Sabtu, 30 Ogos 2008

PERBEZAAN AL-QURAN DAN HADIS QUDSI

Sabda Nabi saw : "Bukankah aku telah didatangi al-Kitab dan seumpamanya bersamanya". Sepertimana yang dipetik dari kata al-Khitabi hadis ini memberi salah satu makna iaitu bahawa Rasulullah saw didatangi wahyu berbentuk batin yang tidak dibacakan sama dengan keadaan wahyu yang diberi kepada Baginda dengan bentuk zahir yang dibacakan.

Itulah al-Quran dan Hadis Qudsi. Al-Quran diwahyukan kepada Baginda dengan lafaz dan makna, dan hadis Qudsi diwahyukan kepada Baginda dengan makna tanpa lafaz.

Para ulama telah menyatakan perbezaan di antara keduanya dalam 10 perbezaan seperti berikut :
1) Al-Quran hanya diwahyukan dengan secara jelas, datangnya Jibril as kepada Baginda saw dalam keadaan yang sedar, tiada datang dengan melalui ilham atau mimpi, adapun Hadis Qudsi boleh dengan secara jelas ataupun tidak.

2) Al-Quran berperanan sebagai mu'jizat untuk golongan manusia dan jin, mencabar dengan sependek-pendek surah darinya, dan terpelihara dari perubahan dan penggantian, adapun Hadis Qudsi tidak seperti semua itu.

3) Al-Quran dianggap ibadah ketika membacanya samada faham atau tidak, diberi pahala kepada pembacanya satu huruf dengan sepuluh kebaikan, adapun Hadis Qudsi tidak dianggap sebagai ibadah ketika membacanya dan hanya diberi pahala umum ketika membacanya dengan tujuan untuk belajar.

4) Al-Quran diharamkan meriwayatkannya dengan makna semata-mata, adapun Hadis Qudsi boleh diriwayatkan dengan makna sahaja sama seperti hadis yang lain.

5) Al-Quran diharamkan ke atas orang yang berhadas untuk menyentuhnya dan orang yang berjunub untuk membacanya, adapun Hadis Qudsi sebaliknya.

6) Al-Quran dinukilkan kepada kita dengan jalan mutawatir sehingga kepada Baginda saw, adapun Hadis Qudsi telah diriwayatkan secara ahad dari Baginda saw.

7) Al-Quran diminta baca di dalam sembahyang dan tidak sah sembahyang seseorang jika meninggalkan bacaan al-Quran (khusus surah al-Fatihah), adapun Hadis Qudsi tidak diminta untuk baca dalam sembahyang sama sekali.

8) Penentang al-Quran adalah kafir, berbeza dengan Hadis Qudsi penentangnya adalah fasiq.

9) Lafaz al-Quran adalah dari Allah swt sebagaimana yang disepakati oleh ulama adapun Hadis Qudsi harus dari lafaz Nabi saw sendiri.

10) Al-Quran terdiri dari ayat-ayat dan surah-surah adapun Hadis Qudsi tidak.

2 ulasan:

Efa Unisza berkata...

Alhamdulillah..terima kasih atas ilmunya......

Unknown berkata...

Aalksmwlauewoe asheow is de iskdendre