Jumaat, 23 April 2010

ILMUWAN TETAPI TIDAK KETAHUAN

Bismillah,walhamdulillah.

Assalamualaikum wrt wbt.

Rasa nak marah, geram, nak pelempang je dan adik-beradik yang sama lahir darinya. Itulah yang saya rasa sekarang.

Ada satu siaran radio yang menggelarkan siaran mereka siaran untuk memberi faham tentang Islam, tetapi hakikatnya mereka sendiri tak faham.

Ceritanya begini, ketika ini riuh rendah masyarakat sibuk membincangkan isu gejala pembuangan anak di merata-rata tempat..

Lalu siaran yang dimaksudkan itu pun panggil la salah satu ilmuwan agama dari biro syariah syarikat siaran itu juga (seorang lelaki) untuk mengutarakan hasil kajiannya dalam bentuk perbincangan tentang tajuk berkenaan.

Sampai kepada waktu respon para pendengar memberi pandangan. Lalu ada satu hamba Allah ini mengutarakan pandangannya bahawa masalah yang timbul pada hari ini adalah hasil kita tidak menjalankan hukum Allah dari sudut jenayah. Katanya lagi masyarakat tidak akan rasa takut dengan undang-undang yang manusia buat sendiri kerana pelbagai langkah yang sudah diambil menemui jalan buntu. Pendidikan kepada masyarakat pun kita perlu beri, hukuman juga perlu kita jalankan serentak.

Lantas penceramah jemputan yang dikatakan ilmuwan tadi beserta juruhebah (seorang perempuan) pun cepat-cepat memberi respon yang negatif. Kata mereka berdua, kita tak perlulah tergesa-gesa nak jatuhkan hukuman, sebelum hukuman banyak lagi langkah yang kita boleh buat. Janganlah kita cepat sangat nak menghukum orang. Contohnya kita perlu beri pendidikan yang terus-menerus kepada masyarakat semuanya.

Masalahnya juruhebah pulak yang beri komenter lebih-lebih dengan penuh emosi kontra terhadap pemanggil tadi.

Kata, siaran memberi faham tentang Islam kepada orang ramai tetapi mereka sendiri meletakkan diri di tempat yang penulis sendiri tak faham:-)

PERTIKAIAN :

Pertama sekali, respon mereka itu menunjukkan mereka membenarkan apa yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan. Sedangkan perlaksanaan itu jauh menyimpang dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah sendiri, kerana isu ini berkaitan hukum had sedangkan kerajaan kini tidak melaksanakan hukum had itu bahkan menggunakan hukum buatan manusia dari barat.

Segi logik dari kata mereka tadi pun telah menunjukkan mereka menjadikan hukum kerajaan lebih tinggi dan lebih sepatutnya digunakan berbanding hukum Allah.

Itulah akibatnya bagi mereka yang lahir dari dunia yang sudah menggunakan hukum buatan manusia, sudahlah lahir dari dunia itu kemudian tidak mahu pula memahami dari dunia yang sepatutnya.

Firman Allah swt :

(( وإدا قيل لهم تعالوا إلى ما أنزل الله وإلى الرسول قالوا حسبنا ما وجدنا عليه آباءنا أولوا كان ءاباؤهم لا يعلمون شيئا ولا يهتدون))

Maksudnya :

((Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah (mengikuti) apa yang diturunkan Allah dan yang (diturunkan) kepada Rasul". Mereka menjawab, "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati nenek-moyang kami (mengerjakannya)". Apakah (mereka akan mengikuti juga) nenek-moyang mereka walaupun nenek-moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula)mendapat petunjuk?))

Cuba bayangkan pula, apa agaknya kata mereka kalau mereka lahir dunia yang sepatutnya, tentu mereka marah pula kepada sesiapa yang cuba berdolak-dalih tidak mahu menggunakan hukum Allah.

Kedua, kata-kata mereka tadi menunjukkan mereka tidak menolak hukum Allah mentah-mentah tetapi bagi mereka ada lagi cara dan jalan yang boleh dilakukan sebelum menjatuhkan hukuman sepertimana yang disebut.

Persoalannya, apakah ahli ilmuwan tadi dan juruhebah tersebut tidak pernah membaca atau mendengar ayat Allah yang berbunyi :

(( وما كان لمؤمن ولا مؤمنة إدا قضى الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ))

Maksudnya :

(( Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan satu ketetapan, akan ada pula pilihan lain (yang lain) bagi mereka dalam urusan mereka)).
- al-Ahzab : ayat 36 -

Itu yang memeningkan saya tentang cara mereka memandang hukum Allah. Kata mahu beri kefahaman tentang Islam tetapi diri sendiri tidak faham. Adakah wujud toleransi setelah adanya ketetapan dari Allah?

Andaikata, sekiranya, jika mereka benar-benar faham sudah tentu cara mereka berfikir sepatutnya, "Memang betul kata pemanggil kita tadi, tetapi di samping kita menjalankan hukum tersebut kita haruslah menjalankan serentak memberi pendidikan yang sempurna dan terus-menerus kepada masyarakat awam".

Bukan menjadikan ketetapan Allah sebagai jalan terakhir, walaupun memang sepatutnya gejala masalah ini mesti dipandang sebagai sudah menemui jalan akhir.

Ketiga, dari kata mereka tersebut juga menunjukkan bahawa mereka memandang hukum Allah dari segi zahir sahaja, iaitu dengan penuh rasa kekejaman, tidak berperikemanusiaan, menyeksakan dan sebagainya.

Lihat dulu apa firman Allah berkenaan hukum had yang telah ditetapkan :

(( ولكم فى القصاص حياة ياأولى الأباب لعلكم تتقون ))

Maksudnya :

((Dan dalam qisas itu (ada jaminan) kehidupan untuk kamu wahai orang yang berakal, supaya kamu bertakwa)).
- al-Baqarah, ayat : 179 -

Ini jawapan yang tepat bagi sesiapa yang mahu melihat hukum-hukum Allah. Sekalipun ayat itu menuju kepada masalah qisas (bunuh balas bunuh, pukul balas pukul) tetapi ulama menyifatkan ia menyentuh semua hukuman Allah dalam kes jenayah.

Mengapa disebut terdapat kehidupan sekiranya hukum Allah dijalankan? Mari kita lihat bersama.

Sebagai contoh kes mencuri atau kes rompak.

andaikata menggunakan hukum manusia, si pencuri kena tangkap masuk ke lokap kemudian dipenjarakan untuk satu tempoh panjang yang tertentu. Di sini wujud beberapa masalah diantaranya :

1) Andaikata si pencuri seorang lelaki yang sudah berkahwin, bagaimana dia ingin menyempurnakan naluri keinginan seksnya? Apa yang akan timbul dalam suasana penjara tersebut? Penyakit apa pula yang akan timbul dari suasana tidak sihat itu? Dan entah nanti bila keluar dari penjara pun masih melakukan kerja yang sama kerana hukuman sekadar dipenjarakan sahaja.

2) Isteri si pencuri itu, bagaimana dengan sumber kewangannya untuk membiayai perbelanjaan rumahnya dalam keadaan dia sendiri tidak pernah bekerja sebelum ini. Apa kerja yang dia boleh buat kalau sebelum ini dia bergantung sepenuhnya kepada hasil kerja suaminya?Apakah wujud kemungkinan dia memilih kerja yang salah di sisi agama dalam situasi tersempit itu?Sebab kita tidak sebut lagi naluri seksnya pula bagaimana?

3) Dari segi anaknya pula, bagaimana makan-minumnya?Perbelanjaan sekolahnya?Kasih sayang dari seorang ayah (lebih-lebih lagi ketika hari raya)?adakah wujud kemungkinan mereka juga terpaksa mencuri?Jadi kes curi bertindih-tindih sehingga banyak dan terus bertambah.

4) Dari segi kerajaan, terpaksa mebiayai kos perjalanan penjara sudah tentu. Kewangan itu terpaksa pula dikerah keringat rakyat yang memberi dari pelbagai sumber. Lebih baik sekiranya duit itu digunakan untuk mewujudkan peluang atau sektor pekerjaan yang lebih meluas. Akhir sekali penjara dijadikan tempat berteduh yang mewah bagi mereka yang malas bekerja, rakyat ramai yang tepaksa tanggung. Masalah demi masalah.

5) Orang ramai terasa perniagaan mereka, premis mereka, keluarga mereka, tunggangan mereka tidak selamat. Sebabnya orang ramai tidak rasa gerun sikit habukpun terhadap hukuman buatan manusia, bahkan lagi bagus masuk penjara boleh dapat tempat berteduh, makanan, kawan, kemahiran, pengajian secara percuma.

Sebabnya hukuman dalam penjara orang ramai tidak melihat bagaimana ia dijalankan berbanding hukum Allah. Atas keadaan itu tiada lahir gerun terhadap kesalahan sekiranya ianya dilakukan.

