Khamis, 28 Januari 2010

HAFIZ FASIQ : ANTARA SYAFAAT DAN LAKNAT

Assalamualaikum wrt. wbt.,

Salam hormat kepada semua pengunjung setia blog ini, semoga semuanya berada dalam keadaan sihat wal 'afiat hendaknya.

Alhamdulillah, pada kali ini saya cuba mengupas satu topik yang selalu diperbincangkan diperingkat awam dan sering jawapannya menjadi tergantung tidak bertali. Ini akibat dari kupasan yang tidak disetakan kepada tunjang hujjah agama ini.

Perbincangan tajuk ini dikupas secara terbuka dan saksama.

Oleh itu, saya menjemput para pemikir untuk menyatakan pendirian dan kenyataan berkenaan isu ini.

PERKATAAN 'HAFIZ'
Dari tajuk ini, perkataan 'hafiz' yang digunakan adalah tidak bertepatan dengan maksudnya yang sebenar sepertimana yang ditetapkan oleh para alim ulama kerana makna asal ia menunjukkan makna seorang yang menghafal hadis Nabawi dengan kadar yang tertentu. Tetapi sengaja penulis menggunakan perkataan tersebut kerana ia lebih hampir dan rapat dengan orang kebanyakan yang memberi makna seorang yang menghafal al-Quran 30 juzu sepenuhnya.

'FASIQ'
Antara definisi fasiq :
- Bermaksud orang yang ingkar atau memandang ringan akan suruhan dan larangan Allah.
- Dia percaya kepada ajaran Islam, tetapi tidak mengamalkannya. Atau
- Mentakwil hukum mengikut fikiran atau selera sendiri.

Perkataan ini mempunyai defini yang luas, sukar ditentukan keluasan lingkungan maknanya. Tetapi secara dasar ianya menunjukkan kepada perbuatan seseorang yang salah kerana melanggar ketetapan norma-norma yang telah ditentukan.

Atau boleh juga kita simpulkan kepada maknanya bersekitar maksud-maksud yang di atas.

LINGKUNGAN PERBINCANGAN
Sebenarnya topik ini cuba membahaskan berkenaan mana-mana individu yang dikenali sebagai penghafaz al-Quran serta memiliki sifat-sifat yang buruk dan meletakkan dirinya di kalangan orang yang fasiq seperti kita sebutkan di atas.

Secara adilnya, marilah kita sama-sama terlebih dahulu mengetahui kelebihan-kelebihan orang yang menghafal al-Quran yang kita keluarkan dari hadis-hadis Nabawi.

Sebagaimana pengetahuan orang ramai, satu hadis dari Ali, dari Rasulullah saw bersabda :

من قرأ القرءان فاستظهره فأحل حلاله وحرم حراحه أدخله الله الجنة وشفعه فى عشرة من أهل بيته كلهم وجبت له النار

Maksudnya :
" Barangsiapa membaca al-Quran dan menghafalnya dan menghalalkan apa yang halal (di dalam)nya, mengharamkan apa yang haram (di dalam)nya, Allah masukkan dia ke dalam Syurga, dan juga menerima syafaatnya kepada sepuluh orang dari ahli keluarganya semua yang selayaknya mereka masuk Neraka".

(Rwyt. Imam Ahmad, Ibn. Majah, al-Darimi dan al-Turmizi mengatakan : "Ini Hadis gharib, dan Hafs bin Sulaiman adalah perawi yang tiada padanya kekuatan ( القوي)").

Begitu juga satu hadis yang diriwayat dari Abi Sa'id, bersabda Rasulullah saw :

يقول الرب تبارك وتعالى من شغله القرءان عن ذكرى ومسئلتى أعطيته أفضل ما أعطى الساءلين وفضل كلام الله على سائر الكلام كفضل الله على خلقه

Maksudnya :
"Allah berfirman : "Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiku dan memohon rahmat daripadaKu kerana dia sibuk dengan al-Quran, Aku akan mengurnuiaknnya lebih daripada mereka yang memohon rahmat daripadaKu. Dan ketinggian Perkataan Allah ke atas segala perkataan adalah seperti ketinggian Allah di atas segala makhlukNya".

(Rwyt. al-Turmizi, al-Darimi dan al-Baihaqi dalam al-Sya'bu)

Dan di sana, banyak lagi hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan orang yang menyibukkan dirinya dengan al-Quran.

Tidak kurang juga golongan ini sama dengan para sahabat r.a. yang masing-masing berlumba-lumba mendapatkan ganjaran yang telah disabdakan oleh Baginda saw.

Setiap masa dihabiskan dengan mengulang-ngulang ayat suci al-Quran di bibir, otak diperah untuk mengingatinya, kesihatan tubuh badan dipertaruhkan untuk mendapatkan al-Quran, ada yang menangis, ada yang demam, ada yang pening, ada yang pengsan semata-mata kerana al-Quran. Oleh sebab itu golongan ini layak mendapat ganjaran yang besar dari yang Maha Besar.

al-Imam Ibnu al-Jazari ra. menyebut dalam susunan matannya :
وبعد : فالإنسان ليس يشرف إلا بما يحفظه ويعرف
لذاك كان حاملوا القرءان أشراف الأمة أولى الإحسان
وإنهم فى الناس أهل الله وإن ربنا بهم يباهى
Maksudnya :

"Selepas itu : Manusia itu tidak mulia melainkan dengan apa yang dia hafal dan mengetahui tentangnya (al-Quran),
Demikian itu mereka pembawa Risalah Suci ini adalah sebaik-baik umat dan sebaik-baik perlakuan,
Dan sesungguhnya mereka di kalangan manusia adalah Ahli Allah, dan Allah berbangga dengan mereka."

HAFIZ FASIQ

Sekalipun begitu, golongan ini terancam dengan beberapa perkara. Perkara ini mesti diambil ihtimam dan mesti dielakkan oleh mereka.

Hal ini dapat dilihat dalam beberapa hadis seperti berikut :
1) Satu riwayat dari Saidina Umar al-Khattab ra., bersabda Rasulullah saw. :

إن الله يرفع بهذا الكتاب أقواما ويضع به آخرين

Maksudnya :
"Sesungguhnya Allah swt. memuliakan ramai orang melalui Kitab ini dan Dia juga merendahkan ramai orang dengan perantaraan yang sama".

(Rwyt Muslim)

2) Begitu juga jika kita melihat dari Hadis pertama yang disebut dalam ruangan ini tentang kelebihan para Huffaz.

Disebut hafiz yang dapat memberi syafaat kepada ahli keluarganya itu adalah setelah melepasi syaratnya yang tersendiri iaitu menghalalkan apa yang halal dan mengharamkan apa yang haram di dalamnya.

3)Firman Allah swt :
(( مثل الذين حملوا التورىة ثم لم يحملوها كمثل الحمار يحمل أسفارا ))

Maksudnya :
(( Perumpamaan orang yang menanggung Kitab Taurah itu, kemudian enggan menanggungnya (dengan erti kata sebenar) adalah seperti keldai yang membawa longgokan kitab-kitab yang besar (yang ia sendiri tidak tahu apa yang sedang ditanggungkan itu).))

(Al-Jum'ah, ayat 5)

4) Lebih jelas lagi dan bertepatan dengan perbincangan kita pada kali ini dapat kita lihat pada Surah al-Baqarah, ayat 26, firman Allah swt :

((يضل به كثيرا ويهدى به كثيرا وما يضل به إلا الفاسقين ))

Maksudnya :
(( Dengannya (perumpamaan itu) (Allah) menjadikan ramai yang sesat, dan dengannya juga ramai yang mendapat petunjuk. Dan Dia tidak menyesatkan dengan sebab perbandingan itu melainkan mereka yang bersifat fasiq)).


KESIMPULAN

Dari sini, jelaslah bagi kita apakah sikap Allah swt terhadap mereka yang menghafal al-Quran tetapi dalam masa yang sama mereka sentiasa mendapat murka Allah swt.

Apa yang dibaca sentiasa terkena pada wajah mereka kembali. Apakan tidaknya, mereka membaca ayat Allah swt :
ألا لعنة الله على الظالمين
لعنة الله على الكاذبين

dalam masa yang sama mereka mempunyai sifat-sifat tercela tersebut.

Oleh kerana itu, Allah swt berfirman :

(( وننزل من القرءان ما هو شفاء ورحمة للمؤمنين ولا يزيد الظالمين إلا خسارا ))

Maksudnya :
(( Dan Kami turunkan dari al-Quran sesuatu yang menjadi penyembuh dan rahmat kepada orang yang beriman, dan dalam masa yang sama juga ia tidak menambah apa-apa kepada orang yang zalim melainkan kebinasaan)).

Sebab itu, ketika mana Saidina Umar al-Khattab ra. pernah bertanya kepada gabenornya iaitu Nafi' Ibnu Abdul Harith siapakah yang dilantik menjadi pentadbir bagi kawasan hutan. "Ibnu 'Abzi", jawab Nafi'.

Umar bertanya lagi : "Siapakah dia?".

"Dia adalah salah seorang dari hamba-hamaba kami", jawabnya.

Di tanya lagi : "Mengapa kamu melantiknya".

Jawab Nafi' : "Kerana dia membaca Kitab Allah".

Mendengar akan jawapan itu, lantas Umar berkata dengan satu hadis Nabi saw yang bersabdakan bahawa dari hujah-hujah Kitab Allah ini, Allah meninggikan dan merendahkan bagi sesiapa yang Ia kehendaki.

Wallahhua'lam....


Tiada ulasan: