Jumaat, 7 Mei 2010

KEMBARA AL-QURAN DALAM REHLAH IBNU BATTUTAH 1

(Epi. : Masjid 'Amru Ibn al-'As, Madrasah, Maristam dan Zawiyah)

Masjid 'Amru Ibn al-'As ialah sebuah masjid yang sangat mulia, amat dihormati dan sungguh masyhur. Di masjid ini didirikan Solat Jumaat. Ada sebatang jalan yang merentas masjid ini dari arah timur ke barat. Di sebelah timur masjid ini, terdapat sebuah zawiyah (sebuah tempat atau bangunan yang menjadi pusat kegiatan ibadah golongan sufi) iaitu tempat Imam Abu 'Abdillah al-Syafi'e pernah mengajar.

Apabila membicarakan madrasah-madrasah yang ada di Mesir, seseorang tidak akan berupaya untuk menghitungnya kerana jumlahnya yang terlalu banyak. Begitu juga maristan yang terletak di antara dua buah istana di kawasan al-Malik al-Mansur Qalawun yang tidak dapat digambarkan keindahannya. Di maristan ini disediakan pelbagai kemudahan dan ubat-ubatan yang tidak terjumlah banyaknya. Menurut riwayat, pendapatan harian maristan ini berjumlah 1,000 dinar.

Begitu juga bilangan zawiyah. Jumlahnya sangat banyak. Penduduk menamainya sebagai khawaniq dan bentuk mufradnya ialah khanqah. Amir-amir di Mesir berlumba-lumba untuk membina zawiyah-zawiyah ini. Setiap zawiyah di Mesir ini dikhususkan untuk golongan faqir yang kebanyakan terdiri daripada orang bukan Arab (orang Parsi). Mereka ini dimiliki adab dan ilmu pengetahuan tasawuf. Di setiap zawiyah, ada seorang syeikh dan seorang penjaga. Pengendalian aktiviti-aktiviti mereka di zawiyah sungguh mengagumkan.

Antara kebiasaan mereka dalam soal makan dan minum ialah seorang khadam yang berkhidmat di zawiyah akan menemui golongan faqir itu pada waktu pagi. Setiap penghuni akan menyatakan makanan yang diingininya. Apabila mereka berhimpun untuk makan, setiap orang akan diberi roti dan sup dalam hidangan yang berasingan, tanpa berkongsi dengan rakan yang lain. Penghuni zawiyah menikmati makanan sebanyak dua kali dalam sehari. Selain itu, mereka juga menerima pakaian untuk musim sejuk dan musim panas di samping elaun bulanan antara 20 hingga 30 dirham seorang. Pada setiap malam Jumaat, mereka diberikan manisan, sabun untuk membasuh pakaian, wang untuk bayaran memasuki bilik air dan minyak untuk menyalakan lampu. Mereka ini masih lagi bujang. Bagi merka yang sudah berkahwin, mereka tinggal di zawiyah-zawiyah yang berasingan. Mereka diwajibkan untuk menunaikan solat lima waktu, bermalam di zawiyah dan berhimpun di kubah di kawasan zawiyah.

Antara kebiasaan penghuni zawiyah ini ialah setiap seorang akan duduk di atas sejadah yang dikhususkan untuknya. Apabila mereka menunaikan solat Subuh, mereka akan membaca surah al-Fath, surah al-Mulk dan surah 'Amma. kemudian setiap seorang akan diberikan satu juzuk al-Quran. Setiap faqir akan membaca satu juzuk dan dengan yang demikian, mereka dapat mengkhatamkan al-Quran. Selepas itu, mereka berzikir kepada Allah swt dan akhirnya, qari-qari mereka akan membaca al-Quran mengikut kebiasaan Ahl al-Masyriq (orang timur). Mereka juga melakukan perkara yang sama selepas solat Asar.

Penghuni zawiyah juga mempunyai adat yang tertentu untuk menyambut ahli baharu. Seseorang ahli baharu akan datang berdiri di pintu zawiyah, dengan pinggangnya terikat. Sehelai sejadah tersangkut di bahunya, tongkat di tangan kanannya dan cerek pula di tangan kirinya. Penjaga pintu zawiyah akan memberitahu khadam zawiyah bahawa ahli baharu tersebut berada di situ. Khadam akan keluar menemuinya dan bertanya dari negeri mana ia datang, di zawiyah mana ia pernah tinggal dalam perjalanannya dan siapakah syeikhnya. Apabila khadam berpuas hati dan dapat memastikan kebenaran kata-katanya, ia akan menjemputnya masuk lalu membentangkan sejadah di tempat yang layak untuknya. Kemudian khadam akan menunjukkan tempat untuk bersuci dan ahli baharu itu akan membaharui wuduknya. Seterusnya ia akan berdiri di atas sejadah, mengikatkan kainnya pada pinggang, menunaikan solat dua rakaat dan bersalam dengan syeikh serta orang yang hadir lalu duduk bersama-sama di situ.

Apabila tiba hari Jumaat, khadam zawiyah akan mengambil semua sejadah penghuninya ke masjid dan membentangkannya untuk mereka di sana. mereka akan keluar ke masjid beramai-ramai bersama-sama dengan syeikh mereka. Setiap orang akan menunaikan solat di atas sejadah masing-masing. Apabila selesai menunaikan solat, mereka akan membaca al-Quran sebagaimana biasa. Kemudian mereka akan pulang beramai-ramai ke zawiyah bersama-sama dengan syeikh...

Tiada ulasan: