Jumaat, 12 September 2008

Ashab al-Rass ( أصحاب الرس )

Firman Allah swt :

1) (( وعادا وثمود وأصحاب الرس وقرونا بين ذلك كثيرا #
وكلا ضربنا له الأمثال وكلا تبرنا تتبيرا ))

Maksudnya:
"Dan (telah Kami binasakan) kaum 'Ad dan Tsamud dan penduduk Rass dan banyak lagi generasi-generasi di antara kaum-kaum tersebut # Dan Kami jadikan bagi setiap mereka perumpamaan dan masing-masing mereka itu benar-benar telah Kami binaskan dengan sehancur-hancurnya", al-Furqan ayat 38&39.

2) ((كذبت قبلهم قوم نوح وأصحاب الرس وثمود #
وعاد وفرعون وإخوان لوط #
وأصحاب الأيكة وقوم تبع كل كذب الرسل فحق وعيد ))

Maksudnya:
"Sebelum mereka lagi sudah terdapat kaum Nuh dan penduduk Rass dan Tsamud yang telah berdusta # Dan kaum 'Ad, kaum Firaun dan kaum Luth # Dan penduduk Aikah serta kaum Tubba', semuanya telah mendustakan rasul-rasul maka sudah semestinya mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan", Qaaf ayat 12, 13 dan 14.

Mereka adalah...

1) Sepertimana yang dikatakan oleh Ibn Abbas ra: "Rass ialah satu telaga yang berada di negara Azerbaijan", dan "Penduduk Rass adalah ahli Qaryah dari salah satu perkampungan Tsamud".

2) Rass adalah telaga yang sudah kering airnya. Kemudian dijadikan nama satu kaum, iaitu kaum Rass. Mereka menyembah patung, lalu Allah mengutuskan nabi Syuib as kepada mereka untuk menyeru mereka supaya kembali menyembah Allah semata-mata.

3)Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan al-Naqqasy telah berkata: "Penduduk Rass mempunyai sebuah telaga yang memberi minum kepada mereka dan menyuburkan tanah-tanah mereka. Dan terdapat seorang raja yang adil dan baik akhlaknya sehingga ketikamana raja itu mati mereka semua rasa sayang sangat-sangat kepadanya. Selepas beberapa hari berlalu, maka ada seekor syaitan menyamar sebagai raja tersebut di hadapan mereka dengan mengatakan: "Aku belum mati lagi, akan tetapi aku tidak dapat dilihat oleh kamu semua sehingga aku lihat tukangan kamu (dengan maksud diadakan patung yang berupa raja tersebut)".

Maka penduduk Rass gembira dengan berita itu, dan diadakan dinding antara mereka dengan patung itu untuk mereka berinteraksi dengan raja itu pada sangkaan mereka (sepertimana yang dikehendaki oleh syaitan), dan dikatakan kepada mereka bahawa dia tidak akan mati untuk selama-lamanya.

Oleh itu, penduduk Rass rasa sangat gembira kerana raja mereka masih ada lagi bersama-sama dengan mereka, sehingga mereka mengadakan korban dan menyembah patung itu.

Lalu Allah mengutuskan seorang rasul untuk memberitahu kepada mereka bahawa ada syaitan yang menyamar di sebalik patung tersebut, melarang mereka untuk sembah kepada patung tersebut dan menyuruh mereka kembali menyembah Allah yang maha Esa.

Lalu rasul ini dimusuhi, dibunuh dan dicampak jasadnya ke dalam telaga. Maka air telaga itu berubah menjadi menjadi tidak elok seperti dulu; mematikan tanaman-tanaman mereka, makin diminum airnya makin haus, hasil buah tidak menjadi dan rumah mereka menjadi rosak jika dicuci dengan airnya. Sehingga bangsa ini musnah sedikit demi sedikit dan penempatan itu dihuni pula oleh jin dan binatang-binatang liar.

4) Mereka adalah satu kaum yang kaya kerana mempunyai banyak telaga dan pelbagai ternakan. Tetapi mereka tergolong dari kaum yang menyembah patung. Kemudian Allah mengutuskan kepada mereka rasul, lalu mereka mendustakan rasul tersebut. Mereka duduk disekitar telaga-telaga itu sambil dibinasakan.

5)Ibn Jarir memilih untuk mengatakan mereka adalah Ashab al-Ukhdud sepertimana yang tercatat dalam surah al-Buruj.

Kesimpulan

Semoga catatan ini mengenalkan kita tentang kisah-kisah yang disebut dalam al-Quran.
Banyak umat-umat yang terdahulu telah dibinasakan oleh Allah kerana mereka menyukutukan Allah dalam Ibadah dan aqidah mereka dengan cara menyembah patung-patung dan tidak mempercayai akan risalah dan dakwah yang dibawa oleh rasul-rasul utusan Allah.