Ahad, 7 September 2008

SI SEMUT DAN NABI SULAIMAN AS

Kisah Bermula

Pada satu hari, Nabi Sulaiman as berjalan bersama dengan tenteranya yang terdiri dari jin, manusia dan burung. Jin dan manusia berjalan bersamanya sedangkan burung-burung terbang seiring dengan gerombolan tentera tersebut sambil memayungi Nabi Sulaiman dan lainnya dari kepanasan matahari.

Setiap dari tiga kumpulan tentera ini (jin, manusia dan burung) mempunyai ketua masing-masing bagi mengawal gerakan perjalanan tentera di bawah seliaan mereka.

Maka mereka diatur dan disusun dengan tertib dan bersistem supaya tentera di barisan hadapan sentiasa bersambung dengan tentera di barisan belakang dengan dikawal oleh ketua masing-masing seperti yang dilakukan oleh raja-raja sekarang. Sehingga tiada dari mereka yang terkeluar dari barisan ketika berjalan sebagaimana firman Allah swt:
((وحشر لسليمان جنوده من الجن والإنس والطير فهم يوزعون ))
Maksudnya: "Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan)", surah al-Naml, ayat 17.

Mereka berjalan dengan sekata sehingga sampai di satu lembah yang diduduki oleh banyak semut. Ada seekor semut yang merupakan ketua dikalangan mereka berseru kepada rakyatnya sepertimana yang difahami oleh Nabi Sulaiman: Firman Allah swt :
(( حتى إذا أتوا على واد النمل قالت نملة ياأيها النمل ادخلوا مساكنكم لا يحطمنكم سليمان وجنوده وهم لا يشعرون))
Maksudnya: "Wahai semut sekelian! Masuklah ke rumah-rumah kamu sehingga Nabi Sulaiman dan tenteranya tidak membinasakan kamu semua sebab mereka tidak sedar akan perbuatan mereka terhadap kita nanti", surah al-Naml, ayat 18.

Lalu Nabi Sulaiman tersenyum selepas faham akan kata-kata si semut itu dan rasa takjub kerana peringatan yang diberikan kepada kaumnya. Firman Allah swt :
((فتبسم ضاحكا من قولها وقال رب أوزعنى أن أشكر نعمتك التى أنعمت على وعلى والدى وأن أعمل صالحا ترضاه وأدخلنى برحمتك فى عبادك الصالحين))
Maksudnya: "Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Dan dia berdoa: Wahai Tuhanku! berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibubapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redai, dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hambaMu yang soleh". Surah al-Naml, ayat 19.

Kesimpulan

1) Nikmat ilmu yang diperolehi oleh seseorang sudah cukup untuk dia menjadi seorang yang bersyukur kepada Tuhannya. Nikmat yang diberi seperti mendapat sedikit ilmu perlu disertakan dengan pujian dan syukur kepada Allah swt yang telah memilih dia untuk mendapat nikmat itu.

2) Berbuat baik kepada dua ibubapa semasa hidup mereka serta mendoakan kebaikan untuk mereka berdua selepas kematian mereka.

3) Cara Islam ketika seronok dan gembira di atas satu kejayaan yang diperolehi ialah dengan memperbanyakkan syukur kepada Allah swt dan memohon kepada Allah supaya ditetapkan dalam kalangan orang yang sentiasa mengingatiNya.

Tiada ulasan: