Rabu, 14 April 2010

ALIRAN TAHFIZ : MENGAPA MESTI BE 'ROTAN'?

Bismillah, walhamdulillah.

Assalamualaikum wrt wbt,

Sidang pengunjung yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersua kembali di sini setelah lama tidak ada artikel al-Quran dimasukkan. mungkin kerana masa bekerja yang terlalu mencengkam diri ini, apakan tidaknya sudahlah memikul tugas sebagai guru tahfiz, ditambah lagi jawatan warden asrama, guru Bahasa Arab dan penolong setiausaha ma'had.

Ditambah lagi berita sedih yang baru diperolehi dari sahabat Mesir : "Kitab kargo ustaz (yang dari Mesir) telah dirompak, depa rompak ketika lori area barat dalam perjalanan untuk hantar". MasyaAllah, Innalillah wa inna ilai hiraji'un. Sedih rasanya hati ini, sedih sangat-sangat. Saya tak dapat bayangkan macamana hidup saya selepas ini tanpa kitab-kitab rujukan. Sedih, sayu...

Tapi, itu semua ada hikmahnya yang Allah swt sediakan untuk saya selepas ini yang sekalipun jumlah kesemua kitab itu bernilai hampir RM20 ribu. Tidak mengapa, kerana ada firman Allah swt yang sedang memujuk saya : "La tahzan!".

Sidang pengunjung sekalian,

Biarlah hal itu berlalu. Mari kita fokus kepada tajuk perbincangan yang diletakkan untuk diperbincangkan bersama.

Tidak lama dahulu kita dikejutkan dengan satu insiden seorang guru tahfiz memukul anak murid. Lalu mula proses untuk saman terhadap guru itu. Mungkin dari guru tersebut, ada sebab yang tersirat mengapa hal itu berlaku, yang sama sekali tidak dapat diterjemah dalam bicara undang-undang mahkamah yang kaku.

Dan mungkin juga anak murid yang terlibat dengan kes ini pun ada sebab mengapa dia rasa perlu menyaman gurunya.

Tapi, itu bukan sebenarnya perbincangan kita. Bahkan, yang mahu dilihatkan kepada penunjung semua bahawa sekolah beraliran tahfiz (hafaz al-Quran) kebanyakan menggunakan pendekatan merotan. Mengapa?

Teringat pakcik-pakcik yang baru balik umrah atau haji bercerita : "Kat sana kalau kau nak tahu, ada budak kecik-kecik yang berumur darjah satu hingga darjah enam, alahai yang kecik dari itu pun ada, duduk berbaris memanjang menghafal al-Quran. yang tak dapat tu, dan yang main-main ustaznya tampar je. Berguling-guling pakcik tengok".

Rotan, tampar, cubit, enjut ketampi dan apa yang sewaktunya selalu kedengaran dari sekolah aliran ini. Mengapa? Ha, yang inilah kita mahu lihat bersama.

Penulis sendiri pun bila disebut akan hal ini teringat juga zaman silam dahulu-kala. Dah berjanggut macamni baru mula nak menghafal, pun biasa kena kayu bambu belakang badan, lempang dari syekh Mesir (bukan lempeng, kalau lempeng itu lain cerita tu), berdiri ayam sambil pegang telinga dari bawah lutut, rukuk selama setengah jam dan macam-macam lagi yang pernah kena. Tapi tak pernah terdetik bahawa guru bencikan kita. Dan tak pernah sama sekali untuk melawan guru itu kembali.

Bahkan setiap hujung minggu pergi ke rumah guru untuk beri khidmat apa yang boleh pula. Syekh mesir itu pun oleh kerana dia tidak mempunyai kaki, pun kita yang ambil tiap-tiap pagi bawa masuk ke kelas.

Alhamdulillah, penulis rasa bertuah kerana punya guru yang sebegitu rupa, yang bersungguh-sungguh mahu kita mengingati al-Quran.

Tapi, pada hari ini bila kita berbincang tentang pendidikan di sekolah-sekolah terutamanya sekolah kebangsaan, guru-guru hampir hilang kuasanyanya dalam masalah membentuk peribadi dan jatidiri anak murid. Sentuh pun kena saman, bahkan disentuh pula oleh anak murid.

