Salamun 'alaik,
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Pada kali ini saya ingin mengupas satu tajuk yang saya kira menarik dan penting untuk diketahui bersama.
Iaitu bagaimana sebenarnya kedudukan basmalah (atau juga dikenali tasmiah, بسم الله الرحمن الرحيم ) dalam surah al-Fatihah secara khusus dan bagaimana hal keadaannya ketika ingin dibacakan dalam sembahyang menurut pandangan para ulama.
InsyaAllah saya cuba kupaskan isu ini dari pandangan kepelbagaian lapangan ilmu yang berbeza untuk pengetahuan kita lebih meluas.
Pengenalan,
Basmalah بسملة adalah kata terbitan dari kata perbuatan بسمل iaitu apabila berkata kalimah : بسم الله الرحمن الرحيم , seperti Hauqola حوقل iaitu apabila berkata kalimah : لا حول ولا قوة إلا بالله .
Pertama : Sepakat kesepuluh ulama Qiraat mendatangkan basmalah ketika permulaan membaca awal ayat dari mana-mana surah melainkan awal ayat surah al-Taubah.
Ibn Hajar dan al-Khatib berpendapat bahawa basmalah diharamkan di awal ayat surah itu sahaja(al-Taubah), demikian juga penulisan kalimah basmalah tidak didapati pada surah itu sepertimana yang tercatat di dalam Mashaf, kerana surah itu diturunkan dengan pedang. Dan makruh hukumnya ketika di pertengahan surah itu.
Manakala al-Ramli berpendapat makruh basmalah pada awal ayat surah al-Taubah, dan sunat membaca basmalah pada pertengahannya.
Berkata Ibn Abbas ra : "Aku menanyakan Ali ra, kenapa tidak ditulis pada surah al-Taubah ((بسم الله الرحمن الرحيم ))? ". Dia menjawab : "Kerana sesungguhnya (( بسم الله الرحمن الرحيم )) adalah keamanan, sedangkan surah al-Taubah diturunkan dengan pedang dan melanggar janji-janji, tiada padanya keamanan".
(Tafsir al-Razi 216/15)
Lihat pada kisah penurunan surah ini untuk lebih lanjut.
Kedua : Adapun ketika di antara dua surah ulama Qiraat berselisih pendapat seperti berikut :
1) Pendapat Imam Qolun, al-Asbahani, Ibn Kathir, 'Asim, al-Kisaie, dan Abu Ja'far
- Basmalah dibacakan, melainkan di antara surah al-Anfal dan al-Taubah.
Berdasarkan Hadis dari Sa'id bin Jabir : "Adalah Nabi saw : Tidak tahu habisnya satu-satu surah sehinggalah turun padanyaبسم الله الرحمن الرحيم
2) Bagi Imam Hamzah
- Menyambungkan akhir surah dengan ayat awal surah selepasnya tanpa basmalah, kerana ingin menjelaskan kalimah di akhir surah tersebut tentang baris i'rab dan binaan kalimah, dan kalimah di awal surah berikutnya tentang Hamzah Qot'ie atau Wasal, hukum izhar, idgham, atau iqlab.
3) Imam Kholaf al-'Asyir, dua pendapat
- Sambungkan seperti Imam hamzah
- Saktah di antara dua surah tanpa basmalah, kerana menandakan pemisah di antara dua surah.
Saktah bermaksud berhenti di akhir kalimah berhenti yang seketika tanpa mengambil nafas baru selama 2 harakat. Dan harakat bermaksud menutup satu jari atau membukanya.
4) Imam al-Azraq, Abu 'Amru, Ibn Amir dan Ya'qub dengan tiga pendapat
- Pendapat no 1)
- Pendapat no 3)
Peringatan : Ini hukum yang umum di antara dua surah samada ianya tersusun rapat seperti di antara surah al-Fatihah dan al-Baqarah, ataupun yang tidak tersusun rapat seperti surah al-Fatihah dan al-Naas. Tetapi dengan syarat surah yang kedua mesti berada di bawah surah yang pertama mengikut tertib susunan dalam al-Quran.
Ilmu Qiraat
Kini, saya kira, saya akan mulakan perbincangan ini dari pengamatan ilmu Qiraat :
Pertama sekali perlu diketahui, tiada perbezaan pendapat dari ulama Qiraat bahawasanya basmalah adalah sebahagian ayat dari surah al-Naml seperti firman Allah swt :
(( إنه من سليمان وإنه بسم الله الرحمن الرحيم )) ayat 30.
Maksudnya : (( Sesungguhnya surat itu dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi)nya : "Dengan Menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang")).
Kedua, begitu juga ulama Qiraat tidak berselisih mengatakan bahawasanya basmalah adalah termaktub di awal surah al-Fatihah.
Ilmu Fawasil
Kesemua ulama 'Adad mengatakan al-Fatihah mempunyai tujuh ayat, secara umunya mereka sepakat, berdasarkan :
- Firman Allah swt : (( ولقد آتيناك سبعا من المثانى والقرءان العظيم )) surah al-Hijr ayat 87.
Maksudnya : (( Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang (al-Fatihah) dan al-Quran yang agung )).
- Dari Ummu Salamah ra berkata : Adalah Rasulullah saw memotong-motong bacaannya, Baginda saw menyebut : (( الحمد لله رب العالمين, ثم يقف, الرحمن الرحيم, ثم يقف, وكان يقرؤها ملك يوم الدين ))
Maksudnya : Nabi saw membaca (( الحمد لله رب العالمين, kemudian berhenti, الرحمن الرحيم , kemudian berhenti, dan Baginda membaca ملك يوم الدين (tanpa alif mad) )).
(Hr Imam Ahmad, Abu Daud, al-Turmizi, Ibn Abi Syaibah, al-Darqutni, al-Hakim, al-Tohawi, al-Tabrani, Abu Ya'la, Ibn Khuzaimah, al-Baihaqi dan al-Khotib. Kesemua mereka dari toriq Ibn Juraij dari Ibn Abi Mulaikah dari Ummi Salamah. Kalau dari rwy Ibn Khuzaimah, al-Darqutni, al-Hakim dan al-Baihaqi dengan lafaz (( Bahawasanya Rasulullah saw membaca di dalam sembahyang : بسم الله الرحمن الرحيم maka baginda mengiranya sebagai satu ayat, الحمد لله رب العالمين sebagai ayat kedua, الرحمن الرحيم ayat ketiga, مالك يوم الدين ayat keempat, dan : Begini إياك نعبد, وإياك نستعين dan menggenggam kelima-lima jarinya)) ).
Dari pemahaman hadis di atas maka ulama 'Adad terbahagi dua pendapat seperti berikut :
1) Pendapat ulama Mekah dan Kufah mengira basmalah sebagai satu ayat.
2) Sedangkan ulama Basrah, Syam dan dua golongan ulama Madinah tidak mengira basmalah sebagai satu ayat bahkan menggugurkannya, dan mengira (( أنعمت عليهم )) sebagai satu ayat pula.
Ilmu Fiqh
Adapun dari sudut pandangan Fiqh, saya hanya mengambil pendapat dari imam 4 mazhab sahaja. Dan dari sinilah kita akan melihat terus jawapan penuh dari persoalan tajuk kita pada kali ini.
1) Basmalah dari sisi mazhab Hanafi
- Bukanlah ia salah satu ayat dari al-Fatihah dan mana-mana surah melainkan surah al-Naml (seperti yang telah kita sebut di atas).
Kerana hadis Anas ra berkata : (( Aku bersembahyang dengan Rasulullah saw, Abu Bakar ra, Umar ra, dan Usman ra, maka aku tidak mendengar salah seorang dari mereka membaca بسم الله الرحمن الرحيم ))
(Hr Muslim dan Ahmad)
- Akan tetapi baca bersendirian بسم الله الرحمن الرحيم secara senyap di setiap rakaat, begitu juga آمين di hujung al-Fatihah oleh setiap pembaca.
Berkata Ibn Mas'ud ra : " Empat perkara yang disenyap-senyapkan imam sembahyang : al-ta'awwuz ( أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ), basmalah, al-ta'min ( آمين ), dan al-tahmid ( ربنا لك الحمد )".
( Rwy Ibn Abi Syaibah dari Ibrahim al-Nakho'ie)
2) Di sisi mazhab al-Syafi'e
- Basmalah adalah salah satu ayat dari al-Fatihah
Kerana riwayat dari Imam al-Bukhori dalam sejarahnya bahawa Baginda saw mengira al-Fatihah dengan tujuh ayat, dan mengira basmalah sebagai satu ayat darinya.
Adapun riwayat dari al-Darqutni dari Abi Hurairah ra, bahawa Baginda saw bersabda : ((Apabila kamu semua membaca الحمد لله , maka bacalah بسم الله الرحمن الرحيم , sesungguhnya ia (al-Fatihah) adalah Ummu al-Quran, Ummu al-Kitab, al-Sab'u al-Mathani (tujuh ayat yang diulang-ulang), dan بسم الله الرحمن الرحيم adalah salah satu ayatnya)).
- Maka tatkala sembahyang yang membaca dengan kuat (sembahyang Subuh, Maghrib, Isyak dan sebagainya) maka kuatkanlah (baca dengan jelas dan terang) basmalah tersebut seperti kita baca al-Fatihah dan surah lain dengan jelas.
Sepertimana yang diriwayatkan dari Ibn Abbas ra bahawa Nabi saw menjelaskan dengan بسم الله الرحمن الرحيم .
(Banyak hadis yang meriwayatkannya samada Imam al-Bukhorie, Muslim dan samada dalam kitab sohih kedua-dua mereka dari enam para sahabat ra : Abu Hurairah ra, Ummu Salamah ra, Ibn Abbas ra, Anas ra, Ali bin Abi Tolib ra, Samrah bin Jundab ra (seperti yang tercatat dalam al-Majmu') ).
3) Di sisi mazhab Malik
- Basmalah bukan satu ayat dari al-Fatihah
- Makruh membaca al-ta'awwuz dan basmalah sebelum al-Fatihah pada sembahyang fardhu. Adapun sembahyang-sembahyang sunat adalah harus, itupun meninggalkan kedua-duanya itu adalah lebih utama selagi tidak mera'ikan khilaf. Mendatangkan basmalah lebih utama jika ingin keluar dari khilaf.
4) Di sisi mazhab Hanbali
- Basmalah adalah satu ayat dari al-Fatihah
- Wajib membacanya di dalam solat sebelum al-Fatihah tapi dengan senyap, tidak diterangkan (tidak dibaca dengan kuat).
Akhirnya
Terpampang di depan mata kita beberapa pendapat beserta dengan hujah-hujahnya bagi mengeluarkan kita dari kepompong kejahilan. Semoga input ini amat bermakna untuk kita semua.
Wallahua'lam...
1 ulasan:
جزاك الله خيرًا..
Catat Ulasan