Selasa, 18 November 2008

I'JAZ HUKUM TAJWID 2

Bismillahirrahmanirrahim

Pada kali ini, kita masih cuba mengupas beberapa hikmah Allah swt menyuruh kita mentadabbur bacaan ayat al-Quran. Memanglah, membaca al-Quran sambil merenung akan maknanya adalah sesuatu yang sudah biasa diamalkan oleh kita, adapun di sini saya ingin membawa kepada satu lapangan tadabbur yang lain pula iaitu kita tadabbur dari sudut zahir kalimah itu sendiri.

Sepertimana yang telah saya sebutkan sebelum ini, bahawasanya penambahan binaan sesuatu kalimah menunjukkan penambahan dari segi makna. Sebab itu, secara zahirnya kita nampak sesuatu kalimah yang datang dengan bentuk mad yang lebih panjang dari mad asli maka ianya adalah satu tanda ingin memberitahu kepada kita bahawa ada hikmah kalimah itu didatangkan oleh Allah swt sebegitu rupa.

Saya akan bentangkan beberapa contoh dari kalimah ayat-ayat al-Quran yang datang dengan bentuk mad yang lebih panjang dari mad asli untuk sama-sama kita kenal bahawa mad ini datang bukan sebarangan dan tanpa tujuan; bahkan ia datang untuk menerangkan betapa pentingnya kalimah tersebut dengan membawa makna yang perlu diberi lebih perhatian.

Contoh

Contoh kalimah sebegitu rupa banyak terdapat dalam al-Quran, namun saya membawa sebahagian kecil darinya seperti berikut :

1) Nama-nama Hari Kiamat ;
1- Kalimah الطآمة : dalam surah al-Nazi'at ayat 34 (( فإذا جاءت الطآمة الكبرى )).
Maksudnya : "Maka apabila malapetaka yang sangat besar (Hari Kiamat) telah datang".
2- الحآقة : Surah al-Haaqqah ayat 1.
"Hari Kiamat" (yang pasti terjadi).

Ketika mana kita merenung dua kalimah tersebut, ianya menunjukkan perkara yang besar dan bukan biasa. Cuba kita bandingkan kalimah الطآمة dan الحآقة yang menunjukkan makna dari segi teruknya suasana Hari Kiamat itu sendiri, di kala itu manusia semuanya diseru untuk datang ke perbicaraan mahkamah Allah swt, manusia lari ke sana ke mari dengan suara yang hiruk-pikuk, gunung-ganang beterbangan, awan dan langit dilipat seperti tikar yang dilipat, ahli syurga disuruh masuk ke dalam syurga dan ahli neraka juga disuruh masuk ke dalam api neraka yang panas membahang. Sepertimana firman Allah swt :
(( ياأيها الناس اتقوا ربكم إن زلزلة الساعة شيء عظيم )) surah al-Hajj ayat 1.
"Hai manusia, takwalah (takutlah) kepada Tuhanmu, sesungguhnya kegoncangan Hari Kiamat itu adalah sangat dahsyat".
Sebab itu kalimah ini didatangkan dalam bentuk mad yang panjang (dalam ilmu Tajwid dikenal sebagai Mad Lazim Kalimi Musaqqol) supaya bila kita membaca ayat tersebut kita ada masa untuk merenung makna kalimah lalu air mata kita berjatuhan kerana takutnya akan suasana hari yang sangat dahsyat itu.

