kepada Mak Ngah.
"Aik! Enam puluh enam ribu enam ratus enam puluh enamlah, ayat Qurankan enam enam enam semuanya" jawab Mak Ngah dengan penuh yakin.

Jadi pada tanggal 6/6/06 tarikh keramat telah dipilih untuk majlis perkahwinan diraja yang cukup bermakna ini. Siangnya upacara akad nikah di masjid simpang Enam dan kenduri makan nasi hujan panas oleh Katering Enam bersaudara. Malamnya majlis khatam al-Quran oleh dua mempelai untuk habiskan bacaan 6666 ayat al-Quran bagi mendapat keberkatan dari Allah swt untuk mereka berdua, ujar Mak Ngah kepada jiran tetangga.

Betul ke Mak Ngah?

Benarkah bilangan ayat al-Quran sebanyak 6666 ayat?

Jawapannya adalah salah. Mari kita lihat perbahasan ulama dalam hal ini.

Perbahasan Ulama

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekelian, di sana ulama tidak bersepakat dalam menentukan bilangan ayat al-Quran atas beberapa faktor yang akan saya kupaskan kemudian. Ilmu ini dibincang secara mendalam oleh ulama, dan ilmu ini diberi nama Ilmu Fawasil.

Fawasil ialah satu ilmu yang membahaskan tentang surah dan bilangan ayat al-Quran secara khusus dari segi bilangan ayat bagi satu-satu surah, hujung setiap ayat (ra'su al-ayah), dan permulaan ayat.

Mulanya mari kita lihat berapa bilangan ayat al-Quran yang sebenarnya di sisi ulama seperti berikut :

1) Di sisi Ulama Kufah terbahagi kepada 2 pendapat :

i) Pendapat pertama - 6217
ii) Pendapat kedua - 6236. Pendapat ini yang digunapakai untuk kebanyakan Mashaf dengan Qiraat Hafs dari Imam 'Asim.

2) Di sisi Ulama Madinah (kelompok pertama) terbahagi kepada 2 pendapat juga :

i) Pendapat pertama - 6217
ii) Pendapat kedua - 6214

3) Ulama Madinah (kelompok kedua) - 6214

4) Ulama Makki - 6210

5) Ulama Syam terbahagi kepada 3 pendapat :

i) Pendapat pertama - 6226
ii) Pendapat kedua - 6227
iii) Pendapat ketiga (pendapat Ulama Himsi) - 6232

Mengapa berlaku perselisihan dalam membilang ayat al-Quran?

Pertama sekali, kita perlu melihat dari sudut mengapa ulama bersungguh-sungguh dalam membentuk ilmu ini? Menyusun dan meletakkan kaedah-kaedah secara terperinci dengan sehabis-habis kesungguhan.

Ini adalah kerana dari kesungguhan al-Salaf al-Soleh sendiri iaitu para sahabat ra yang hidup bersama-sama dengan Nabi saw, yang mereka ini sering memerhati, melihat dan mengambilkira semua gerak-geri, pertuturan, dan pendirian Nabi saw.

Nabi saw sendiri mengaku akan kesungguhan mereka dalam berpegang dengan agama Islam seperti sabda Baginda saw :

"Sebaik-baik umatku adalah kurun yang aku diutuskan kepada mereka, kemudian kurun yang berikutnya ".
( Riwayat Muslim dalam sahihnya, hadis ke-2534)

Sini bermaksud, bahawasanya merekalah orang yang bersungguh dalam menjelaskan bilangan ayat-ayat al-Quran dan huruf-hurufnya. Sukanya mereka mengira-ngira ayat al-Quran ketika dalam solat. Sibuk mengira-ngira dengan jari-jemari mereka ketika solat akan berapa ayat yang sudah dibaca oleh Nabi saw atau mereka sendiri ketika solat malam dan sebagainya kerana anjuran dari Nabi saw supaya mereka meraih sebanyak mungkin pahala membaca dengan bilangan tertentu.

