Jumaat, 29 Ogos 2008

RAMADAN DAN AL-QURAN : APA KAITANNYA?


Alhamdulillah, sedar tak sedar kita sudah memasuki gerbang institusi Ramadan, yang sebelumnya kita telah lalui laluan Rejab dan Sya'ban. Nabi kita Muhammad saw telah menunjukkan kepada kita bagaimana Baginda sendiri melakukan persiapan untuk memasuki ke institusi Ramadan dan berasa ghairah dengan keindahan dan didikan yang ada di dalamnya. Lantas adakah kita sudah bersiap siaga dengan pelbagai persiapan untuk memasuki isntitusi Ramadan yang hebat ini khususnya dari sudut dalaman?

Apabila Ramadan mula menjelma, di permulaan memasukinya hati sanubari kita benar-benar dapat rasakan seperti kita memasuki laman sebuah taman yang indah, seolah-olah seorang kanak-kanak yang mula menjejakkan kakinya ke sekolah setelah sekian lama bercuti. Hatinya rasa seronok kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan kembali, dengan memakai baju, beg dan kasut sekolah yang baru, dapat bilik darjah dan guru kelas yang baru, dan dirinya sudah menganjak ke satu tingkatan kelas yang lebih tinggi. Begitulah keseronokkan yang ada dalam bulan Ramadan. Ianya terlalu indah.

Bulan ini kita hiaskan dengan pelbagai bentuk ibadat dan amalan-amalan mulia. Di mana saja kita akan dapati umat Islam berlumba-lumba dalam membuat amalan kebajikan. Kalau di bumi anbiya' ini, Mesir saya dan sahabat di sini akan kagum bagaimana meriahnya mereka menyambut bulan yang mulia ini. Yang ketara mereka suka sangat membaca al-Quran dan mengkhatamkan sebanyak mana yang boleh. Dalam tramco (van sebagai kenderaan awam), dalam bas, dalam teksi, di masjid, di kedai hatta di mana saja tempat mereka bekerja dan apatah lagi di rumah akan terdengar saja alunan al-Quran dari mulut-mulut mereka. Bahkan ada yang pandai, akan melagukan al-Quran secara nyaring dan lantang, adapun yang lain mendengarnya dengan penuh khusyuk. Subhanallah, memang mereka satu bangsa yang tidak malu dalam mengerjakan perkara kebajikan. Apatah lagi amalan bersedekah dan memberi makanan untuk berbuka atau menjemput berbuka puasa bersama mereka lagilah banyak sama seperti di Malaysia. Kadangkala student di sini terpaksa dibahagi kepada beberapa kumpulan untuk memenuhi jemputan mereka.

Saya ingat lagi bagaimana meriahnya mengerjakan umrah di bulan Ramadan. Samada di Masjid Nabawi atau di Baitullah Mekah semua manusia yang ada di situ berpesta dengan ibadah. Ya, pesta ibadah. Bayangkan ada yang sembahyang, yang berzikir, yang tawaf, yang bersai'ie, yang berdoa sambil duduk, berdiri dan sujud, dan tak kurang juga yang membaca al-Quran sambil duduk, sembahyang, tawaf dan bersai'ie. Mereka semua mengerjakan amalan-amalan itu dalam keadaan mereka berpuasa.

Sebelum Subuh bangun untuk Qiamullai dan bersahur. Kemudian berpuasa sehingga terbenam matahari. Malamnya diadakan solat terawih secara berjemaah atau bersendirian. Berjalan selama sebulan lamanya, dan diakhiri dengan malam Lailatul Qadr dan mengeluarkan zakat Fitrah. Allah swt berfirman melalui hadis qudsi:
"Semua amalan anak Adam adalah miliknya melainkan puasa, maka puasa itu adalah
milikKu, dan Aku yang membalas amalan puasa itu".

Imam Qurtubi mengatakan hal ini berdasarkan dua perkara:
1) Puasa dapat menghalang keseronokkan syahwat, adapun amalan lain tidak.
2) Ia ibadat yang rahsia di antara seorang hamba dan tuhannya, tidak ternampak kepada orang lain. Ianya khas untuk tuhannya dan ibadat lain boleh ternampak oleh orang lain dan boleh dicemari dengan perasaan riya'.

Tapi pernahkah kita terfikir apakah terdapat sesuatu yang istimewa dalam bulan Ramadan sehingga banyak penganugerahan yang Allah swt berikan melalui kebanyakan pengkhabaran dari Rasulullah saw. Kenapa dan mengapa? Apakah yang terlalu istimewa itu? Adakah ianya sangat penting untuk masyarakat alam ini?

Ya, memang ada. Ianya adalah peristiwa penurunan kalam tuhan, al-Quran. Sepertimana yang tercatat dalam al-Quran:
"Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai
petunjuk bagi manusia...". Al-Baqarah, ayat 185.
" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr
(malam yang penuh kemuliaan)". Surah al-Qadr, ayat 1.

Demikianlah hebatnya aturcara majlis yang telah disusun sendiri oleh Allah swt untuk menyambut hari ulangtahun penurunan al-Quran. Majlis bagi memperingati tarikh penurunannya terlampau hebat sebagai tanda bahawa al-Quran adalah benar-benar satu rujukan bagi alam semesta ini.

Itulah al-Quran salah satu cahaya dari 3 cahaya:
1) "Allah cahaya langit dan bumi...". Surah al-Nur, ayat 35.
2) " ... Sesungguhnya telah datang kepada mu cahaya dari Allah (Nabi Muhammad saw) dan kitab (al-Quran) yang menerangkan". Surah al-Ma'idah, ayat 15.
3) "Maka berimanlah dengan Allah dan rasulNya dan kepada cahaya yang telah Kami turunkan (al-Quran)...". Surah al-Taghabun, ayat 8.

Lantas kita tahu, apakah tujuan besar diadakan majlis supermega ini semata-mata ingin memberitahu satu perkara penting iaitu al-Quran adalah kitab pegangan untuk kita berjaya di dunia dan akhirat. Wallahuta'ala 'alam...

1 ulasan:

Islamic Tazkirah berkata...

Salam ya muslim..

Ayat Al-Quran indah, dan bertambah molek dengan lagunya..

mari sama2 kita pelajarinya..saya ada sediakan ruang untuk belajar bertarannum, senang2 mampirlah ke sini..

>>Klik sini <<

wassalam..