Ramai orang tahu kes guru kena 'balun' dengan penyodok sampah di hadapan perhimpunan mingguan oleh pelajar tahun enam. Guru berlawan cakap dengan anak murid sendiri dalam kes kerja rumah tidak terlaksana. Lagak anak murid kini ke sekolah dengan gaya dan fesyen rambut yang jauh dari budaya ketimuran, kes ponteng sekolah, kes ber'couple' yang kronik, sikap kurang-ajar yang terlampau, yang semua itu guru-guru kini hanya dapat melihat dan takut untuk berbuat sesuatu (kerana hati mereka tergari dan digari oleh banyak perkara).

Oleh itu, bila kita menyebut rotan di sekolah aliran tahfiz bukan hanya kerana tidak dapat menghafal al-Quran dengan baik bahkan ia meliputi bagaimana seorang mu'allim atau guru ingin membentuk peribadi anak muridnya.

Jangan samakan antara tarbiyah, didikan atau layanan ibu bapa terhadap anaknya dan antara tarbiyah seorang guru terhadap anak muridnya. Wujud kesamaan dari satu sudut tetapi berbeza dari pelbagai sudut yang lain.

Sama-sama ingin melihat anak itu besar dengan sempurna tetapi mesti cara dan jalan yang berbeza. Itu yang penting diketahui.

Ibu bapa wajib melayan anaknya dengan penuh kasih sayang, memberi nafkah tempat tinggal yang baik, memberikan didikan agama yang sempurna dan kadangkala sehingga terlebih umpama orang tua berkata "umpama menatang minyak yang penuh". Itu yang biasanya pijak kepala orang tua, kerana tersalah pemberian sukatan kasih sayang.

Dan kadangkala didikan di rumah menemui jalan buntu, lantas menghantar ke sekolah-sekolah agama swasta sebagai jalan terakhir (berdasarkan pengalaman penulis). Bukan mahu menyindir tetapi sekadar menerangkan realiti yang memang benar-benar berlaku.

Sedangkan guru di sekolah haruskah menggunakan cara yang sama? guna cara kasih sayang semata-mata, peluk, belai, cium? sehingga murid tidak kenal mana yang boleh dibuat dan mana yang tidak boleh. Yang mana baik dan yang mana jahat. Yang mana putih dan yang mana hitam

Sudah tentulah guru mesti menggunakan cara yang berbeza. Ada dorongan dan ada larangan. Ada rotan dan ada kasih sayang. Kadangkala tegur cara berhikmah, kadangkala tidak boleh.

umpama seorang kawan sejati yang terlihat seeokor lipan di badan kawannya, sudah tentu kalau dia sayangkan kawannya itu cara yang terbaik ialah dia mengambil selipar dan terus ketuk lipan itu sehingga mati sekalipun kawannya berteriak sakit.

Katakanlah sekiranya dia mengambil pendekatan untuk memberitahu dahulu, menerangkan kepada kawannya bahawa terdapat seeokor lipan di badannya, lipan tersebut bersaiz besar, berwarna sekian-sekian, dari jenis sekian-sekian, sudah tentulah kawannya itu mungkin tidak dapat diselamatkan lagi kerana cara yang diambil dalam menyelamatkan kawannya adalah salah.
Siapa kita untuk komen guru-guru yang sebeginirupa kalau kita bukan berada di tempat mereka.

Kena ingat, Saidina Ali ka pernah menyebut : "Satu huruf yang guru kamu ajar, seribu dinar kamu kena bayar untuknya", "Aku adalah hamba kepada guruku".

Hari ini, timbul masalah komen akan tindakan guru yang merotan, kerana murid itu sendiri lupa bahawa dia datang datang ke sekolah seperti datangnya seorang ketua. Apakan tidaknya dia di rumah dibelikan apa segala macam yang dia kehendaki tanpa batasan. Bila datang ke sekolah sikap itu terbawa-bawa dan ibubapa pula menyokong dan meyakini anak masing-masing lebih dari percaya kepada guru yang mendidik.

Sidang pengunjung yang dikasihi sekalian,

Allah swt juga dengan penuh kebijaksanaanNya menggunakan cara yang sama dalam mendidik manusia ciptaanNya.

Ada kata-kata dorongan dengan janji-janji syurga yang indah, dan ada juga kata-kata ancaman dengan janji neraka yang penuh seksaan dan azab.

Semua itu hanya semata-mata mahu membentuk manusia yang takut serta harap kepadaNya, yang penuh bertakwa, dan manusia-manusia ini wujud di atas bumi menjadi rahmat untuk alam seluruhnya.

Andaikata cara kasih-sayang sahaja yang digunakan oleh Allah swt, sudah tentu manusia itu akan rosak.