Berkata Abdullah bin Umar ra :

"Sesiapa yang membaca ketika malam sepuluh ayat maka dia tidak ditulis dari al-ghofilin (golongan pelupa), dan sesiapa yang membaca seratus ayat maka dia ditulis dari al-qonotin (golongan yang taat dan khusyuk), dan sesiapa yang membaca dua ratus ayat maka dia ditulis dari al-fa izin (golongan yang berjaya)."
(Riwayat al-Darimi hadis ke-3457).

Berkata Tamim al-Dari dan Fadholah bin 'Ubaid :

"Sesiapa yang baca lima puluh ayat pada waktu malam maka dia ditulis dari golongan al-hafizin (golongan yang menghafaz)".
(Riwayat al-Darimi hadis ke-3447).

Dan sabda Baginda saw :
"Dan sesiapa yang membaca pada waktu malam lima ratus hingga seribu ayat maka untuknya satu qintor (dari pahala) di Hari Akhirat kelak". Mereka bertanya : "Apa dia qintor?" Maka Sabda Baginda : "Dua belas ribu".
(Riwayat al-Darimi hadis ke-3459).

Oleh kerana hal demikian, haloba yang bersangatan para sahabat ra dan umat Islam selepas itu mengira-ngira dengan jari-jemari mereka di dalam sembahyang untuk mengetahui bilangan ayat yang sudah dibaca demi meraih pahala yang telah dijanjikan.

Di situ, ada kemungkinan sahabat A yang sedang solat di belakang Rasulullah saw mengira ayat yang dibaca oleh Baginda saw adalah sebanyak sekian-sekian. Kemudian dia keluar kota demi urusan dakwah dan sebagainya. Di hari yang lain pula, Baginda saw baca dari surah yang sama tapi sahabat B pula kira ayat tersebut dengan bilangan yang berbeza dari sahabat yang pertama tadi. Mungkin ada perbezaan dari segi cara berhenti dan cara mengambil ayat semula oleh Baginda saw pada dua malam tersebut. Maka, akhirnya sudah tentu ada jalan periwayatan yang berbeza dengan maklumat yang berbeza.

Sebagai contoh Nabi saw bersabda :

"Fatihah al-Kitab dia adalah tujuh ayat yang sering diulang-ulang"
(Riwayat al-Darimi hadis ke-3372)

Ulama Kufi dan Makki mengira (( بسم الله الرحمن الرحيم )) sebagai satu ayat, dengan mengambilkira dari riwayat Ummu Salamah ra bahawa Nabi membaca : "(( الحمد لله رب العالمين )) kemudian Nabi berhenti, (( الرحمن الرحيم )) kemudian berhenti, dan Nabi Membaca (( ملك يوم الدين )) (tanpa Alif Mad).
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Turmizi)

Abdu Khair berkata : "Ali pernah ditanya tentang السبع المثانى ". Maka beliau menjawab : (( الحمد لله رب العالمين )) sehingga akhir, kemudian ditanya : "Semua itu enam ayat sahaja". Maka beliau berkata :(( بسم الله الرحمن الرحيم )) adalah satu ayat.
(Riwayat al-Darqutni dan al-Baihaqi di al-Kubra).

Sedangkan ulama Fawasil yang lain tidak mengira basmalah sebagai satu ayat, bahkan mengira (( أنعمت عليهم )) sebagai satu ayat pula.

Selain dari itu, para sahabat melihat dari sudut kesamaan hujung setiap ayat (ra'su al-ayah), ini juga adalah satu faktor kerana berlaku perbezaan dalam mengira bilangan ayat al-Quran.

Sebagai contoh dalam surah al-Naas :
Setengah ulama mengira (( من شر الوسواس الخناس )) sebagai hujung ayat, sedangkan sebahagian yang lain hanya mengira setakat (( الوسواس )) sebagai hujung ayat.

Demikianlah sebahagian faktor penyebab berlaku perbezaan dalam menentukan bilangan ayat al-Quran yang sempat saya muatkan di sini.

Untuk lebih mengetahui faktor-faktor tersebut perlukan kepada perbahasan yang panjang dan secara khusus. Namun di sini sekurang-kurangnya kita sudah mengetahui keadaan sebenar yang berlaku. Adapun di masa lain akan saya kupaskan pula dari sudut menentukan bilangan ayat ini adakah dari ijtihad para ulama ataupun ada asas dari Baginda saw, serta faedah ilmu ini dibincangkan. Wallahu a'lam

Bersambung...

