Sabtu, 25 April 2020

TOMAKNINAH = SUNYI DARI PERGERAKAN

.:;KAPSUL FEKAH;:.
TOMAKNINAH = SUNYI DARI PERGERAKAN

⭕️DALIL:
Tomakninah (طمأنينة) merupakan tuntutan dalam beberapa rukun di dalam solat  sepertimana sabda Nabi saw:
...ثم اركَعْ حتى تَطمَئِنَّ راكِعًا، ثم ارفَعْ حتى تستوِيَ قائِمًا، ثم اسجُدْ حتى تَطمَئِنَّ ساجِدًا، ثم ارفَعْ حتى تَطمَئِنَّ جالِسًا...
"...Kemudian rukuklah sehingga tenang ketika rukuk, kemudian bangunlah (i'tidal) sehingga lurus berdiri, kemudian sujudlah sehinggalah tenang ketika sujud, kemudian bangunlah (duduk antara dua sujud) sehingga tenang ketika duduk..." -Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Abu Dawud, al-Nasa'i dll-

⭕️DEFINISI:
Definisi tomakninah dapat kita lihat dari beberapa pandangan sepertimana:
♦️Al-Marbawi:
سكون الأعضاء
"Berhenti anggota-anggota (dari sebarang pergerakan)"

♦️Syafi'iyyah:
أَقَلُّهَا أَنْ تَسْتَقِرَّ الأَْعْضَاءُ
"Paling kurang dengan diamnya anggota"

♦️Hanabilah:
حُصُول السُّكُونِ وَإِنْ قَل
"Terhasil diam berhenti sekalipun sedikit". Sebahagian mereka menambah:
بِقَدْرِ الذِّكْرِ الْوَاجِبِ
"Dengan kadar zikir yang wajib"

♦️Al-Hadrami pula:
سكون بعد حركة بحيث يستقر كل عضو محله بقدر سبحان الله
"Berhenti selepas bergerak sekira-kira diam kesemua anggota ketika itu dengan kadar subhanallah".

⭕️ZIKIR:
Solat penuh dengan zikir dan doa. Bagi mengisi ruang kosong tomakninah ini,  4 mazhab meletakkan bilangan tasbih sepertimana berikut:
💎Malikiyyah: Sunnah (tasbih) terhasil dengan 3 kali tasbih paling kurang.
💎Hanabilah: Wajib dengan bentuk tasbih yang warid dari sunnah seperti 'سبحان ربي العظيم' dan ' سبحان ربي الأعلى'. Adapun jika tambah dari bentuk itu adalah sunat.
💎Syafi'iyyah: Apa jua bentuk tasbih namun bentuk yang warid dari sunnah adalah lebih utama. Bilangannnya sehingga 11 kali, itulah yang sempurna. Jika dilakukan oleh imam hendaklah ada reda daripada makmum.
💎Malikiyyah: tiada bilangan yang ditetapkan.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman menyebut kadar waktu Nabi saw berhenti sebanyak 20 kali tasbih. -Panduan Lengkap Formula Solat Sempurna-

⭕️KESIMPULAN:
Fahamlah kita bahawa tomakninah yang menjadi kewajipan dalam solat itu adalah diam semua anggota dari sebarang pergerakan. Ketika itu kita digalakkan mengisinya dengan tasbih yang memuji dan menyucikan Allah swt.

Membetulkan baju, menyentuh jam, membuang kotoran dari hidung dan telinga, menggaru dan seumpamanya sering kita lihat dalam solat seseorang sedangkan perlakuan itu tidak menghasilkan tomakninah. 

Jika dilakukan perkara itu tanpa henti walaupun sekejap kemudian berpindah kepada rukun yang lain maka tiadalah tomakninah. Tiada tomakninah batallah solatnya.

Hal ini diisyaratkan oleh syaikh Daud al Fathoni hatta dalam duduk antara dua sujud sahwi sekalipun sepertimana kata beliau :
"Sujud sahwi ialah perbuatan dua kali sujud dan antara keduanya hendaklah duduk antara dua sujud dengan tomakninah. Jika tomakninah ini sengaja ditinggalkan maka rosaklah sujud sahwinya". -Furu' al Masa'il-

-Khuwaydim al-Quran-

WANITA HAID DUDUK DALAM MASJID UNTUK BELAJAR

SOALAN:
Apakah wanita haid boleh berada di dalam masjid untuk tujuan belajar? 