Itu dapat dilihat dari kelebihan yang Allah swt telah beri kepada seorang manusia yang bernama Firaun. Diberi apa sahaja kekayaan yang ada di bumi ini, kesihatan yang tidak pernah sakit sekalipun pening, kerajaan yang hebat, bangunan -bangunan yang tinggi megah sehingga ke hari ini. Lantas semua itu akhirnya menjadikan dia seorang yang kufur dan kafir.

Begitu juga seorang makhluk perosak yang bakal muncul di hari terakhir dunia yang bernama dajjal al-masih. Diriwayatkan bahawa bila dia muncul nanti segala kehendaknya akan dipenuhi oleh Allah swt. Sehingga hal itu menjadi ujian yang amat berat untuk umat beriman (kerana Rasulullah saw sendiri dan menyuruh umatnya berdoa untuk melepasi ujian yang amat dahsyat itu).

Demikianlah dua contoh manusia yang Allah swt berikan kelebihan duniawi, hasilnya mereka lupa asal-usul penciptaan mereka.

Berbeza pula dengan seorang insan yang mulia dan amat disayangi oleh Tuhan dan seluruh makhluk, yang diberi nama Ahmad atau Muhammad saw. Makin sayang Allah kepada baginda makin tinggi ujian yang diberi, sehingga pernah sekali kasut baginda bergenang penuh dengan darah Baginda saw dalam menjalankan misi dakwah Islamiah. Pernah berlapar dengan tempoh yang lama kerana ketiadaan makanan.

Sebab itu, dalam ramai-ramai manusia ini hanya 124 ribu sahaja yang dipilih menjadi nabi, dan dari 124 ribu itu pula hanya 313 sahaja yang dilantik menjadi rasul, dan dari 313 rasul itu hanya 25 sahaja yang wajib percaya, dan dari 25 itu pula hanya 5 orang sahaja yang berpangkat Ulul Azmi, dan dari 5 rasul itu pula hanya seorang yang paling dikasihi. Ini kerana lebihnya ujian yang diberi berbanding yang lain.

Tetapi tidaklah kita menafikan sama sekali, Allah swt hanya memberi ujian sahaja tanpa kelebihan. Tidak!

Di samping ujian itu, diberi juga kelebihan kepada mana-mana kekasihNya.

Begitu juga dalam isu rotan anak murid. Bukanlah guru itu asyik merotan 24 jam tidak henti-henti. Ada ketika rotan ada ketika juga beri makan. Ada ketika cubit ada ketika juga beri hadiah.
Seperti permainan tarik tali, ada ketika perlu ditarik untuk kemenangan dan ada ketika juga perlu dihulur untuk pasang strategi.

Sehinggalah apabila kita membincangkan isu ini, ianya telah melangkaui perbincangan isu pendidikan kepada murid di sekolah. Bukan tertumpu sekolah aliran tahfiz sahaja, bahkan sekolah-sekolah agama swasta yang lain.

Kalau guru dulu boleh sentuh murid hasilnya hari ini kita menjadi 'orang', guru sekarang tidak boleh sentuh murid apa pula yang akan jadi generasi ini untuk masa yang akan datang? Hal ini perlu direnungkan bersama.

Sidang pengunjung yang dirahmati Allah,

Kita kembali semula kepada tajuk perbincangan kita.

Kewajaran menggunakan rotan dalam aliran tahfiz perlulah dilihat juga dari beberapa aspek yang lain seperti berikut :

1) Rasulullah saw sendiri menerima al-Quran dari Allah swt melalui perantaraan Jibril as juga ada ketikanya jalan yang dihadapi untuk mendapatkan al-Quran itu adalah kesakitan yang amat sangat.

Dalam musnad Imam Ahmad, periwayatan dari Abdullah bin Umar ra : (( Pernah aku tanyakan
Nabi saw : "Adakah engkau dapat rasa wahyu (ketika wahyu turun)?", Baginda berkata : "Aku dengar suara yang berdengung lalu aku terdiam ketika itu, maka tiada berlalu wahyu itu melainkan aku rasakan diriku digenggam")). Dalam al-Sahih mengatakan keadaan hal ini adalah paling dahsyat cara penerimaan wahyu berbanding keadaan yang lain.

Begitu juga yang diriwayatkan oleh Ibnu Sa'id dari Aisyah ra berkata : (("Rasulullah saw itu apabila menerima wahyu, berat kepalanya (mungkin kepala Baginda saw sedang berada di pangkuannya) dan putih dingin wajahnya yakni berubah kulit muka, dan kedapatan sejuk di pipinya dan keluar peluh sehingga keluar kilauan dari mukanya seolah-olah intan berlian")).

Begitu juga dengan masalah rotan pelajar untuk mengingati al-Quran, tidaklah ianya berlaku setiap masa, hanya ketika dan masa yang tertentu sahaja. Baginda saw sendiri juga ada ketika dia menerima wahyu dalam keadaan yang senang, tidaklah semuanya berat dan susah.

2) Ahli al-Quran ini mempunyai musuhnya yang tersendiri dengan permusuhan yang sangat-sangat iaitu iblis dan syaitan.

Mereka yakni syaitan akan cuba sehabis-habis upaya untuk mengacau, menggoda, menghasut golongan yang menghafal al-Quran apatah lagi anak-anak yang mula berjinak-jinak dengan al-Quran.

Anak-anak ini kecil tetapi pangkat syaitan yang dihantar berpangkat tinggi dan besar. Bayangkanlah apa yang akan dihadapi oleh diri anak-anak ini dengan hasutan syaitan tersebut samada malas, mengantuk, benci, tiada minat, nak berhenti (padahal sebelum itu bersemangat), susah nak ingat, dan macam-macam karenah lagi yang tak dapat dikata di sini, hanya mereka yang cebur dalam situasi ini sahaja dapat memahami.

Oleh kerana itu, denda atau rotan dan sebagainya adalah ubat bagi permasalahan ini bagi menghalau samada 'benda' itu berada dalam tubuh badan anak-anak itu (seperti sabda Baginda saw ianya berlari di dalam tubuh sejajar dengan aliran darah) ataupun supaya anak-anak itu bangkit melawan arus jahat yang dia sendiri tidak namapak dan tidak tahu.

Hal ini pernah berlaku dalam kes penulis sendiri yang mempunyai juga anak murid tahfiz.
Pada tahun 2010 menyaksikan kemasukan anak murid baru seramai lebih kurang 20 orang ke ma'had yang penulis bertugas. Ianya memberi cabaran kepada penulis untuk membimbing mereka ke arah cita-cita untuk menjadi hafiz.

Latarbelakang yang jauh sama sekali dari suasana tahfiz menyukarkan lagi tanggungjawab itu. Mujurlah berbekalkan sedikit cita-cita dan semangat baru mendorong mereka ke alam al-Quran ini.

Ada seorang pelajar yang sudah diajar cara dan teknik menghafal kemudian diberi lagi tempoh sehingga 6 hari langsung tidak dapat hantar apa-apa hafalan walaupun setengah muka surat. Lalu hari ke-6 itu dia terpaksa dirotan dan dimarahi. Akhirnya hari ke-7 dia berjaya menghantar hafalan baru 1 muka surat. Dan hasilnya pada hari ini, dia adalah pelajar yang cemerlang dalam kelas kerana setiap hari dapat menghantar hafalan mengikut jadual hafalan yang tersedia. alhamdulillah, semua itu kurniaan Allah dan Allah berkuasa mengurniakannya.

Begitulah hukum alam, sesuatu yang bernilai seperti emas contohnya, terpaksa dikorek, didulang, diayak, disaring, dilebur, dicanai, dipalu, dan diukir, barulah ia menjadi harta yang sangat bernilai di mata dunia.

Sesuatu yang bernilai mestilah menempuh kesukaran dahulu, barulah tinggi kayu ukur kualiti yang dipakai. Tiada yang senang di dunia ini melainkan jalannya pahit, dan tiada yang susah melainkan jalannya manis.

Oleh itu, kesimpulan dari perbincangan ini penulis mengatakan cara tersebut wajar dan bukan hanya tertumpu ke sekolah aliran tahfiz semata bahkan di semua intitusi pendidikan yang ada. Barulah hasilnya kita akan dapat lihat dan rasa.

Walaubagaimanapun, penulis buka tajuk ini untuk diperbincangkan, ianya tidak tertutup begitu sahaja. Sidang pengunjung bolehlah memberi komentar dan pandang di ruang 'comments' di bawah artikel ini, penulis bersedia untuk semua keadaan. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

1 ulasan:

wa-ban berkata...

Salam.
Ustaz,
Tak adakah sirah yang menceritakan amalan sebenar dizaman Rasulullah saw & para sahabat?

Tak adakah petunjuk dari kitab2 tentang pendidikan / pedagogy Islam?

Wsslm.
::nasir-bangi::
2018-0113