Rabu, 14 Januari 2009

BAGAIMANA MAHU MENDIDIK ANAK DENGAN AL-QURAN?






Membentuk generasi al-Quran yang unggul...

Salam sahabat pengunjung semua...

Gelihati dan sejuk mata memandang apabila melihat telatah kedua-dua kanak tersebut. Bukankah begitu?!

Persoalannya...

Bagaimana untuk kita mendidik anak-anak kita dengan al-Quran seperti mereka berdua?Terfikir dalam kotak pemikiran kita. Tampak kedua-dua kanak tersebut rasanya mudah sahaja, tapi sebenarnya di belakang struktur binaan peribadi mereka dan anak-anak yang sewaktu dengan mereka tersimpan beberapa rahsia bentuk-bentuk didikan yang bagus dan tersusun rapi. Nah! Di sini mari kita berkongsi dengan beberapa tips yang saya dapatkan untuk kita gunakan dalam didikan anak-anak kita.

Tips-tips...

Yang paling penting, pastikan tips-tips ini mesti ada kerjesama di antara kedua ibubapanya, demi mencapai tujuan pembentukan anak-anak al-Quran. Di antara tips-tipsnya ialah seperti berikut :

1) Kedua ibubapa itu sendiri mesti terbuka hati dan minat terhadap al-Quran dengan pelbagai cara yang ada samada melazimkan membaca al-Quran pada setiap Subuh atau Maghrib dengan kadar yang sedikit tetapi berterusan dan memahami makna-maknanya dengan melihat terjemahan al-Quran yang ada.

Begitu juga dengan cara mengikuti kelas-kelas al-Quran yang terdapat di kawasan sekitar. Ini kerana anak yang sering melihat kedua ibubapanya melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh akan memberi impak yang besar dalam aktiviti kehidupan mereka secara langsung.

Hal ini, perlu dipandang lebih penting untuk ibu yang sedang mengandungkan anak. Cuba semampu mungkin untuk mengkhatamkan al-Quran banyak kali, atau sentiasa melihat makna-makna ayat al-Quran dan memahaminya, atau membaca surah-surah yang sinonim untuk ibu yang sedang mengandung seperti :

i) Surah Yusuf ketika umur janin mulai memasuki minggu ke-16, pada masa itu roh mula ditiupkan kepadanya dan proses pembentukan janin bermula. Niatkan untuk memperoleh anak yang cantik akhlak dan fizikalnya.

ii) Surah Luqman ketika umur janin mulai masuk minggu ke-24, perkembangan otak bayi sedang berkembang dengan pesat. Niatkan untuk mendapat anak yang bijak dan cerdas mindanya.

iii) Surah Maryam ketika janin mulai masuk minggu ke-36. Bayi semakin matang dan bersedia untuk dilahirkan. Niatkan untuk tanamkan aqidah yang betul dan sempurna kepada bayi, dan dipermudahkan proses bersalin yang akan menjelma tidak berapa lama lagi.

2) Mengajar anak membaca al-Quran atau menghantarnya ke kelas al-Quran yang ada dengan jadual setiap hari. Lazimnya waktu yang sesuai selepas Asar atau Maghrib.

Bagi ibubapa yang mampu untuk mengajar al-Quran kepada anak sendiri adalah lebih baik kerana di situ wujud contoh ikutan bagi si anak secara tidak langsung. Lebih baik lagi, kalau mampu rumah kita dijadikan kelas mengaji untuk jiran tetangga kita.

3) Sentiasa memasang bacaan ayat suci al-Quran di rumah, dalam kereta dan sebagainya. Hidupkan rumah kita dengan alunan al-Quran, hindarkan dari bunyi bising muzik-muzik yang melalaikan. Begitu juga filem-filem yang tidak memberi faedah yang banyak dalam jiwa anak-anak melainkan kerosakan cuba ditinggalkan.

Dan petua dari Juara Akademi al-Quran sesi pertama, Abdullah Fahmi katanya arwah ayahnya sentiasa memasang kaset bacaan al-Quran bertarannum Syekh al-Mutawalli, Surah Yusuf di mana sahaja beliau berada samada di rumah, dalam kereta dan sebagainya, dari beliau masih kecil hingga sebelum ayahnya menghembuskan nafas terakhir. Akhirnya dia secara automatik terikut suara merdu syekh tersebut, dan itulah idolanya katanya.

4) Taipkan ayat-ayat al-Quran yang lazim di dengari beserta terjemahannya kemudian print dan tampalkan di pintu-pintu atau di dinding-dinding dalam rumah. Kalau dapat beli hasil kraftangan ayat al-Quran beserta terjemahannya lebih bagus.

Tips ini sesuai untuk anak yang sudah mula boleh membaca. Ketika ini umurnya mungkin baya pelajar sekolah rendah adalah tahap yang sedang mencari identiti hidup masing-masing. Maka amat penting untuk diawasi oleh ibubapa.

5) Begitu juga tahap umur demikian, sesuai kalau ibubapa dapatkan bahan bacaan ringan atau filem-filem yang berunsurkan al-Quran sebagai tatapan mereka. Biarkan bahan-bahan tersebut sentiasa ada di dalam rumah.

Mungkin kita tidak melihat mereka membaca atau menonton filem tersebut di depan mata kita tapi sebenarnya itulah tatapan mereka yang akan juga dilihat tanpa kita sedari.

6) Memanggil anak dalam satu masa pada setiap hari kemudian disuruh ikut bersama-sama membaca surah-surah yang lazim dan pendek secara hafazan. Ini baik untuk anak tersebut kerana sudah mampu ingat beberapa surah sebelum boleh mengenal huruf tetapi kerjasama kedua ibubapa itu penting dalam melakukan tips yang ke-6 ini, lebih-lebih lagi ibubapa yang sibuk dengan kerjaya mestilah fikirkan bagaimana melaksanakannya dalam bentuk konsisten demi pembentukan peribadi anak yang cemerlang.

7) Tips terakhir yang dapat saya kongsikan di sini ialah satu tips yang mungkin tidak semua ibubapa setuju tapi saya harapkan cuba fikirkannya dulu. Iaitu menghantar anak di mana-mana sekolah tahfiz, jadikan dia seorang hafiz yang ingat al-Quran dahulu kemudian bila sudah menghafaz 30 juzu' secara sempurna barulah didorongkan dia mengambil sukatan pelajaran yang ada di negara kita. Ini berdasarkan beberapa sebab :

i) Ramai sahabat saya yang berada di institut pengajian tinggi samada dalam ataupun luar mereka sudah menghafal al-Quran semenjak kecil lagi dan apabila sudah mendapat ijazah sarjana muda dalam apa jua bidang barulah mereka fikirkan untuk mengambil peperiksaan sukatan pelajaran yang ada seperti Sijil Pelajaran Malaysia. Nampaknya mereka lebih untung kerana memiliki al-Quran di dada, ijazah sarjana muda dan apa-apa sijil peperiksaan kementerian.

ii) Meneladani contoh latarbelakang pendidikan ulama-ulama Islam yang tersohor di zaman dahulu. Sudah mengahafal al-Quran semenjak kecil kemudian baru tumpu kepada ilmu-ilmu yang lain. Hal ini, masih dilakukan oleh kebanyakan kanak-kanak di bumi arab. Kemampuan ingatan mereka terlalu kuat kerana sudah diasah semenjak kecil dengan menghafaz al-Quran.

Akhiran...

Apa yang dikongsi di sini adalah sebahagian kecil yang dapat saya utarakan kerana di sana masih banyak lagi tips yang boleh difikirkan dan dilaksanakan.

Semoga ini memberi hasil yang lumayan untuk agama kita bersama. Di dunia ibubapa bangga di akhirat ibubapa bahagia.

Bahawasanya Baginda saw telah bersabda :

"Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengannya, dipakaikan kedua ibubapanya mahkota di Hari Akhirat kelak sinarnya lebih bagus dari sinaran matahari yang berada di rumah-rumah dunia jika ianya berada dalam rumah itu, maka pada sangkaan kamu apakah balasan (si anak itu) yang beramal dengannya?"

( Riwayat Abi Daud dari Sahli bin Mu'az al-Juhni dari ayahnya).

Isnin, 5 Januari 2009

AL-QURAN DITURUNKAN DENGAN TUJUH HURUF


Assalamualaikum wrt

Sahabat pengunjung yang dirahmati Allah,

Sudah sebulan blog ni saya tidak masukkan artikel-artikel ilmiah yang baru. Dek lantaran jaringan internet yang tidak berapa mengizinkan. Saya memohon maaf!

Alhamdulillah, di kala ini saya berkesempatan untuk menulis sedikit wacana bekalan di dada. Berkenaan al-Quran itu diturunkan dengan tujuh huruf. Semoga ini menjadi ilmu yang berkat untuk kita semua.

Satu pengenalan

Tika mana Islam baru mula berkembang di tanah Jazirah Arab, terutamanya keluasan Bumi Hijjaz tanah kelahiran Baginda saw, komuniti Arab itu sendiri terdiri dari pelbagai bangsa dan puak yang wujud sudah sekian lama.

Bila diamati, kedatangan Islam yang mempunyai pelbagai hukum syara' yang bakal merubah mereka datang dengan keadaan beransur-ansur. Sesuatu yang sudah dilazimi semenjak zaman Jahiliyah lagi jika ingin diubah, Allah swt datangkan dengan mertabat hukum yang beransur demi hati mereka menerima dengan baik. Baik hukum arak, hamba, pernikahan dan lain-lain lagi.

Begitulah juga datangnya al-Quran kepada mereka yang mempunyai pelbagai jenis lidah dan peringkat umur. Jika ia masih kecil tentu senang untuk dilatih membaca menggunakan lahjah yang baru, tapi kalau sudah tua jika tiada kemudahan membaca ayat al-Quran tentulah menyukarkan, lantas al-Quran tidak dibaca langsung.

Hadis-hadis yang datang menerangkan hal tersebut:

1) Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam Sohih mereka, dari Ibn 'Abbas ra berkata : Telah bersabda Rasulullah saw : "Jibril membacakan kepadaku dengan satu huruf, maka aku meminta ia berfikir, maka sentiasa aku meminta tambahan (aku sentiasa meminta dari Jibril as supaya memohon dari Allah swt penambahan dari satu huruf tersebut sebagai keringanan, rahmat dan keluasan ke atas umatku), dan Jibril memberi tambahan sehingga kepada tujuh huruf". Riwayat Muslim menambah : Berkata Ibn Syihab : "Sampai kepadaku ketujuh-tujuh huruf tersebut pada perkara yang masih menjadi satu (makna), tidak berselisih pada perkara halal dan haram".

2) Dari Bukhari dan Muslim juga bahawa Umar bin al-Khattab ra berkata: "Aku mendengar Hisyam bin Hakim ra (yang sedang sembahyang) membaca surah al-Furqan ketika itu Rasulullah saw masih hidup. Lalu aku perhati bacaannya, dia membaca dengan banyak huruf yang aku sendiri tidak baca seperti itu di depan Rasulullah saw. Aku berazam untuk menangkapnya sejurus saja dia selesai sembahyang, aku tunggu sehingga dia memberi salam kemudian aku pegang dia dengan kain selempangnya dan bertanya: "Siapa yang bacakan kepada kau sepertimana yang aku dengar tadi?". Dia menjawab: "Rasullullah saw yang bacakan kepadaku (seperti itu)". Aku berkata: "Kau penipu, demi Allah Rasulullah tidak bacakan kepadaku seperti itu". Kemudian aku membawa dia bertemu Rasulullah saw dan aku bertanya: "Wahai Rasulullah! Aku mendengar dia membaca surah al-Furqan dengan huruf yang kau tidak bacakan kepadaku sedangkan kau telah mengajarkan aku bacaan surah itu". Lalu Rasulullah saw bersabda: "Lepaskan dia wahai Umar! Bacalah wahai Hisyam!". Dia pun membaca seperti yang aku dengar tadi dan Rasulullah saw bersabda: "Demikianlah seperti itu diturunkan", kemudian Rasulullah saw menyuruhku pula:"Bacalah wahai Umar!". Maka aku baca sepertimana yang Baginda ajarkan, dan Rasullullah saw bersabda: "Itu juga seperti yang telah diturunkan, sesungguhnya ini adalah al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah apa yang mudah (bagi kamu) dari salah satu huruf itu".

3) Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dengan lafaz Huzaifah : Maka aku (Rasulullah saw) bersabda : "Wahai Jibril, sesungguhnya aku diutuskan kepada umat yang tidak reti membaca dan menulis. Di kalangan mereka ada lelaki, wanita, kanak-kanak, hamba perempuan, orang tua panjang usianya yang tidak membaca apa kitab sekalipun. Berkata Jibril : "Sesungguhnya al-Quran diturunkan atas tujuh huruf."

Dan di sana banyak lagi hadis-hadis Rasulullah saw dan sejarah para sahabat ra yang menerangkan tentang keadaan ayat al-Quran datang dengan pelbagai huruf. Terutama dalam sejarah pembukuan Mashaf di zaman Saidina Osman ra. Mungkin di masa lain kita akan bincangkan hal itu.

Maksud huruf?

Pada asal maknanya ialah :
1) Hujung penghabisan bagi sesuatu, sebagai contoh : أعلى الجبل حرف (tertinggi bukit itu ialah puncak atau hujungnya). Firman Allah swt : ( ومن الناس من يعبد الله على حرف ) al-Hajj, ayat 11. Maksudnya : (( Di antara manusia itu ada yang menyembah Allah dengan berada di tepi (tidak dengan penuh keyakinan) )).

2) Huruf Ejaan, had terputus suara dan tujuan suara tersebut.

3) Tepi sesuatu dan sebelahnya. Sebagai contoh : حرف السفينة bermaksud tepi kapal.

4) Penggunaan atas bahasa dan lahjah dalam bahasa, kerana setiap bahasa adalah satu bahagian dari bahagian-bahagian semua bahasa. Ia tersusun lalu membentuk satu bahasa.

5) Menunjukkan ke atas satu bentuk qiraat yang ada pada al-Quran, satu bentuk bacaan al-Quran, kerana itu disebut : هذا حرف ابن كثير bermaksud "Ini bacaan Ibnu Kathir".

Namun perlu berhati, bahawa tujuh huruf bukanlah bermaksud tujuh bacaan qiraat kerana selepas ini kita akan huraikan apakah maksud tujuh huruf itu dan ada berapa bentuk bacaan yang ada dalam al-Quran.

Tujuh huruf?

Ulama berbeza pendapat tentang maksud tujuh huruf ini berdasarkan hadis yang pelbagai kepada beberapa pendapat. Sehingga al-Suyuti menyebut dalam kitab al-Itqan, perbezaan pendapat pada makna tujuh huruf ini membawa kepada sehingga 40 makna berdasarkan pendapat para ulama.

Adapun di sini kita cuba mengambil beberapa pandangan sahaja untuk sebagai pengenalan asas, di antaranya :
1) Pandangan Muhammad bin al-Sa ib al-Kalbi dan Sulaiman bin Mahran al-Asadi yang terkenal dengan panggilan al-'Amasy : Tujuh huruf bermaksud tujuh bahasa bangsa Arab pada makna yang satu, yakni berbeza bahasa Arab pada mengungkap sesuatu makna dari kalimah yang tertentu.

Cumanya mereka berbeza pula pendapat dalam menentukan bahasa tersebut. Ada mengatakan bahasa itu ialah bahasa Quraisy, Huzail, Thaqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan Yaman. Dan pelbagai lagi pendapat dalam hal ini.

2) Bermaksud tujuh bentuk dari segi : Perintah, larangan, janji baik, janji buruk, perdebatan, kisah-kisah, perumpamaan, halal dan haram, ayat yang jelas dan samar, dan misalan-misalan.

Sepertimana riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas'ud ra dari Nabi saw bersabda : "Adalah pada permulaannya al-Kitab diturunkan dari pintu yang satu atas huruf yang satu. Dan lalu diturunkan al-Quran dari tujuh pintu atas tujuh huruf ; Tegahan, perintah, halal, haram, ayat yang jelas, ayat yang samar, dan misalan".