JAWAPAN:
Wanita haid dan nifas yang masih belum kering darahnya dan belum mandi hadas begitu juga lelaki; atau perempuan yang dalam keadaan junub dan masih belum mandi wajib, TIDAK BOLEH berada diam di dalam masjid dengan apa tujuan sekalipun. Bahkan perbuatan itu adalah haram di sisi empat mazhab yang muktabar. 

Al Jaziri dalam kitab al fiqh 'ala al mazahib al arba'ah menyatakan sepakat 4 mazhab:
إنه لا يصح الاعتكاف من الحائض والنفساء 
Maknanya: tidak sah i'tikaf (diam dalam masjid) di kalangan wanita haid dan nifas.

HUJAH:
Terdapat 2 dalil yang dipegang dalam hal demikian:
1) al-hadith li Ibn Abd al Wahhab
 في المُعتَكِفاتِ إذا حِضْنَ: أمَرَ رسولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ بإخْراجِهنَّ مِن المسجِدِ، وأنْ يَضرِبْنَ الأخْبِيَةَ في رَحَبةِ المسجِدِ حتَّى يَطْهُرْنَ.
Maknanya: wanita-wanita yang beri'tikaf apabila datang haid, Baginda saw menyuruh mereka keluar dari masjid, dan mereka mendirikan khemah di tepi-tepi masjid sehingga mereka bersuci (kering dari darah dan mandi hadas).

2) sunan Abi Dawud daripada A'isyah ra:
 جاء رسول اللهِ صلى الله عليه وسلم ووجوه بيوت أصحابه شارعة في المسجد فقال وجهوا هذه البيوت عن المسجد ثم دخل النبي صلى الله عليه وسلم ولم يصنع القوم شيئا رجاء أن تنزل فيهم رخصة فخرج إليهم بعد فقال وجهوا هذه البيوت عن المسجد فإني لا أحل المسجد لحائض ولا جنب
Maknanya: Baginda saw datang dan melihat muka pintu rumah para Sahabat ra menghadap ke masjid. Lalu Baginda bersabda: "Palingkan rumah-rumah ini dari masjid" kemudian Baginda masuk (ke dalam masjid) dan mereka tidak melakukan apapun kerana mengharapkan ada ayat yang turun memberi keringanan. Apabila Baginda keluar selepas itu, Baginda bersabda lagi sekali: "Palingkan rumah-rumah ini dari masjid sesungguhnya aku tidak membenarkan masjid bagi wanita haid dan orang yang berjunub".

ISU BERBANGKIT:
Soalan yang mungkin timbul di kalangan wanita kini, apakah dengan adanya tuala wanita pada zaman ini yang boleh menahan dari kebocoran hukum berkenaan boleh berubah kepada harus?

Jawapannya, TETAP TIDAK BOLEH kerana illah dalam menyatakan darah haid mungkin akan jatuh ke lantai masjid terbatal dengan riwayat Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim bahawa para isteri Nabi saw meletakkan wadah (bekas)  di bawah kaki isteri yang sedang solat tetapi keluar darah istihadah. Perlakuan mereka ini berlaku di dalam masjid.

Jelas pengharaman itikaf wanita haid bukanlah berpunca daripada wanita itu sendiri iaitu mungkin darahnya mencemarkan masjid tetapi sebagai menjaga kehormatan dan kemuliaan rumah Allah itu sendiri. Min bab ikram buyutillah.

PANDANGAN KONTRA:
Imbangan bagi pandang ini adalah dari mazhab al Zahiri yang memegang kaedah asal adalah harus, selagi tiada dalil yang mengharamkan maka hukum asal adalah harus. Harus wanita haid dan nifas beritikaf dalam masjid.  Adapun 2 dalil di atas mereka anggap berstatus lemah tidak boleh dijadikan hujah.

HUJAH BALAS:
Bagi menjawab pandangan mazhab al Zahiri perlulah dilihat dari aspek riwayat hadis kerana kedua-dua hadis dianggap lemah statusnya.

Hadis pertama:
- Kitab al-Hadith li Ibn Abd al-Wahhab, Muhammad bin Abd al-Wahhab mengatakan isnadnya jayyid (bagus). 
- Kitab al-Mughni, Ibn Qudamah mengatakan isnadnya jayyid.

Hadis kedua:
- Kitab al-Badr al-Munir, Ibn al-Mulaqqin mengatakan hasan kerana perawinya thiqqah dan memiliki syahid.
- Kitab Nasb al-Rayah, al-Zaila'i mengatakan hasan.
- Kitab al-Sayl al-Jarar & Nayl al-Awtar, al-Syawkani mengatakan sahih dan memiliki syawahid.

Jelas, status hukumnya adalah Sahih dan Hasan yang layak dijadikan hujah bagi hukum dalam isu-isu yang berkaitan fiqh.

SISIPAN:
Walau bagaimanapun wanita haid dan nifas masih boleh mengunjungi masjid untuk menghadiri aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid. Ini kerana hukum yang dibincangkan di atas adalah berkisar keberadaan mereka di ruang solat khusus sahaja. Atau kata mudahnya ruang solat yang berkarpet.

Adapun ruang lain dalam masjid seperti dewan, kedai, ruang aktiviti, kantin, balkoni dan sebagainya tiada larangan untuk wanita haid dan nifas untuk diami. Apatah lagi perbincangan ini tidak meliputi tempat-tempat yang selain masjid seperti madrasah, ruang solat di pasaraya dsb. 

Hadis pertama menunjukkan semangat wanita di zaman Nabi untuk beri'tikaf pada bulan Ramadan namun dengan kedatangan haid mereka mendirikan khemah-khemah kecil untuk di tepi-tepi masjid dan tunggu mereka sehingga suci.

KESIMPULAN:
Dalam kesimpulan ini saya memilih 2 perkara:

PERTAMA: kalam Syaikh Daud al-Fathoni al-Syafi'i, seorang tokoh ulama Tawhid, Fiqh dan Tasawuf Nusantara ini dari kitab beliau yang masyhur, Furu' al-Masa'il:

"Tetap dihukum haram ke atas perempuan yang kedatangan haid masuk ke dalam masjid walaupun dia berkeyakinan darahnya tidak akan menitis ke lantai masjid".

"Berlainan dengan bangunan madrasah ataupun tempat belajar agama maka tidaklah haram kecuali apabila dia yakin akan mengotorkan tempat itu dengan darah haidnya maka ia adalah diharamkan".

KEDUA: Warta dari majlis fatwa negeri selangor tentang pengharaman wanita haid dan nifas berada diam dalam masjid sekalipun dengan niat belajar. Lihat lampiran.

-Khuwaydim al-Quran-

Ahad, 22 Ogos 2010

INFO AL-QURAN 3

KESAHIHAN SANAD (dalam dunia Qiraat)

Rujukan al-Nasyr Fi al-Qiraat al-'Asyr dan Fann al-Tartil menyatakan :

"Ia (kesahihan sanad) adalah salah satu rukun yang semestinya dimiliki sehingga sesuatu bentuk bacaan Qiraat itu menjadi sahih.

Dan, agar sanad itu sahih pula : maka semestinya ia mutawatir, masyhur dan dikenali ramai".

Mutawatir itu bermakna : berlakunya pemindahan sesuatu bentuk Qiraat itu dari satu kelompok ke satu kelompok manusia yang mustahil boleh berlaku untuk mereka berpakat untuk berbohong pada setiap peringkat dari peringkat-peringkat sanad.

Dan, disyaratkan bagi penerimaan sanad yang sahih lagi mutawatir itu adalah ia selaras dengan resam penulisan salah satu dari Mushaf-mushaf Usmani, dan Bahasa Arab.

Dalam Muqaddimah al-Tahrir Wa al-Tanwir menyebut :

"Sanad-sanad Qiraat yang sepuluh itu berakhir dengan kepada lapan orang sahabat ra, mereka ialah : Umar bin al-Khattab, Usman bin 'Affan, Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas'ud, Ubai bin Ka'ab, Abu Darda', Zaid bin Thabit, dan Abu Musa al-Asy'ari. Maka sebahagian Qiraat ada yang berakhir dengan kelapan-lapan sahabat itu dan ada juga dengan sebahagiannya sahaja".

Abdullah bin al-Mubarak berkata (dalam Sahih Muslim) :

"al-Isnad itu adalah dari agama, dan jika tiada ia nescaya sesiapa boleh berkata dengan apa yang ia mahu".

PAUTAN :

1) Mustafa Sodiq al-Rifa'ie dalam kitabnya I'jaz al-Quran Wa al-Balaghah al-Nabawiyyah menyatakan :

"Kemudian (setelah disalin semula semasa Zaman pemerintahan Saidina Usman bin 'Affan ra) dihantar ke setiap negara satu Mushaf. Pada pendapat yang masyhur ia sebanyak tujuh Mushaf. Dihantar ke Mekah, Syam, Yaman, Bahrain, Basrah dan Kufah. Dan satu lagi Mushaf disimpan sendiri di Madinah, ia dinamakan juga sebagai al-Umm. Kemudiannya (Saidina Usman ra) memerintahkan mushaf selain dari tujuh ini dibakar...Hal ini berlaku pada tahun 25 Hijrah".

Perlu diketahui juga bahawa setiap Mushaf yang tujuh itu terdapat perbezaan resamnya kerana ingin memelihara bentuk-bentuk Qiraat yang diamalkan oleh umat Islam di setiap negara itu. Hal ini telah kita bincangkan di artikel yang lalu, pembaca boleh merujuk kembali artikel yang lepas untuk memahami maksud ini.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdul Fattah al-Qodhi dalam kitabnya Tarikh al-Mushaf al-Syarif :

"Maka Tujuh Huruf itu bertebaran dalam keenam-enam Mushaf itu (kerana pendapatnya ada enam salinan Mushaf). Lalu Qiraat yang baca (( ووصى بها إبراهيم )) tidak akan didapati pada Mushaf Madinah dan Syam, namun terdapat di Mushaf yang lain".

Ini kerana Mushaf Madinah dan Syam ditulis dengan (( وأوصى بها إبراهيم )) bagi meraikan bentuk Qiraat yang diajar oleh Zaid bin Thabit ra kepada penduduk Madinah (Qiraat Nafi' dan Abu Ja'far), dan Mughirah bin Syihab ra (Qiraat Ibnu 'Amir) kepada penduduk Syam.

2) Selaras dengan Bahasa Arab dijadikan sebagai salah satu syarat sahihnya satu-satu bentuk Qiraat adalah perlu dilihat dan diselidiki semula.

Ini kerana bersebabkan lahjah-lahjah dalam Bahasa Arab adalah tidak selari antara satu sama lainnya. Lalu menyebabkan kaedah-kaedah Nahu dan Sorof yang timbul dari situasi itu juga akan berbeza antara satu sama lain. Bahkan kalau dilihat dalam satu lahjah pun kadang-kadang ahli bahasanya berbeza pendapat dalam menentukan kaedah tatabahasanya.

Ada kemungkinan juga, lahjah dari satu kelompok suku Arab yang berada jauh pedalaman dari pengetahuan ramai berbeza dengan lahjah bahasa Arab yang lainnya. Lalu ia bertepatan pula dengan salah satu bentuk Qiraat. Menyebabkan orang tidak tahu hal ini akan menyatakan : "Qiraat ini salah kerana tidak bertepatan dengan Bahasa Arab kita".

Oleh kerana itu, sesetengah kitab yang membicarakan ilmu ini tidak bersetuju dengan syarat ini. Dengan kata mereka cukuplah syarat Mutawatir dan selaras dengan Resam Usmani mengatasi syarat Bahasa Arab itu.

Kalau dilihat dalam ilmu bahasa ini pun kita akan dapati ulama Kufah dan Basrah sentiasa berselisih pendapat dalam beberapa hal bahasa. Apatah lagi bahasa-bahasa suku lahjah yang jauh dari pengetahuan orang ramai.

Penulis tidak dapat menyatakan kitab rujukan dalam hal ini kerana kitab-kitab itu sudah tiada dalam simpanan penulis. Namun ia masih segar diingatan, alhamdulillah.

Sekian...Salam Ramadhan.

.

Jumaat, 11 Jun 2010

KEMBARA AL-QURAN DALAM REHLAH IBNU BATTUTAH 4


(EPI. : GURU-GURU MASJID BANI UMAYYAH)



Di masjid ini, terdapat beberapa halaqah pengajian dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Ahli-ahli Hadis membaca kitab-kitab Hadis sambil duduk di atas kerusi yang tinggi. Qari-qari al-Quran membaca Mushaf dengan suara yang merdu pada waktu pagi dan petang. Di masjid ini juga ada sekumpulan guru yang mengajar al-Quran. Setiap mereka bersandar pada tiang masjid, mentalqinkan (iaitu membaca sesuatu ayat kemudian dituruti pula) dan mengajar kanak-kanak kecil. Mereka tidak menulis al-Quran di papan untuk memelihara kesucian Kitabullah.

Guru yang mengajar khat berbeza dengan guru al-Quran. Beliau menggunakan kitab-kitab syair dan lain-lain untuk mengajar kanak-kanak tersebut. Seorang kanak-kanak akan bertukar daripada guru al-Quran kepada guru yang mengajar khat. Oleh itu, kanak-kanak tersebut akan mahir dalam penulisan khat kerana guru khat tidak mengajar perkara yang lain...

Selasa, 1 Jun 2010

MAKSUD "AL-QURAN DITURUNKAN ATAS TUJUH HURUF".

Bismillah, walhamdulillah.

Sahabat kunjungan yang dirahmati Allah sekalian,

Dimaklumi bersama, al-Quran itu mempunyai kepelbagaian bentuk bacaan yang kita sebut sebagai wajah-wajah Qiraat samada Hafs, Qalun, Warsy dan seumpamanya sehingga kepada 20 bentuk bacaan yang tersendiri. Bahkan pada hakikatnya bilangan itu sebenarnya lebih lagi namun yang sempat dirakam dalam catatan ulama adalah 10 imam dan setiap satu mempunyai 2 riwayat yang berbeza.

Ini dapat kita lihat dari suasana bentuk pembacaan yang wujud pada ketika ini terutamanya mereka yang mendalami ilmu ini di bilik-bilik kuliah ataupun halaqah pengajian pasti mengetahui tentangnya samada sedikit atau banyak.

Negara kita pun tidaklah ketinggalan dalam bab ini disebabkan suatu ketika dulu adanya program realiti yang berbentuk akademi telah mendedahkan serta membuka ruang mata masyarakat melihat sendiri dan mengetahui tentang ilmu yang sudah lama tersimpan dalam kocek mereka.

Secara asasnya, hal ini dapat kita lihat dari hadis-hadis Baginda saw yang menyebutkan tentang penurunan al-Quran dengan 7 huruf seperti hadis yang berikut :


1) Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas ra menyatakan: Telah bersabda Nabi saw:

"Malaikat Jibril as telah membacakan kepadaku dengan satu huruf (bentuk bacaan) lalu aku mengulang bacaan itu, aku sentiasa meminta Jibril supaya menambahkan lagi huruf yang lain (meminta Jibril as supaya mohon dari Allah swt bentuk bacaan yang lain) dari ayat tersebut dan beliau menambahkan sehingga kepada tujuh huruf".

2) Dari Bukhari dan Muslim juga bahawa Umar bin al-Khattab ra berkata: "Aku mendengar Hisyam bin Hakim ra (yang sedang sembahyang) membaca surah al-Furqan ketika itu Rasulullah saw masih hidup. Lalu aku perhati bacaannya, dia membaca dengan banyak huruf yang aku sendiri tidak baca seperti itu di depan Rasulullah saw. Aku berazam untuk menangkapnya sejurus saja dia selesai sembahyang, aku tunggu sehingga dia memberi salam kemudian aku pegang dia dengan kain selempangnya dan bertanya: "Siapa yang bacakan kepada kau sepertimana yang aku dengar tadi?". Dia menjawab: "Rasullullah saw yang bacakan kepadaku (seperti itu)". Aku berkata: "Kau penipu, demi Allah, Rasulullah tidak bacakan kepadaku seperti itu". Kemudian aku membawa dia bertemu Rasulullah saw dan aku bertanya: "Wahai Rasulullah! Aku mendengar dia membaca surah al-Furqan dengan huruf yang kau tidak bacakan kepadaku sedangkan kau telah mengajarkan aku bacaan surah itu". Lalu Rasulullah saw bersabda: "Lepaskan dia wahai Umar! Bacalah wahai Hisyam!". Dia pun membaca seperti yang aku dengar tadi dan Rasulullah saw bersabda: "Demikianlah seperti itu diturunkan", kemudian Rasulullah saw menyuruhku pula:"Bacalah wahai Umar!". Maka aku baca sepertimana yang Baginda ajarkan, dan Rasullullah saw bersabda: "Itu juga seperti yang telah diturunkan, sesungguhnya ini adalah al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah apa yang mudah (bagi kamu) dari salah satu huruf itu".


Di sana banyak lagi dalil-dalil yang datang dari Baginda Rasulullah saw yang menunjukkan bahawa bentuk-bentuk bacaan yang berbeza itu adalah kehendak Rasulullah sendiri agar Allah swt menurunkan satu-satu ayat al-Quran dengan pelbagai bentuk bacaan supaya memudahkan umatnya yang terdiri dari pelbagai kabilah dan peringkat umur untuk membaca al-Quran dengan kesesuaian lidah mereka (ini dikhususkan kepada kaum Arab sahaja, kerana ketika turunnya ayat-ayat Allah swt ini bangsa Arab ramai yang mula masuk agama Islam sedangkan mereka dari pelbagai kabilah, daerah dan peringkat umur, sudah tentu lidah antara mereka mempunyai perbezaan dalam menuturkan bahasa Arab itu sendiri apatah lagi al-Quran yang datang untuk mereka baca dan berpegang dengannya).


Topik perbincangan :

Sahabat sekalian,

Apakah yang dimaksudkan dengan tujuh huruf tersebut?

Para ulama telah meontarkan pandangan dalam menghuraikan maksud dari sabda Baginda itu yakni "7 huruf" sehingga pandangan mereka mencapai sekitar 40 pendapat. Masing-masing mengemukakan hujah tersendiri dalam bab ini.

Masih teringat lagi dalam bilik kuliah dulu, kami diberitahu pendapat yang paling hampir kepada kesuluruhan maksud dan perubahan yang ada dalam ilmu Qiraat adalah sebagaimana yang dilontarkan oleh Abu al-Fadhl al-Razi dalam kitabnya al-Lawa'ih اللوائح. Lalu kebanyakan rakan memilih pendapatnya seperti berikut :

"Kata sabda itu tidak terkeluar dari tujuh corak ikhtilaf (yang ada dalam Qiraat) : Pertama - Perubahan kata nama dari segi ifrad, tathniah, jamak, tazkir dan taknis. Kedua - Perubahan kata perbuatan dari segi madhi, mudhari' dan amr. Ketiga - Bentuk-bentuk i'rab. Keempat - Pengurangan dan penambahan. Kelima - Mendahulukan atau mengkemudiankan. Keenam - Penggantian. Ketujuh - Perubahan dialek samada fath, imalah, tarqiq, tafkhim, idgham, izhar dan seumpamanya".

Namun pintu memilih tidaklah tertutup begitu sahaja kerana di sana banyak lagi pendapat ulama yang mempunyai kebenarannya juga, antaranya seperti berikut :

"Bahawa yang dimaksudkan dengan tujuh itu ialah tujuh bentuk bacaan qiraat dan hal ini hanya sedikit sangat berlaku dalam al-Quran seperti pada ayat 60, surah al-Maidah : ( وعبد الطاغوت ) dan ayat 23, surah al-Isra' : ( فلا تقل لهما أف ). Kebanyakan kalimah hanya dua, tiga, empat bentuk sahaja. Secara jawapannya : Dimaksudkan ialah ada perbezaan bentuk kalimah dalam al-Quran dari satu bentuk, dua, tiga dan sehingga mencecah tujuh bentuk adalah tahap yang paling maksimum".

Namun, disebalik pengkajian dan penamatan, penulis juga mempunyai pendapat dalam hal ini. Pendapat yang ingin dilontarkan ini tiada dari 40 pendapat ulama yang disebut tadi.

Pandangan penulis :

Maksud dari tujuh huruf itu ialah :

Angka tujuh itu ialah bukan menunjukkan kepada sesuatu yang perkara yang tertentu yang mempunyai bilangan sehingga tujuh perkara. Tetapi ialah angka tujuh atau tujuh puluh itu lazimnya digunakan oleh masyarakat Arab bagi menunjukkan satu jumlah yang banyak.
(Kaedah Memahami Hadis-hadis Musykil oleh Hafiz Firdaus Abdullah, m.s. 33, Jahabersa)


Hal ini banyak kita dapat lihat dalam al-Quran sendiri seperti Firman Allah swt :

1) ( مثل الذين ينفقون أموالهم فى سبيل الله كمثل حبة أنبتت سبع سنابل فى كل سنبلة مائة حبة والله يضاعف لمن يشاء والله واسع عليم )

Maksudnya :
((Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat kurniaNya) lagi meliputi ilmu pengetahuanNya)).
(al-Baqarah, ayat 261)

2) ( ولو أنما فى الأرض من شجرة أقلام والبحر يمده من بعده سبعة أبحر ما نفدت كلمات الله إن الله عزيز حكيم )

Maksudnya :
((Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu pula tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana)).
(Luqman, ayat 27)

3) ( استغفر لهم أو لا تستغفر لهم إن تستغفر لهم سبعين مرة فلن يغفر الله لهم ذلك بأنهم كفروا بالله ورسوله والله لا يهدى القوم الفاسقين )

Maksudnya :
(( (Orang munafik itu) sama sahaja (samada) engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun untuk mereka. Jika engkau (Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sama sekali mengampunkan mereka, yang demikian itu kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya. Dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasiq))
(al-Taubah, ayat 80)

4) Dari Abdullah bin Umar ra, Abu Musa ra dan Abu Hurairah ra, sabda Baginda saw :

( المؤمن يأكل فى معى واحد والكافر يأكل فى سبعة أمعاء )

Maksudnya :
(Orang mukmin makan dengan satu usus, manakala orang kafir makan dengan tujuh usus).
(Rwy. al-Bukhari, Muslim dan lain-lain)


Angka tujuh dalam sabdaan Baginda di atas tidaklah membezakan antara satu dan tujuh usus dengan tujuan memberi pengertian dari sudut sains biologi tetapi adalah satu kiasan bahawa orang Islam makan sedikit manakala orang bukan Islam makan banyak.

Ditambah lagi dalam hal ini, semua doktor sepakat mengatakan bahawa semua manusia tanpa mengira muslim atau kafir, memiliki sistem usus yang sama.



Akhir

Begitulah lontaran pandangan penulis dalam menyatakan maksud tujuf huruf ini. Sekalipun begitu tidaklah dinafikan berkemungkinan besar memang tujuh itu menunjukkan kepada perkara yang tertentu. Cumanya hal ini Baginda saw tidak menjelaskan dan tiada dalam hadis yang menerangkan secara terperinci maksud tujuh huruf. Maka ianya menjadi perkara furu' yang membenarkan para ilmuwan memberi pandangan masing-masing tanpa terkeluar dari berhujahkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan.

Bagi pembaca yang mempunyai komen terhadap artikel ini, penulis sangat mengalu-alukan untuk melontarkan komen tersebut, kerana mungkin ada perkara yang penulis terlepas pandang atau tidak tahu.

Sekian, terima kasih...