Berbeza pula dengan kalimah القارعة dan الواقعة juga menunjukkan makna Hari Kiamat, tetapi tidak didatangkan dengan bentuk mad yang panjang, bahkan hanya mad asli sahaja. Kenapa?
Inilah kebijaksanaan Allah swt yang Maha Bijaksana, makna yang sama tapi berbeza bentuk kalimah. Ini adalah kerana kalimah القارعة dan الواقعة menyentuh dari sudut masa pula. Dua kalimah tersebut tidak memerlukan masa yang panjang untuk dituturkan kerana ianya menunjukkan masa datangnya Hari Kiamat juga tidak memerlukan masa yang panjang, ianya datang secara tiba-tiba dan manusia ketika itu tidak sangka dan tidak bersedia apa-apa sepertimana firman Allah swt dalam surah yang sama juga ayat yang ke-2 :
(( يوم ترونها تذهل كل مرضعة عما أرضعت وتضع كل ذات حمل حملها وترى الناس سكارى وما هم بسكارى ولكن عذاب الله شديد )).
Maksudnya : "Pada hari yang kamu lihat kegoncangan itu, wanita yang sedang menyusukan anak melepaskan anak tersebut, dan wanita yang sedang hamil keguguran, dan kamu melihat manusia ramai ketika itu dalam keadaan mabuk padahal mereka tidak mabuk dan akan tetapi (kerana) azab Allah sangatlah dahsyat"

Hari Kiamat yang bakal menjelang itu, benar mempunyai dua ciri yang telah kita sebutkan tadi :
1) Suasana yang dahsyat dan menggerunkan.
2) Datang dengan secara tiba-tiba dan laju.

Bersambung...

Isnin, 17 November 2008

MURAI TAPI PENGECUT...!!!

Sifat Siapa?

Firman Allah swt :
(( وإذا لقوا الذين ءامنوا قالوا ءامنا وإذا خلوا إلى شياطينهم قالوا إنا معكم إنما نحن مستهزءون )) al-Baqarah ayat 14.

Maksudnya :
"Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman mereka mengatakan : 'Kami telah beriman', dan apabila mereka kembali kepada SYAITAN-SYAITAN mereka, mereka mengatakan pula : 'Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami (dengan orang beriman) hanya main-main (mengolok-olok dan berlakon) sahaja'."

Para penafsir al-Quran mengatakan bahawasanya ayat ini diturunkan kepada Abdullah bin Ubai dan konco-konconya yang munafiq kerana apabila bertemu dengan sahabat-sahabat Rasulullah saw seperti Abu Bakar ra, Umar bin al-Khattab ra dan Ali bin Abi Talib kw mereka bermuka-muka dengan suka memuji-muji sahabat tersebut (ulama memberi istilah sebagai bermujamalah iaitu berlakon berbaik-baik dan bermanis mulut). Sedangkan apabila mereka berkumpul dengan kumpulan 'sekepala' mereka, mereka sudah pesan-memesan : 'Lihatlah macamana kami bergaul dengan orang-orang bodoh tersebut (bodoh pada anggapan mereka)'."

Keterangannya

Keadaan ini adalah catatan peristiwa yang pernah berlaku di zaman Nabi saw masih hidup ataupun pendirian serta pandangan orang munafiq pada bangsa yahudi, yang dianggap sebagai syaitan-syaitan mereka bahkan lebih dari itu. Dimaksudkan 'syaitan' dalam ayat ini adalah pemimpin jahat mereka sebagai taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan hidayah.

Orang munafiq ini memang sebegini rupa, bilamana mereka berjumpa dan berbincang sekali sesama mereka, mereka sekepala dalam kejahatan. Merencana serta melakukan beberapa tindak-tanduk yang bersifat 'baling batu sorok tangan', kerana takut dikecam oleh Rasulullah saw secara terang-terangan. Padahal Allah tahu semua itu.

Kelak Allah akan membuka keaiban mereka seluas-luasnya dan langsung tidak memperdulikan mereka. Mereka akan diseksa dengan sekeras-keras seksaan di patat neraka, dan ditambah dalam urusan kerja mereka itu dengan kehairanan dan kesesatan. Na'uzubillah min zalik. Sebagaimana firman Allah swt selepas itu :
(( الله يستهزئ بهم ويمدهم فى طغيانهم يعمهون )) al-Baqarah ayat 15.
"Allah akan (membalas) lakonan mereka itu dan membiarkan mereka terumbang-ambing dalam kesesatan mereka".
(( أولئك الذين اشتروا الضلالة بالهدى فما ربحت تجارتهم وما كانوا مهتدين )) al-Baqarah ayat 16.
"Meraka itu adalah orang yang menggadaikan petunjuk (yang sudah ada dalam diri mereka) dengan kesesatan, maka perniagaan (itu) adalah rugi semata-mata dan mereka tidak akan mendapat petunjuk".

Hati Mereka Berbau Busuk

Bermula dari ayat 8 sehingga ayat 20 dalam surah al-Baqarah, memberitahu kepada kita bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah kisah pengulangan dari sinopsis cerita lama cuma dari versi yang baru. Cerita yang sama, pelakon yang berbeza. Cerita lama pelakon baru.

Perhatikanlah pada ayat-ayat al-Quran yang saya katakan tadi, memang benar ianya sama dengan cerita yang sedang berlaku pada hari ini. Bila dicakap bahawa : "Kamu ni suka buat onar, hentikanlah!", dijawab : "Tidak! kami buat kebaikan je. Apa yang kami buat adalah ingin menolong orang lain".

Padahal, apa yang sedang dia buat di hadapan orang lain tak sama dengan yang di belakang. Bila kita bertemu dengan orang 'pesen' ini secara berhadapan, tak mahu dia untuk berbincang menyelesaikan masalah secara baik dan gentleman. Dia lebih suka menikam dari belakang, tak kurang sedikitpun seperti lagak sang penakut dan pengecut.

Demikianlah, sifat ketua munafiq Abdullah bin Ubai bersama dengan pengikutnya yang ada di zaman Rasulullah saw masih ada. Dicatatkan perangai mereka dalam al-Quran supaya menjadi sempadan orang beriman dari terjebak dengan situasi buruk itu.

Kronologi

Kenapa saya membawa kronologi si munafiq sama dengan sang murai yang penakut? Kerana mulut mereka bising di belakang tapi takut untuk berhadapan. Tidak mahu menyelesaikan sesuatu masalah atau isu yang tidak puas hati secara baik. Tetapi baiknya sedikit, sang murai bising kerana berzikir kepada Tuhan Penciptanya.

Tapi ingat murai, dek bisingnya itu nanti kena tangkap orang dan dimasukkan ke dalam sangkar!!!

Rabu, 12 November 2008

WAHYU YANG PERTAMA, AMALAN YANG UTAMA

Ketahuilah Sahabat

Perkara yang utama dalam membaiki diri, membersihkan hati, meningkatkan daya karisma diri, memelihara diri dari terjebak sebarang masalah malahan ubat penyelesaiannya adalah ilmu. Tentulah aset utama untuk memperolehi ilmu pula adalah dengan membaca dan menulis, kerana itu Allah swt apabila mengkehendaki seseorang hamba mendapat petunjuk dariNya lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada cahaya diturunkan sebuah kitab untuk dibaca.

Pada awal surah yang diturunkan, dimulakan dengan satu kalimah yang menjadi kunci memperbaiki seluruh manusia sekalipun berbeza zaman dan tempat;
(( إقرأ باسم ربك الذى خلق ))
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan".

Oleh kerana itu, sesiapa yang mengkehendaki kejayaan, pembersihan jiwa dan pemulihan hati maka tiada jalan lain melainkan dengan al-Quran dan al-Sunnah ; membaca, menghafaz dan memahami kedua-duanya.

Sesungguhnya seruan serta penyampaian dari isi kitab yang dibaca, difahami dan dipegang itu (al-Quran) adalah proses beramal dengannya pula kerana itulah cara merealisasikan kemajuan dan kemajuan dalam setiap lapangan kehidupan. Bila diperhati dengan tajam pada perkataan علم (ilmu) dan عمل (amal) sendiripun, kita dapati ianya hampir serupa. Setiap yang tahu kena beramal.

Kunci Kejayaan

Membaca adalah kehidupan insan, sesiapa yang membaca dengan banyak maka dirinya serta jiwanya hidup dengan kadar pembacaannya. Lagi banyak baca lagi luas kehidupannya. Kerana itu ada peribahasa Inggeris mengatakan : "Membaca adalah seperti menjelajah dunia". Maka sesiapa yang ingin dirinya mencapai tahap kejayaan maka hendaklah mengamalkan budaya membaca.

Persoalan

Adakah semua pembacaan dapat merialisasikan tujuan ini? Tidak sama sekali, bahkan dalam artikel ini ingin menyentuh pembacaan yang ada sifat didikan tarbiyah dari Allah swt. Mempunyai pertolongan terus dari Allah swt hanya terdapat di bawah lembayung Kitab al-Quran sahaja.

Firman Allah swt :
(( ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين )) al-Baqarah ayat 2.
"Demikianlah Kitab (al-Quran) tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa".

Penutup

Sebarang persoalan dan penyelesaian yang berlingkar dalam kehidupan manusia, semuanya terkandung dalam al-Quran. Kemudian disertakan bersama dengan penurunannya seorang nabi adalah untuk berperanan sebagai seorang cikgu menerangkan isi-isi silibus yang telah ditetapkan. Hasil dari sesorang yang membaca, memahami serta beramal dengan apa yang ada di dalam Kitab al-Quran dengan bersungguh-sungguh maka dia akan mencapai kejayaan di dunia mahupun di akhirat. InsyaAllah.

Jumaat, 24 Oktober 2008

ANTOKIA - kisahmu sering disebut

Sedar Tak Sedar

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahhuakbar. Satu kisah yang sering kita umat Islam menyebut-nyebutnya di malam Jumaat, tapi tidak tahu perjalanan peristiwa yang menyentuh jiwa agama ini, lantaran kerana tidak sedar akan kewujudannya dalam helaian sejarah perjuangan umat yang menyembah Ilahi yang Maha Esa. Kisahnya tercatat dalam himpunan cerita-cerita al-Quran.

Sejarahnya penuh dengan; sifat kebertanggungjawaban, amanah dengan risalah Ilahi, korban jiwa dan raga, berani pada yang hak, bersatu dengan tali Allah, kesatuan gerak kerja, berpegang aqidah yang tulus dan mantap, keyakinan yang tinggi, tawakkal yang jitu, kefahaman yang jelas, keikhlasan yang tinggi, tidak takut dengan ancaman, dan tidak terasa dengan cacian.

Kisah Pelajaran Untuk Kita Semua

Sebuah kampung atau negeri yang terkenal dengan nama Antokia, kisah kehidupan penduduknya telah dirakam oleh Allah dalam surah Yasin. Ianya terletak di selatan Turki, hampir dengan negara Syria menjadi sejarah yang agung bagi penganut agama Masihi kerana di sana masih terdapat kesan peninggalan sejarah agama mereka.

#Firman Allah swt :
(( واضرب لهم مثلا أصحاب القرية إذ جاءها المرسلون ))
Maksudnya : "Dan buatlah satu perumpamaan untuk mereka (untuk kaum engkau wahai Muhammad yang mendustakanmu), penduduk kampung yang didatangi utusan-utusan".

Semua ulama Tafsir mengatakan penduduk negeri itu ialah Antokia. Dulunya dia terkenal dengan nama Antioch. Mengikut pendapat Ibn Abbas ra dan kebanyakan ulama, orang yang diutuskan itu adalah sahabat Nabi Isa as, mereka diutus untuk menetapkan ajaran risalah Nabi Isa as di negeri tersebut.

#(( إذ أرسلنا إليهم اثنين فكذبوهما فعززنا بثالث فقالوا إنا إليكم مرسلون ))
Maksudnya : "(Ingatlah) ketika Kami utuskankan kepada mereka dua orang utusan lalu mereka mendustakan dua orang tersebut. Kemudian Kami kuatkan dengan (diutuskan) utusan yang ketiga (pula), maka ketiga-tiga utusan itu berkata : 'Sesungguhnya kami adalah orang yang diutuskan kepada kamu semua'."

Sepertimana yang dipetik dari kata Ibn Ishak dari Ibn Abbas ra, Ka'ab al-Ahbar ra dan Wahab bin Munabbih ra : Di dalam negeri tersebut, terdapat seorang raja yang bernama Antikhas bin Antikhas. Dia serta rakyatnya menyembah berhala. Lalu dengan perintah Allah swt, Nabi Isa as mengutuskan dua orang sahabatnya kepada mereka. Tapi, malangnya mereka terlalu cepat mendustakan utusan tersebut. Kemudian dikuatkan kumpulan utusan itu dengan seorang lagi utusan yang lain menjadikan mereka seramai tiga orang.

Seperti utusan-utusan ilahi yang lain, mereka menyeru penduduk negeri tersebut untuk menyembah Allah swt yang telah menciptakan mereka, meninggalkan amalan penyembahan patung-patung berhala yang tunggul itu. Namun ajakan itu disertai dengan ejekan. Berlaku beberapa perdebatan di antara mereka.

# (( قالوا ما أنتم إلا بشر مثلنا وما أنزل الرحمن من شيء إن أنتم إلا تكذبون ))
Maksudnya : "Mereka menjawab : 'Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami dan Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah pendusta'."

Kata-kata mereka : "...Allah Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun..." bukti menunjukkan bahawa mereka tahu akan kewujudan Allah akan tetapi mereka ingkar dengan Risalah Kenabian, dan menyembah patung-patung yang dianggap sebagai perantara kepada Allah. Tetapi Allah Maha Suci dari apa yang mereka ada-adakan.

Mereka tidak dapat menerima mengapa Risalah Kenabian ini dibawa oleh manusia seperti mereka juga yang ada sifat makan dan minum, berjalan ke pasar, berkahwin, beranak-pinak dan sebagainya. Mereka mahukan orang yang risalah ini mestilah orang yang pelik dari orang lain, yang bersifat dengan sifat-sifat yang ganjil dan aneh tidak seperti kebiasaan orang ramai.

Kemudian mereka dijawab seperti demikian:
# (( قالوا ربنا يعلم إنا إليكم لمرسلون # وما علينا إلا البلاغ المبين ))
Maksudnya : "Mereka berkata : 'Tuhan kami mengetahui bahawa kami adalah orang yang diutus kepada kamu # Dan kewajiban kami tidak lain hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas'."

# (( قالوا إنا تطيرنا بكم لئن لم تنتهوا لنرجمنكم وليمسنكم منا عذاب أليم ))
"Mereka menjawab : 'Sesungguhnya kami bernasib malang kerana kamu, jika kamu tidak berhenti dari kerja (menyampaikan risalah) ini nescaya kami akan merejam kamu dan kamu pasti merasa siksa yang pedih dari kami'."

Ajaran yang dibawa utusan itu dirasakan seperti menyekat kebebasan yang telah lama mereka kecapi, melawan arus nafsu kehidupan yang telah lama mereka rasakan. Lantas utusan ini dianggap sebagai orang yang memecah-belahkan masyarakat mereka kerana ada sebahagian mereka yang dilembutkan hati mereka oleh Allah swt mengikuti ajaran tersebut.

# (( قالوا طائركم معكم أئن ذكرتم بل أنتم قوم مسرفون ))
"Utusan-utusan itu berkata : 'Nasib malang itu adalah disebabkan kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu mengancam kami pula)? Sebenarnya kamu adalah kaum yang melampaui batas'."

Perjuangan

# (( وجاء من أقصا المدينة رجل يسعى قال يا قوم اتبعوا المرسلين # اتبعوا من لا يسئلكم أجرا وهم مهتدون ))
"Dan telah datang dari hujung kota seorang lelaki dengan berlari, lantas berkata : 'Wahai kaumku ikutlah (ajaran) utusan-utusan itu # Ikutlah orang yang tidak meminta apa-apa ganjaran upah dari kamu dan mereka adalah orang yang diberi petunjuk'."

Seorang lelaki apabila terdengar sahaja kedatangan tiga utusan itu ke kotanya yang datang dengan mempercepatkan langkah jalannya itu bernama Habib bin Mura seorang tukang kayu dihujung kota. Dia seorang yang suka bersedekah. Datangnya itu dengan niat ingin menolong kumpulan risalah kenabian ini dengan menyeru kaumnya :

# (( وما لى لا أعبد الذى فطرنى وإليه ترجعون # ءأتخذ من دونه ءالهة إن يردن الرحمن بضر لا تغن عنى شفاعتهم شيئا ولا ينقذون # إنى إذا لفى ضلال مبين # إنى ءامنت بربكم فاسمعون ))
"Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku, dan kepadaNyalah kamu (semua) akan dikembalikan # Patutkah aku menyembah tuhan selain dariNya? Jika (Allah) Yang Maha Pemurah mengehendaki mudarat kepadaku nescaya syafaat mereka (tuhan selain dari Allah) tiada memberi apa-apa faedah sikitpun untukku dan tidak dapat menyelamatkanku # Sesungguhnya aku kalau begitu (kalau menyembah juga tuhan selain dari Allah) pasti berada dalam kesesatan yang nyata # Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu (utusan-utusan tadi) maka dengarlah pengakuan keimananku'."

Diriwayatkan oleh Ibn Abbas ra, Kaab ra dan Wahab ra bahawa apabila lelaki itu berkata dengan kata-kata demikian di hadapan kaumnya dia disambar dan dicampak kemudian dibunuh. Tiada seorangpun yang ingin menolongnya.

Dalam nukilan yang lain dia direjam dengan batu oleh kaumnya dan dikeluarkan kerongkongnya. Tetapi dia tidak putus-putus berdoa : "Ya Allah ya Tuhanku! Berilah petunjuk untuk kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak tahu", sehinggalah dia mati syahid.

#(( قيل ادخل الجنة قال ياليت قومى يعلمون # بما غفرلى ربى وجعلنى من المكرمين ))
"Dikatakan (kepadanya) : 'Masuklah ke syurga'. Ia berkata : 'Alangkah baik sekiranya kaumku mengetahui # Apa sebab Tuhanku mengampunkanku dan memasukkanku ke dalam golongan orang yang mulia'."

Di saat dia meninggalkan dunia, malaikat mengunjunginya sambil menyampaikan bahawa Allah telah mengampuni dosanya dan dia akan dimasukkan syurga. Dia mendapat nikmat sepertimana yang dijanjikan Allah kepada mereka yang berjuang di jalanNya.

Pejuang di jalan Allah tidak kira samada dia seorang tukang kayu, seorang nelayan, petani, pegawai kerajaan, cikgu, usahawan, doktor, menteri atau lain-lain. Sesiapa saja yang pernah mengucapkan kalimah لا إله إلا الله محمد رسول الله maka dia seorang penda'i. Dia bertanggungjawab terhadap agamanya, membelanya ketika ia lemah, mempertahankannya ketika ia diserang, menangkis tohmahan terhadapnya, menyebarkan intipatinya pada orang lain, menghayati dan mengamalkannya untuk dirinya, keluarganya, masyarakatnya, negaranya dan dunianya.

Bukanlah penghuni syurga itu tiketnya terdiri dari mereka yang mendalami ilmu Usuluddin, Syariah, Qiraat, Tafsir, seorang imam, tok kadi, ustaz atau ustazah. Tetapi tiketnya ada pada orang yang mengambil Risalah Kenabian ini dengan sentuhan hati nuraninya. Dia berjalan di atas muka bumi ini dengan cahaya Tuhannya, dia tampak hidup bersama dengan manusia lainnya tapi hatinya bersama dengan makhluk-makhluk Allah yang suci di atas sana, dia sungguh-sungguh bersandar kepada sumber kehidupan dari Tuhannya, dan yang pastinya dia tidak membiarkan agamanya hanya sekadar di atas namanya. Bahkan seorang pecacalpun boleh dimasukkan ke dalam syurga jika dia seorang benar-benar hamba kepada Tuhannya.

Kita tidak akan ditanya adakah kita berjaya dengan dakwah kita, tapi kita akan ditanya adakah kita menjalankan dakwah Islam itu...

Selasa, 21 Oktober 2008

I'JAZ HUKUM TAJWID 1 (sambungan 2)

Kita masih membincangkan i'jaz dari segi hukum Izhar yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran bagi mencari lebih lagi kefahaman tentang i'jaz ini sehingga kita benar-benar yakin dan memahami dari sudut itu.

Contoh Lain

1) Firman Allah swt : (( وإذا سألك عبادى عنى فإنى قريبٌ أجيب دعوة الداع إذا دعان )) al-Baqarah ayat 186.
Maksudnya : "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat, Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu".

Tidak terdapat jurang, kelapangan atau dengung di antara قريب dan أجيب kerana selepas tanwin tersebut terdapat salah satu dari huruf Halqi (pernah dibincangkan sebelum ini) iaitu Hamzah(ء), menunjukkan cepatnya Allah memakbulkan doa hamba-hambanya.

2) (( وما يستوى البحران هذا عذبٌ فراتٌ سائغٌ شرابه وهذا ملحٌ أجاج )) surah Faatir ayat 12.
Maksudnya : "Dan tiada sama (antara) dua laut ; yang ini tawar, segar, dan sedap diminum dan yang lain masin lagi pahit".

Kita dapati pada ayat ini, bahawa air yang tawar, segar dan sedap diminum itu datang dengan bentuk tanwin yang mempunyai dengung, memberi makna ia mempunyai tempoh masa rehat ketika menikmati air yang segar dan sedap diminum ini.

Adapun air yang masin itu datang dengan bentuk tanwin tanpa dengung menunjukkan segera, ketika minum air ini pasti cepat-cepat menolaknya kembali sebab ianya terasa masin di lidah.

3) (( هو الذى أنزل عليك الكتاب منه ءايات محكماتٌ هن أم الكتاب )) surah Ali 'Imran ayat 7.
Maksudnya : "Dialah yang menurunkan al-Kitab (al-Quran) kepada kamu. Di antara (isi)nya ada ayat-ayat yang muhkamat (ayat-ayat yang terang dan tegas maknanya, dapat difahami dengan mudah) itulah pokok-pokok isi al-Quran..".

Tidak terdapat dengung atau kelapangan di antara tanwin محكمات dan هن kerana ia adalah perkara qat'i (sesuatu yang telah jelas dan tidak boleh dibahaskan), ayat muhkamat adalah tempat rujukan yang dikembalikan ayat yang mutasyabihat (ayat yang mengandungi beberapa makna dan tidak dapat ditentukan yang mana maknanya lebih tepat, hanya Allah yang mengetahui) kepadanya.

Penutup

Sekian saja, keterangan ilmiah yang boleh dikongsi berkenaan i'jaz dari sudut hukum Izhar. Selain dari contoh-contoh yang telah disebut di atas dan artikel sebelum ini, terdapat banyak lagi contoh-contoh ayat yang membenarkan penelitian ilmiah ini. Cuma di sini saya memuatkan sebahagian dari contoh-contoh ayat tersebut. InsyaAllah, di masa yang lain akan saya kemukakan i'jaz dari sudut hukum yang lain pula.