3) Pendapat yang kuat ialah pendapat al-Imam Fakhr al-Din al-Rozi, hampir dengan pendapat al-Imam Ibn al-Jazari, Ibn Qutaibah, al-Qodi Abu al-Thoiyyib, dikuatkan pula dari ulama yang terkemudian seperti al-Syekh Muhammad Bakhit al-Muthi'i dan al-Syekh Muhammad Abdul 'Azim al-Zirfani, seperti berikut:

Ialah perbezaan dari tujuh sudut seperti berikut :
i) Perbezaan kata nama dari sudut kata tunggal, kata pendua dan ramai, dan dari sudut kata lelaki dan kata perempuan. Firman Allah swt : ( والذين هم لأماناتهم ) al-Mu'minun ayat 8. Kalimah أماناتهم berbentuk kata ramai, namun ada qiraat dengan kata tunggal أمانتهم .

ii) Sudut bentuk-bentuk 'irab. Firman Allah : ( فتلقى آدمُ من ربه كلماتٍ ) al-Baqarah ayat 37. Kalimah آدم keadaan marfu' dan kalimah كلمات keadaan mansub. Namun qiraat lain, kalimah آدم keadaan mansub dan kalimah كلمات keadaan marfu'.

iii) Sudut binaan kalimah. Firman Allah swt : ( فقالوا ربنا باعد بين أسفارنا ) Saba' ayat 19. Ada sebahagaian qiraat baca dengan rafa'kan ربنا dan mensabdukan huruf 'Ain pada بعّد .

iv) Sudut mengawalkan dan mengakhirkan, firman Allah : ( أفلم ييأس ) al-Ra'd ayat 31. Pada setengah qiraat يأيس .

v) Sudut menukar samada huruf atau kalimah seperti firman Allah : ( وانظر إلى العظام كيف ننشزها ) al-Baqarah ayat 259, pada qiraat lain ditukar ننشزها dengan ننشرها .

vi) Sudut menambah dan mengurangkan seperti firman Allah : ( وأعد لهم جنات تجرى تحتها الأنهار ) al-Taubah ayat 100. Pada qiraat lain ada penambahan kalimah مِن selepas kalimah تجرى .

vii) Sudut menebal atau menipiskan, fatah, taqlil atau imalahkan, izhar atau idghamkan, dengan Hamzah atau tashilkan, dan sebagainya.

Demikianlah pandangan para ulama dalam mengatakan makna tujuh huruf ini. Oleh kerana ilmu ini terlalu luas dan tiada satu kata ketetapan yang jelas dari Baginda saw maka ianya menjadi satu wacana perselisihan ulama untuk menghuraikannya. Ketika Rasulullah saw masih hidup pun baginda tidak mengajarkan semua huruf-huruf tersebut pada kebanyakan sahabat demi menjaga tahap kekuatan ingatan dan kefahaman para sahabat.

Hikmah penurunan sebegitu?

Di sana, wujud beberapa hikmah al-Quran datang sebegini rupa. Seperti yang ulama huraikan adalah seperti berikut :

i) Bukti menunjukkan pengawalan, penjagaan terhadap Kitab Allah ini dari penggantian dan perubahan tangan berkepentingan kerana wujudnya pelbagai huruf terus mematikan hasrat jahat mereka.

ii) Meringan dan memudahkan umat Nabi Muhammad saw dalam usaha membaca al-Quran sepertimana yang kita faham dari hadis Nabi sebelum ini.

iii) Menghimpunkan kepelbagaian aneka lidah Arab ketika itu kepada satu sumber sahaja yakni al-Quran. Lantas ianya dapat menyatukan bangsa-bangsa Arab.

Akhir kalam

Semoga, kita semua dapat memahami hal ini. Ianya diturun dan dihidangkan kepada kita semua dalam keadaan mempunyai kehebatan yang luar biasa, sehingga kita dan sesiapa sahaja tidak mampu untuk menggapai dan mengejar kelajuan kehebatannya itu. Itulah Mukjizat Agung...