6) Kes curi ini boleh juga dirancang untuk mengenakan mana-mana pihak atau individu secara sulit kerana mungkin dendam atau sebab-sebab tertentu. Disebut sebagai konflik jahat. Oleh hal yang demikian, akhirnya berkemungkinan hukuman dijatuhkan atas mereka yang tidak bersalah.

Hal ini dapat dilihat dari pengakuan seorang bekas Perdana Menteri kita yang pernah mengaku orang kanannya dulu di tuduh meliwat adalah hanya perancangannya semata-mata. Hal ini didedahkan ketika dia sedang marah dengan Perdana Menteri yang sedang memerintah ketika itu dalam sesi media.

7) Bagaimana dengan perasaan keluarga yang menjadi mangsa, adakah mereka berpuas hati dengan hukuman itu?Belum lagi kita kata hukuman itu boleh terlepas dengan cara bayar, sudah tentu bertambah-tambah tidak puas hati di pihak keluarga mangsa.

Andai pula sekiranya digunakan hukum Allah, lahir pula beberapa perkara yang menakjubkan yang perlu direnung bersama seperti berikut :

1) Apabila hukuman dijalankan (itupun setelah wujud 2 orang saksi yang adil(tidak pernah berbuat dosa besar,tidak kekal dalam dosa kecil,tidak pernah membuat kenyataan palsu) ianya mesti dijalankan dihadapan orang ramai secara himpunan (biasanya di Arab Saudi buat selepas solat Jumaat).

Orang ramai boleh melihat secara berhadapan akan hukuman yang berat itu dijalankan, akibatnya lahir rasa gerun dalam hati semua yang melihat. Lalu masyarakat akan hidup dengan aman dan damai.

2) Si pencuri yang dijatuhkan akan hukum had dikenakan potong pergelengan tangan, akan rasa menyesal dengan sungguh-sungguh dan tidak berkeinginan untuk mencuri lagi kerana hukuman itu sentiasa dilihatnya hari-hari pada tubuh badannya sendiri. Jadi kaki mencuri ini akan berhenti serta-merta tabiat buruknya itu.

3) Si pencuri selepas dikenakan hukuman had boleh lagi bersama dengan keluarga. Dia masih boleh mencari rezeki untuk diberikan kepada keluarganya. Andaikata kedua ibu-bapanya dalam keadaan tenatpun masih boleh dia hulurkan bantuan, sebagai hak anak kepada kedua orang tuanya. Hukuman ini jauh berbeza berbanding meraka yang dipenjarkan. Inilah hukuman Allah yang ada sifat perikemanusiaan dan ada kehidupan di sebaliknya bagi mereka yang mempunyai akal fikiran.

4) Dalam pengalaman Arab Saudi yang masih mengamalkan hukum ini, dicatatkan hukum ini dapat disabitkan dalam tempoh sepuluh tahun baru baru sekali ada kes pembunuhan. Berbanding dengan kota metropolitan London kes pembunuhan, rogol, pembuangan bayi, mencuri, penderaan, orang tua meninggal di jalanan adalah mengikut perkiraan minit, Nauzubillah min zalik. Begitu juga lihatlah negara kita sendiri kes pembunuhan sentiasa terpampang dan tidak pernah sunyi di dada-dada akhbar, berjayakah hukum ciptaan manusia?!

Ditambah lagi pengalaman penulis sendiri bila berada di sana, apabila sampai waktu solat peniaga-peniaga bergegas-gegas ke masjid dengan menutup barang dagangan hanya dengan kain atau kayu sahaja tidak kira samada kedai emas mahupun kedai jualan runcit.

5) Konspirasi jahat tidak akan timbul kerana untuk sabit kesalahan dalam hukum had adalah terlalu ketat. Disebut di atas tadi ia memerlukan 2 orang saksi yang adil yang benar-benar melihat kes itu berlaku. Bila disebut yang adil ialah orang yang tidak pernah melakukan dosa besar, tidak kekal dalam keadaan dosa kecil, tidak berperangai dengan perangai yang menjatuhkan maruah, dan tidak pernah memberi kenyataan palsu sebelum ini.

Bila disebut yang menyaksikan sendiri kes itu berlaku maka sekiranya sekadar agak-agak, dengar-dengar dari orang, tidak berapa yakin melihatnya dengan jelas, dan lain-lain lagi tidak dapat diterima penyaksiannya. Bahkan dia pula sebagai saksi dijatuhkan hukuman. Betapa susahnya hukum had nak disabitkan tetapi bila sekali disabitkan ramai orang akan rasa gementar. Dan yang paling penting bukan tilam menjadi saksi.

6) Dalam kes rompakan yang ada pembunuhan maka balasnya ialah bunuh juga. Dengan hukum itu sekiranya kita sendiri keluarga si mangsa maka kita akan berpuas hati. Kerana satunya dia dibunuh, kedua dibunuh di depan mata bukan selindung-selindung hukumannya.Jika selindung-selindung ini kita tidak berapa yakin adakah hukum itu benar-benar dijalankan atau tidak.

Lagi-lagi dalam kes 'kambing hitam' bagi pembesar-besar negara, kata kena hukum gantung sampai mati tetapi pada realitinya si kambing hitam itu dihantar ke luar negara, diberi rumah yang besar di sana dan diberi kewangan yang besar setiap bulan untuk dia hidup di sana. tidakkah ini meragukan kita semua. Di mana keadilannya?!

Dan banyak lagi kalau kita mahu bongkar akan hikmah di sebalik hukum Allah ini. Ramai yang menyangka ianya kejam tetapi ia tidak seperti yang disangkakan.

Siapa yang lebih tahu bagi sesuatu produk melainkan si tuan yang membuatnya. Begitu juga manusia ini siapa yang lebih tahu untuk menjaga mereka kalau bukan Penciptanya.

Menjadi pelik bagi mereka yang digelarkan sebagai ahli ilmuwan Islam tetapi menjadi penentang dan pembangkang terhadap hukum-hukum Allah, dan menjadi pelik juga bagi mereka yang bekerja dalam lingkungan nama Islam tetapi menjadi cacing kepanasan terhadap kedatangan ketentuan Ilahi yang bertujuan untuk mendamaikan hidup manusia.

Mentang-mentang yang keluarkan pandangan itu datang dari insan biasa sahaja ia dilekehkan, apakata sekiranya Rasulullah saw masih hidup dan cuba berkata kepada mereka perkara yang sama, apa agaknya reaksi yang mereka tonjolkan pula. Sering bercakap "Lihat apa yang dikata bukan siapa yang berkata", tetapi dalam situasi ini mereka sendiri yang membezakan antara pemanggil itu dengan Rasulullah sekalipun perkara yang dikatakan adalah sama.

Ooh, barulah penulis sedar, siaran itu pada hakikatnya adalah lidah rasmi pemerintah juga, cuma berhiaskan agama mengikut cara yang mereka kehendaki, apakan tidaknya program Islam Ha___i banyak diwar-warkan dalam iklan mereka.

Begitu jugalah kes warga asing yang dijatuhkan hukuman berbau hukuman Allah kerana minum arak di khalayak ramai. Lalu hukuman itu diubah oleh salah seorang pemerintah tertinggi negeri kepada hukuman yang ringan dan lalu ramai yang memberi komenter dalam akhbar akan hal tersebut. Maka diambillah satu pandangan agamawan Islam tentang hal ini, apa yang mengejutkan pandangannya jauh dari apa yang dikehendaki Allah. Bersetuju pula dengan perubahan hukum itu dalam keadaan menyebelahi pemerintah tersebut.

Sekarang adakah dia tidak nampak antara ketentuan Allah dengan ketentuan manusia. Yang mana dia dahulukan. yang mana dia tinggikan. Yang mana lebih besar yang dia nampak? Mudah-mudah sahaja dia memberi komenter sebegitu rupa, memperolok-olokkan ketetapan Allah.

Sebab itu Allah menyataan kesedihannya ketika berkumpulnya manusia kelak dalam firmannya:

(( يا حسرة على العباد ما يأتيهم من رسول إلا كانوا به سيستهزءون ))

Maksudnya :

((Alangkah besarnya penyesalan terhadap hamba-hamba itu, setiap datang seorang rasul kepada mereka selalu mereka memperolok-olokkannya))
- Yasin, ayat : 30 -

Apa yang mereka rasa selesa mereka akan sebut secara jelas tentang Islam itu, apa yang mereka rasa gusarkan tentang periuk nasi mereka maka dikelirukan agama itu. Mudahnya mereka memandang kehebatan Allah.

Cukuplah kemarahan ini dengan diiringkan setelus helaian doa kepada mereka berkenaan agar diberi cahaya petunjuk dalam ilmu dan agama mereka.

Diharap artikel ini dapat memberi pandangan yang lebih luas kepada pembaca semua dalam memahami apa jua yang datang dari Allah swt.

Kalau kita menjadi orang ilmuwan jangan jadi tidak ketahuan...

Sekian. Wassalam...


(*Huruf dZal Mu'jamah tiada di keyboard penulis, sebagai ganti ialah huruf Dal Mushalah-mohon maaf)



Tiada ulasan: