Rabu, 17 September 2008

AKADEMI AL-QURAN : KENAL BACAAN BERQIRAAT

Rancangan Realiti Akademi Al-Quran

Alhamdulillah, kita sebagai rakyat malaysia berbangga dengan usaha sesetengah pihak media yang cuba memperkenalkan bacaan al-Quran berlagu dan berqiraat melalui rancangan realiti sekumpulan anak muda-mudi yang diajar dan dipraktik untuk mereka mengalunkan ayat suci al-Quran dengan versi baru di tengah-tengah masyarakat yang tidak ramai tahu akan kewujudan salah satu cabang ilmu dari al-Quran ini.

Nanti saya akan perkenalkan secara asas dan disertakan bukti-bukti yang ada untuk para pembaca lebih tahu bahawa ilmu Qiraat ini sebenarnya bukanlah satu ilmu yang asing dalam dunia Islam berserta sejarah perkembangannya. Dan apa yang cuba dibawa oleh pihak media tertentu itu adalah satu wajah untuk segarkan kembali ilmu ini dalam bentuk yang lebih menarik dan akhirnya boleh diterima oleh orang ramai, khususnya masyarakat Islam di Malaysia.

Qiraat

Pengenalan:
Ulama Qiraat mengistilahkan (menta'rifkan) ilmu Qiraat ini sebagai:
"Satu ilmu yang menerangkan kaedah-kaedah membaca kalimah-kalimah dalam al-Quran dan perbezaan-perbezaan yang wujud dari kalimah itu serta bersandarkan kepada orang yang membawa bacaan itu".

Maka Qiraat adalah bentuk-bentuk perbezaan dari sudut bahasa dan sebutan yang Allah swt sendiri membenarkan perbezaan bacaan itu sebagai kemudahan dan keringanan kepada hamba-hambanya yang mempunyai pelbagai latarbelakang terutamanya dari kalangan masyarakat Arab untuk membaca al-Quran.

Hubungannya dengan al-Quran:
Al-Quran: adalah wahyu yang telah diturunkan ke atas junjungan Nabi Muhammad saw sebagai keterangan dan i'jaz (melemahkan kepandaian manusia dengan hikmah-hikmah yang terdapat di dalamnya).
Qiraat: adalah perbezaan lafaz wahyu itu pada segi huruf dan cara menuturkannya. Maka semestinya orang yang ingin mengetahuinya mengambil melalui jalan talaqqi dan musyafahah (secara berguru yakni guru yang mengetahui tentangnya).

Dalil Pembuktian

Datang dari hadis-hadis Rasulullah saw seperti berikut:

1) Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas ra menyatakan: Telah bersabda Nabi saw: "Malaikat Jibril as telah membacakan kepadaku dengan satu huruf (bentuk bacaan) lalu aku mengulang bacaan itu, aku sentiasa meminta Jibril supaya menambahkan lagi huruf yang lain (meminta Jibril as supaya mohon dari Allah swt bentuk bacaan yang lain) dari ayat tersebut dan beliau menambahkan sehingga kepada tujuh huruf".

2) Dari Bukhari dan Muslim juga bahawa Umar bin al-Khattab ra berkata: "Aku mendengar Hisyam bin Hakim ra (yang sedang sembahyang) membaca surah al-Furqan ketika itu Rasulullah saw masih hidup. Lalu aku perhati bacaannya, dia membaca dengan banyak huruf yang aku sendiri tidak baca seperti itu di depan Rasulullah saw. Aku berazam untuk menangkapnya sejurus saja dia selesai sembahyang, aku tunggu sehingga dia memberi salam kemudian aku pegang dia dengan kain selempangnya dan bertanya: "Siapa yang bacakan kepada kau sepertimana yang aku dengar tadi?". Dia menjawab: "Rasullullah saw yang bacakan kepadaku (seperti itu)". Aku berkata: "Kau penipu, demi Allah Rasulullah tidak bacakan kepadaku seperti itu". Kemudian aku membawa dia bertemu Rasulullah saw dan aku bertanya: "Wahai Rasulullah! Aku mendengar dia membaca surah al-Furqan dengan huruf yang kau tidak bacakan kepadaku sedangkan kau telah mengajarkan aku bacaan surah itu". Lalu Rasulullah saw bersabda: "Lepaskan dia wahai Umar! Bacalah wahai Hisyam!". Dia pun membaca seperti yang aku dengar tadi dan Rasulullah saw bersabda: "Demikianlah seperti itu diturunkan", kemudian Rasulullah saw menyuruhku pula:"Bacalah wahai Umar!". Maka aku baca sepertimana yang Baginda ajarkan, dan Rasullullah saw bersabda: "Itu juga seperti yang telah diturunkan, sesungguhnya ini adalah al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah apa yang mudah (bagi kamu) dari salah satu huruf itu".

Di sana banyak lagi dalil-dalil yang datang dari Baginda Rasulullah saw yang menunjukkan bahawa bentuk-bentuk bacaan yang berbeza itu adalah kehendak Rasulullah sendiri agar Allah swt menurunkan satu-satu ayat al-Quran dengan pelbagai bentuk bacaan supaya memudahkan umatnya yang terdiri dari pelbagai kabilah dan peringkat umur untuk membaca al-Quran dengan kesesuaian lidah mereka (ini dikhususkan kepada kaum Arab sahaja, kerana ketika turunnya ayat-ayat Allah swt ini bangsa Arab ramai yang mula masuk agama Islam sedangkan mereka dari pelbagai kabilah, daerah dan peringkat umur, sudah tentu lidah antara mereka mempunyai perbezaan dalam menuturkan bahasa arab itu sendiri apatah lagi al-Quran yang datang untuk mereka baca dan berpegang dengannya).

Sejarah

Telah jelas penurunan ayat al-Quran berserta dengan tujuh huruf semenjak dari zaman Rasulullah saw lagi. Para sahabat dibacakan setiap seorangnya dengan satu huruf sahaja kemudian mereka bertebaran ke seluruh pelusuk dunia yang dibuka dengan membacakan huruf yang telah dipelajari dari Baginda saw tanpa mereka ketahui bacaan huruf sahabat yang lain. Ini berkembang dengan anak murid masing-masing yang mempelajari bacaan al-Quran sedangkan di tanah pembukaan Islam yang lain mempunyai bacaan yang lain pula tanpa mereka ketahui kerana para sahabat ra pada masa itu bertebaran membawa dakwah risalah Islam ke seluruh alam.

Namun ada juga di antara para sahabat yang mengambil dari Baginda saw dengan dua huruf atau lebih, kemudian mereka bertebaran ke suluruh dunia dan hal ini berterusan dari tabi'in kepada tabi' tabi'in sehingga sampai kepada satu umat yang mula mengambil ketekunan dalam masalah ini.

Diperselisihkan oleh ulama bahawa ia bermula di tanah suci Mekah atau Madinah Munawwarah kerana kebanyakkan surah adalah surah Makki, sebahagian besarnya. Namun, boleh juga dikatakan selepas Hijrah kerana umat Islam mula bercampur dan berkembang lalu bahasa dan lahjah mereka bercampuk aduk.

Dari Sahabat turun kepada tabi'in, kemudia turun kepada tabi' tabi'in dan seterusnya begitulah sampai kepada kita melalui jalan talaqi dan musyafahah. Di pertengahan itu, ada ulama yang dianugerahkan oleh Allah swt peluang dan kecerdikan untuk menyampaikan bacaan itu kepada umat Islam secara formal, lalu namanya terkenal dan disandarkan jenis bacaan yang diajarnya kepada namanya diantaranya Nafi', Ibnu Kathir, Abu Amru dan lain-lain lagi. Sehingga dikatakan terdapat dua puluh lima imam qurra' yang telah dicatatkan, namun yang terkenal pada hari ini dan dipelajari tujuh, sepuluh atau empat belas imam sahaja atas sebab-sebab tertentu yang telah dibincangkan oleh alim ulama dalam masalah ini.

Tahukah anda, pada kurun kesebelas Hijrah yang lampau, Masjidil Haram Mekah sendiri menggunakan bacaan Ibnu Kathir, tetapi pada hari ini kita dapati telah menggunakan bacaan Hafs dan diguna pakai di kebanyakan tanah umat Islam.

Penutup

Demikianlah serba ringkas pengenalan yang dapat kita kongsi bersama tentang ilmu Qiraat ini. Namun, agak tidak cukup kalau saya tidak katakan bahawa sejarah penulisan di zaman Osman bin Affan sendiri (yang terkenal dengan tulisan Resam Uthmani) berkait rapat dengan ilmu Qiraat. Begitu juga, dalam perbahasan perkataan 'huruf' dari sabda Baginda saw yang di atas tadi dibincangkan oleh ulama akan maksudnya dalam satu ruang yang agak luas perbincangannya.

Namun di sini, saya berazam (insyaAllah) sekiranya ada masa dan peluang dengan secicip ilmu dan seinci kefahaman yang ada saya akan kemukakan perbahasan-perbahasan itu di masa akan datang. Amin...

Tiada ulasan: