Isnin, 6 April 2009

KIRAAN AYAT AL-QURAN : IJTIHAD ULAMA / KETETAPAN NAS?

Ulangan

Di artikel yang bertarikh 19 Januari 2009, kita telah membahaskan perbezaan keseluruhan bilangan ayat al-Quran di sisi ulama yang berkenaan serta beberapa faktor berlaku hal yang demikian. Saya sendiri berjanji untuk mengulas sedikit lagi perkara yang berkaitan di hujung artikel tersebut

Kali ini saya bercita untuk menghuraikan bagaimana sumber perbezaan dalam mengira ayat al-Quran : adakah ianya dari ijtihad para ulama sahaja, atau memang sudah ketetapan Nas (yakni dari Nabi saw sendiri), atau bagaimana?

Huraian

Pabila berlaku perbezaan dalam membilang ayat-ayat al-Quran, menjadi satu keluasan yang luas untuk para ulama mengkaji dan menonjolkan kelebihan dan hikmah (i'jaz) bilangan ayat al-Quran. Kerana sesuatu yang berkaitan dengan al-Quran tidak sedikitpun yang tertinggal dari sudut i'jaznya. Itu bukti yang memang ada bahawa ia adalah Kalamullah (firman Allah) bukan kitab rekaan manusia.

Hal ini seperti kes yang berlaku pada akhir tahun 2001, 11 Sepetember. Tragedi runtuhnya bangunan kemegahan Amerika menara kembar WorldTrade Center (WTC). Tragedi itu disifatkan mempunyai hubungkait yang rapat dengan firman Allah (( لا يزال بنيانهم الذى بنوا ريبة فى قلوبهم إلا أن تقطع قلوبهم والله عليم حكيم ))
Maksudnya :
(( Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali ketika hati mereka sudah hancur (mati atau tidak mahu bertaubat). Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana)) seperti berikut :

1) Tarikhnya 11 haribulan = ayat tersebut terletak di juzu yang ke-11.

2) September (bulan 9) = surah al-Taubah adalah surah yang ke 9 dari al-Fatihah.

3) Tahun 2001 = huruf Mim pada kalimah حكيم dikatakan adalah huruf yang ke-2001 jika dikira
dari awal surah tersebut (penulis sendiri tidak pernah mengira, silakan mengira!).

4) Bilangan paras tingkat bangunan WTC adalah 110 tingkat = ayat ini adalah ayat yang
ke-110 dalam surah al-Taubah. Sila lihat Mashaf masing-masing!

Demikanlah satu contoh i'jaz al-Quran dari sudut bilangan ayat.

Persoalan

Kita terfikir, adakah perjalanan penentuan bilangan ayat al-Quran adalah dari ijtihad ulama semata-mata sehingga berlaku perbezaan pandangan ataupun ketetapan Nas semata-mata? Manakah yang betul dari dua situasi tersebut.

Di sinilah kita perlu memahami sangat-sangat. Sesungguhnya dalam penentuan bilangan ayat al-Quran berlaku kedua-dua situasi tersebut secara serentak. Saya akan kemukakan hal ini satu persatu supaya kita dapat gambaran yang tepat dari permasalahan ini.

Rungkaian

Secara ringkasnya,

Pertama : Bilangan ayat al-Quran adalah ketetapan Nas. Yakni ketetapan dari Baginda saw seperti kata Saidina Osman bin 'Affan, Abdullah bin Mas'ud dan Ubai bin Ka'ab ra : Bahawa Rasulullah saw membacakan kepada mereka sepuluh ayat dari al-Quran, lalu tidak diberi lebih dengan sepuluh ayat yang lain pula sehinggalah mereka mempelajari apa yang terkandung dari sepuluh ayat yang sudah diberi itu. Sehingga mereka mengatakan : 'Kami belajar al-Quran, ilmu dan amal sekaligus".

Antara buktinya :
1) Semua ulama Fawasil mengira (( وسيجنبها الأتقى )) -al-Lail, ayat 17- sebagai satu ayat sedangkan ianya masih bersambung dari segi makna dengan ayat selepasnya. Kes ini banyak kita jumpa dalam al-Quran.

2) Tiada satupun dalam al-Quran satu ayat dengan satu kalimah di pertengahan surah melainkan pada surah al-Rahman ayat 64 (( مدهامتان )). Biasanya satu kalimah sudah dikira satu ayat terdapat pada kebanyakan awal surah sahaja seperti (( والطور )), (( والفجر )), (( والضحى )) dan lain-lain lagi.

3) Saidatina Aisyah ra pernah mengatakan : "Surah al-Ahzab di zaman Rasulullah saw masih hidup ialah 200 ayat". Menunjukkan golongan sahabat mengetahui bilangan ayat bagi satu-satu surah dengan pemerhatian Rasulullah saw. Sedangkan selepas pertemuan terakhir ( العرضة الآخرة ) berlaku pemansukhan (kalau dilihat kini surah itu terdapat sebanyak 73 ayat sahaja).

4) Jika dalam satu surah banyak menghabiskan hujung ayat dengan Mad 'Aridh Li al-Sukun, namun tiba-tiba terdapat satu ayat yang hujungnya dengan Mad 'Iwad. Maka ini tidak dapat tidak dengan ketetapan Nas. Contoh pada ayat 2 surah al-Israk yang berakhir dengan Mad 'Iwad (وكيلا) sedangkan sebelumnya dan selepasnya hujung dengan Mad 'Aridh.

Di sana banyak lagi dalil serta bukti atas hal ini.

Kedua : Sebahagian kecil berlaku juga ijtihad ulama dalam mengira ayat al-Quran. Akan tetapi ianya adalah fikiran yang bersih suci bersandarkan kaedah umum yang dipetik dari Nas juga. Sebab itu kita kata juga, ianya adalah ketetapan Nas seperti di atas.

Mungkin sahabat agak kurang faham akan bicara saya ini kerana ia nada ilmu Fawasil. Namun, nanti saya kemukakan hujahnya untuk sama-sama kita dapat memahami situasi yang kedua ini.

Tadi saya katakan, sekalipun berlaku ijtihad dari para ulama namun ia masih bersandarkan dari Nas yang ada. Membilang ayat al-Quran melalui ketetapan Nas tidaklah berlaku pada semua perinci ayat al-Quran, maka berlaku penetapan bilangan ayat al-Quran di tempat-tempat tersebut dengan ijtihad ulama tapi masih bersandarkan Nas yang ada yang sentiasa dijadikan kayu ukur.

Seperti contoh :
1) Ulama Kufi mengira فواتح السور sebagai satu ayat melainkan yang berakhir dengan huruf Ra (seperti الر , المر ), atau yang dengan satu huruf sahaja (seperti ص, ق, ن ), dan yang pada awal surah al-Naml (طس). Kalau ini dengan ijtihad semata-mata, maka apa beza di antara طس dengan يس ? di antara المص dan المر ? Ini semua tidak lain hanyalah mengikut Nas.

2) Mengikut hukum ilmu timbangan bahasa Arab ( ilmu عروض ). Jika mengikut Nas diperhatikan hujung dengan Mad 'Aridh, tiba-tiba pada ayat selepasnya tidak terdapat Nas. Maka ulama cuba berijtihad berdasarkan Nas pada ayat sebelumnya. Situasi inilah yang banyak menyebabkan mereka khilaf. Contoh : setengah mereka mengira الوسواس sebagai satu ayat, sedangkan yang lain mengira الخناس sebagai hujung ayat pula, dan pelbagai lagi.

Akhir

Demikianlah, serba sedikit pengenalan ringkas berkaitan dengan permasalahan mengira ayat al-Quran. Harapnya semua pembaca dapat input yang penting tentang Kitab yang kita sayangi ini. Segala persoalan, rujuklah pada mereka yang mempelajari bidang ini. Sekian. terima kasih...

1 ulasan:

almizzi berkata...

Assalamu alaikum warahmatullah

bagus sekali tulisan anda mengenai satu tajuk yang sangat tidak di ketahui oleh orang awam terutama di malaysia.
Pernah missionari kristian menggunakan perbezaan Qur'an warsh dan hafs untuk mendakwa bahawa ada wujud dua al-Qur'an bagi mengelirukan orang-orang islam yang jahil.
dengan tersebar dan masyhurnya ilmu qira'at diharap agar dapat menangkis di'ayah kristianisasi.

saya juga mohon agar pihak tuan dapat menulis sedikit makalah tentang ilmu iltifat al-Qur'an - yang bagi saya tidak kurang pentingnya untuk menjelaskan beberapa isu bagi yang non-specialist seperti saya.

harap tuan dapat tunaikan permintaan saya.

wassalam

almizzi
http://sipsap359.blogspot.com/