Rabu, 18 Februari 2009

KEDUDUKAN BASMALAH PADA SURAH AL-FATIHAH DAN KETIKA DALAM SOLAT. SATU PERSOALAN?

Salamun 'alaik,

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada kali ini saya ingin mengupas satu tajuk yang saya kira menarik dan penting untuk diketahui bersama.

Iaitu bagaimana sebenarnya kedudukan basmalah (atau juga dikenali tasmiah, بسم الله الرحمن الرحيم ) dalam surah al-Fatihah secara khusus dan bagaimana hal keadaannya ketika ingin dibacakan dalam sembahyang menurut pandangan para ulama.

InsyaAllah saya cuba kupaskan isu ini dari pandangan kepelbagaian lapangan ilmu yang berbeza untuk pengetahuan kita lebih meluas.

Pengenalan,

Basmalah بسملة adalah kata terbitan dari kata perbuatan بسمل iaitu apabila berkata kalimah : بسم الله الرحمن الرحيم , seperti Hauqola حوقل iaitu apabila berkata kalimah : لا حول ولا قوة إلا بالله .

Pertama : Sepakat kesepuluh ulama Qiraat mendatangkan basmalah ketika permulaan membaca awal ayat dari mana-mana surah melainkan awal ayat surah al-Taubah.

Ibn Hajar dan al-Khatib berpendapat bahawa basmalah diharamkan di awal ayat surah itu sahaja(al-Taubah), demikian juga penulisan kalimah basmalah tidak didapati pada surah itu sepertimana yang tercatat di dalam Mashaf, kerana surah itu diturunkan dengan pedang. Dan makruh hukumnya ketika di pertengahan surah itu.

Manakala al-Ramli berpendapat makruh basmalah pada awal ayat surah al-Taubah, dan sunat membaca basmalah pada pertengahannya.

Berkata Ibn Abbas ra : "Aku menanyakan Ali ra, kenapa tidak ditulis pada surah al-Taubah ((بسم الله الرحمن الرحيم ))? ". Dia menjawab : "Kerana sesungguhnya (( بسم الله الرحمن الرحيم )) adalah keamanan, sedangkan surah al-Taubah diturunkan dengan pedang dan melanggar janji-janji, tiada padanya keamanan".
(Tafsir al-Razi 216/15)
Lihat pada kisah penurunan surah ini untuk lebih lanjut.

Kedua : Adapun ketika di antara dua surah ulama Qiraat berselisih pendapat seperti berikut :
1) Pendapat Imam Qolun, al-Asbahani, Ibn Kathir, 'Asim, al-Kisaie, dan Abu Ja'far
- Basmalah dibacakan, melainkan di antara surah al-Anfal dan al-Taubah.
Berdasarkan Hadis dari Sa'id bin Jabir : "Adalah Nabi saw : Tidak tahu habisnya satu-satu surah sehinggalah turun padanyaبسم الله الرحمن الرحيم

2) Bagi Imam Hamzah
- Menyambungkan akhir surah dengan ayat awal surah selepasnya tanpa basmalah, kerana ingin menjelaskan kalimah di akhir surah tersebut tentang baris i'rab dan binaan kalimah, dan kalimah di awal surah berikutnya tentang Hamzah Qot'ie atau Wasal, hukum izhar, idgham, atau iqlab.

3) Imam Kholaf al-'Asyir, dua pendapat
- Sambungkan seperti Imam hamzah
- Saktah di antara dua surah tanpa basmalah, kerana menandakan pemisah di antara dua surah.
Saktah bermaksud berhenti di akhir kalimah berhenti yang seketika tanpa mengambil nafas baru selama 2 harakat. Dan harakat bermaksud menutup satu jari atau membukanya.

4) Imam al-Azraq, Abu 'Amru, Ibn Amir dan Ya'qub dengan tiga pendapat
- Pendapat no 1)
- Pendapat no 3)

Peringatan : Ini hukum yang umum di antara dua surah samada ianya tersusun rapat seperti di antara surah al-Fatihah dan al-Baqarah, ataupun yang tidak tersusun rapat seperti surah al-Fatihah dan al-Naas. Tetapi dengan syarat surah yang kedua mesti berada di bawah surah yang pertama mengikut tertib susunan dalam al-Quran.

Ilmu Qiraat

Kini, saya kira, saya akan mulakan perbincangan ini dari pengamatan ilmu Qiraat :

Pertama sekali perlu diketahui, tiada perbezaan pendapat dari ulama Qiraat bahawasanya basmalah adalah sebahagian ayat dari surah al-Naml seperti firman Allah swt :
(( إنه من سليمان وإنه بسم الله الرحمن الرحيم )) ayat 30.
Maksudnya : (( Sesungguhnya surat itu dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi)nya : "Dengan Menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang")).

Kedua, begitu juga ulama Qiraat tidak berselisih mengatakan bahawasanya basmalah adalah termaktub di awal surah al-Fatihah.

Ilmu Fawasil

Kesemua ulama 'Adad mengatakan al-Fatihah mempunyai tujuh ayat, secara umunya mereka sepakat, berdasarkan :

- Firman Allah swt : (( ولقد آتيناك سبعا من المثانى والقرءان العظيم )) surah al-Hijr ayat 87.
Maksudnya : (( Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang (al-Fatihah) dan al-Quran yang agung )).

- Dari Ummu Salamah ra berkata : Adalah Rasulullah saw memotong-motong bacaannya, Baginda saw menyebut : (( الحمد لله رب العالمين, ثم يقف, الرحمن الرحيم, ثم يقف, وكان يقرؤها ملك يوم الدين ))

Maksudnya : Nabi saw membaca (( الحمد لله رب العالمين, kemudian berhenti, الرحمن الرحيم , kemudian berhenti, dan Baginda membaca ملك يوم الدين (tanpa alif mad) )).
(Hr Imam Ahmad, Abu Daud, al-Turmizi, Ibn Abi Syaibah, al-Darqutni, al-Hakim, al-Tohawi, al-Tabrani, Abu Ya'la, Ibn Khuzaimah, al-Baihaqi dan al-Khotib. Kesemua mereka dari toriq Ibn Juraij dari Ibn Abi Mulaikah dari Ummi Salamah. Kalau dari rwy Ibn Khuzaimah, al-Darqutni, al-Hakim dan al-Baihaqi dengan lafaz (( Bahawasanya Rasulullah saw membaca di dalam sembahyang : بسم الله الرحمن الرحيم maka baginda mengiranya sebagai satu ayat, الحمد لله رب العالمين sebagai ayat kedua, الرحمن الرحيم ayat ketiga, مالك يوم الدين ayat keempat, dan : Begini إياك نعبد, وإياك نستعين dan menggenggam kelima-lima jarinya)) ).

Dari pemahaman hadis di atas maka ulama 'Adad terbahagi dua pendapat seperti berikut :
1) Pendapat ulama Mekah dan Kufah mengira basmalah sebagai satu ayat.
2) Sedangkan ulama Basrah, Syam dan dua golongan ulama Madinah tidak mengira basmalah sebagai satu ayat bahkan menggugurkannya, dan mengira (( أنعمت عليهم )) sebagai satu ayat pula.

Ilmu Fiqh

Adapun dari sudut pandangan Fiqh, saya hanya mengambil pendapat dari imam 4 mazhab sahaja. Dan dari sinilah kita akan melihat terus jawapan penuh dari persoalan tajuk kita pada kali ini.

1) Basmalah dari sisi mazhab Hanafi
- Bukanlah ia salah satu ayat dari al-Fatihah dan mana-mana surah melainkan surah al-Naml (seperti yang telah kita sebut di atas).

Kerana hadis Anas ra berkata : (( Aku bersembahyang dengan Rasulullah saw, Abu Bakar ra, Umar ra, dan Usman ra, maka aku tidak mendengar salah seorang dari mereka membaca بسم الله الرحمن الرحيم ))
(Hr Muslim dan Ahmad)

- Akan tetapi baca bersendirian بسم الله الرحمن الرحيم secara senyap di setiap rakaat, begitu juga آمين di hujung al-Fatihah oleh setiap pembaca.

Berkata Ibn Mas'ud ra : " Empat perkara yang disenyap-senyapkan imam sembahyang : al-ta'awwuz ( أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ), basmalah, al-ta'min ( آمين ), dan al-tahmid ( ربنا لك الحمد )".
( Rwy Ibn Abi Syaibah dari Ibrahim al-Nakho'ie)

2) Di sisi mazhab al-Syafi'e
- Basmalah adalah salah satu ayat dari al-Fatihah

Kerana riwayat dari Imam al-Bukhori dalam sejarahnya bahawa Baginda saw mengira al-Fatihah dengan tujuh ayat, dan mengira basmalah sebagai satu ayat darinya.

Adapun riwayat dari al-Darqutni dari Abi Hurairah ra, bahawa Baginda saw bersabda : ((Apabila kamu semua membaca الحمد لله , maka bacalah بسم الله الرحمن الرحيم , sesungguhnya ia (al-Fatihah) adalah Ummu al-Quran, Ummu al-Kitab, al-Sab'u al-Mathani (tujuh ayat yang diulang-ulang), dan بسم الله الرحمن الرحيم adalah salah satu ayatnya)).

- Maka tatkala sembahyang yang membaca dengan kuat (sembahyang Subuh, Maghrib, Isyak dan sebagainya) maka kuatkanlah (baca dengan jelas dan terang) basmalah tersebut seperti kita baca al-Fatihah dan surah lain dengan jelas.

Sepertimana yang diriwayatkan dari Ibn Abbas ra bahawa Nabi saw menjelaskan dengan بسم الله الرحمن الرحيم .
(Banyak hadis yang meriwayatkannya samada Imam al-Bukhorie, Muslim dan samada dalam kitab sohih kedua-dua mereka dari enam para sahabat ra : Abu Hurairah ra, Ummu Salamah ra, Ibn Abbas ra, Anas ra, Ali bin Abi Tolib ra, Samrah bin Jundab ra (seperti yang tercatat dalam al-Majmu') ).

3) Di sisi mazhab Malik
- Basmalah bukan satu ayat dari al-Fatihah
- Makruh membaca al-ta'awwuz dan basmalah sebelum al-Fatihah pada sembahyang fardhu. Adapun sembahyang-sembahyang sunat adalah harus, itupun meninggalkan kedua-duanya itu adalah lebih utama selagi tidak mera'ikan khilaf. Mendatangkan basmalah lebih utama jika ingin keluar dari khilaf.

4) Di sisi mazhab Hanbali
- Basmalah adalah satu ayat dari al-Fatihah
- Wajib membacanya di dalam solat sebelum al-Fatihah tapi dengan senyap, tidak diterangkan (tidak dibaca dengan kuat).

Akhirnya

Terpampang di depan mata kita beberapa pendapat beserta dengan hujah-hujahnya bagi mengeluarkan kita dari kepompong kejahilan. Semoga input ini amat bermakna untuk kita semua.

Wallahua'lam...

Rabu, 11 Februari 2009

AL QURAN TIDAK HANGUS....SUBHANALLAH..!



HAKIMI Harun menunjukkan naskah al-Quran yang tidak hangus selepas rumahnya di Taman Seroja, Kangar terbakar, semalam.


KANGAR 11 Feb. - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila menjumpai senaskhah al-Quran yang masih berada dalam keadaan baik walaupun semua barangan di sebuah bilik musnah dalam kebakaran di Taman Seroja di sini awal pagi ini.

Hakimi Harun, 49, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas memeriksa sebuah bilik tingkat atas rumahnya yang terbakar awal pagi ini.

''Pada mulanya saya bersama isteri, Rasila Saad ke tingkat atas rumah untuk mencari kemungkinan ada barangan yang boleh digunakan selepas terbakar.

"Kami menjumpai senaskhah al-Quran yang tidak musnah dalam kebakaran itu sedangkan semua buku dan peralatan lain di bilik yang sama musnah sama sekali," katanya di sini hari ini.

Hakimi percaya kejadian itu merupakan tanda keagungan Allah SWT yang ditunjukkan terhadap kitab suci umat Islam.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Kangar, Mohd. Syukri Mat Zuki berkata, rumah Hakimi adalah salah satu daripada empat buah rumah teres di Taman Seroja yang dijilat api pagi tadi.


( SubhanAllah...Maha Suci Allah....Allah berfirman:(( فبأى ءالآء ربكما تكذبان )) ar Rahman ayat 13 Maksudnya : "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?" )

Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah duhai sahabat...

Dipetik dari : Utusan Online / 120209

Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL
ridzuwan.ismail@utusan.com.my

Jumaat, 6 Februari 2009

I'JAZ TAJWID 2 (sambungan)

...sambungan

Kita masih membincangkan kehebatan kalimah al-Quran dari sudut hukum Mad.

Mari kita merenung hal tersebut dalam surah al-Kafirun.

1) Allah menyeru orang kafir dengan harakat yang panjang (bagi yang baca panjang pada Mad Jaiz Munfasil).

(( قل يآ أيها الكافرون )), maksudnya : (( Katakanlah (Muhammad) : Heeeeeei orang kafir ))
dengan nada panjang kerana sedang memanggil.

2) Berbeza pula, tiada Mad yang panjang pada kalimah ما pada ayat :

(( لآ أعبد ما تعبدون )) maksudnya : (( Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah)) dan (( ولآ أنا عابد ما عبدتم )) maksudnya : (( Dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah )), kerana mengejek ke atas sembahan mereka. Sesuatu yang mereka sembah selain Allah tidak ada mempunyai daya apa-apa. Tidak dapat memberi pertolongan kepada mereka ketika susah, dan tidak dapat memberi mudarat kepada musuh mereka ketika diperlukan. Yang disembah oleh mereka itu tidak dapat menciptakan apa-apa ciptaan hatta seekor lalat bahkan ia pula terpaksa dicipta oleh tangan-tangan bodoh manusia.

Samada batu, kayu, pokok, matahari, bulan dan apa saja benda-benda selain dari Allah adalah makhluk seperti kamu juga wahai manusia. Kamu mati, tiada, merekapun boleh dihapuskan, tiada juga. Oleh itu, benda-benda itu tak perlulah difikir panjang ianya semua itu bukan tuhan!!! Yang perlu difikir panjang dan diberi tumpuan lebih ialah Tuhan yang telah menciptakan kamu dan semua benda-benda itu. Dialah Allah yang Maha pencipta!!! Sepertimana berikut :

3) Kes ما أعبد pada ayat :

(( ولآ أنتم عابدون مآ أعبد )) ayat 3 dan 5 maksudnya : (( Dan kamu tidak pernah menyembah apa yang aku sembah )), kerana ini menunjukkan kemuliaan yang Maha besar dan Maha tinggi terhadap apa yang disembah oleh Rasulullah saw iaitu Allah swt sendiri.

Dan Dialah Tuhan yang kita perlu beri tumpuan sepenuhnya kehidupan kita. Makan, minum, kerja, rehat, tidur, bangkit, diam, bergerak semua kerana Dia. Dialah segala-galanya.

Sebab itu bilamana kita baca ayat ini bersendirian, di malam hari yang senyap sunyi, dengan nada yang perlahan sayu, kemudian dibaca dengan memanjangkan harakat tersebut sambil berfikir seperti yang disebut ini, maka jatuhlah manik-manik permata yang jernih dari kelopak mata. Tahulah kita, tujuan kita hidup di atas dunia yang sementara dan penuh tipu-daya. Itulah satu-satunya saat yang Allah sangat rindui dari hambanya.

4) Begitu juga terdapat mad yang panjang pada setiap penafian dalam surah ini, iaitu dengan kalimah لآ . Dengan maksud : "Tidaaaaak".

Seperti kita ditanya oleh kawan kita : "Engkau mencuri ye?".

Kita jawab dengan sepenuh hati : "Taaaaaaak, mana ada!" sambil dahi-dahi kita pun berkerut tujuh.

Begitu juga, ayat Allah semua ini. Datang kepada manusia, maka ianya datang selaras dengan perasaan dan naluri manusia itu sendiri. Fikirkanlah!


Subhanallah....

Khamis, 5 Februari 2009

AL-QURAN BERI INSPIRASI BERFIKIR

Assalamualaikum wrt,

Mari sama-sama kita renung akan kata-kata penulis di bawah :

AL-QURAN BERI INSPIRASI BERFIKIR

AL-QURAN sepatutnya mendapat layanan istimewa daripada umat Islam. Layanan itu bukan hanya membabitkan cara mengambil, meletak dan membacanya, malah yang lebih ialah kandungannya, dan menghayati suruhan dan menjauhi larangannya.Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, suasana inilah yang melonjakkan generasi terdahulu ke paras tertinggi dalam indeks kecemerlangan.

Kecemerlangan yang digapai bukan dalam satu bidang tertentu, malah pelbagai bidang. Dukacita generasi ini sudah lama meninggalkan kita.

Walaupun mereka tiada lagi, sejarah mereka tetap utuh, bahkan masih segar jika dipelajari.
Mereka membaca al-Quran bukan hanya untuk panduan hukum agama, malah menjadikan sebagai panduan cara kehidupan, membabitkan kesempurnaan fardu ain dan fardu kifayah.

Cuba lihat apabila mereka baca ayat al-Quran mengenai aurat, mereka bukan berlumba-lumba membeli kain di gedung untuk menutup aurat tetapi mereka berfikir lebih jauh dari itu, iaitu mereka berfikir cara untuk mencipta pakaian, membina kilang pakaian serta merancang untuk menguasai pasaran pakaian dan fesyen.

Begitu juga apabila mereka membaca ayat mengenai kebersihan, mereka bukan saja membersihkan najis tetapi mencari idea untuk meneroka teknologi, malah menceburi dalam import eksport barang terbabit.

Di sebalik kepintaran itu, mereka adalah generasi berakhlak tinggi. Begitulah al-Quran memberikan inspirasi berfikir dan berzikir.

Sewajarnya remaja mencontohi kecemerlangan itu, mendekati al-Quran untuk mempertajamkan minda dan memperkuatkan peribadi. (Bagaimana mendekati Al-Quran?)
Caranya dengan membaca al-Quran, selalu mendengar bacaan ayat suci al-Quran, memahami kandungan, menjadikannya sebagai penawar mujarab menyelesaikan masalah sosial dan seterusnya menjadikan ia sumber hukum.

Masalah remaja bermula apabila kita mengambil sikap memulaukan al-Quran, iaitu tidak membacanya. Jika dulu, waktu Maghrib kedengaran bacaan al-Quran, sayup-sayup dari rumah tetapi kini yang kedengaran di televisyen dan radio.

Jika dibaca pun banyak kesalahannya, tidak cuba memahami apa yang dibaca, tidak menjadikannya sebagai panduan untuk merawat penyakit masyarakat dan kemanusiaan. Jika ada pun dijadikan untuk hantaran perkahwinan.

Ketika empayar Rom dan Parsi jatuh ke tangan orang Islam, pemimpin Rom berbicara sesama sendiri dengan penuh kekaguman mengenai tentera Islam.

Antara komen mereka ialah orang Islam suka bersolat pada malam hari dan berpuasa pada siang hari, menepati janji, menyeru orang melakukan kebaikan, melarang daripada kejahatan dan membahagikan harta rampasan perang sama banyak antara mereka.

Umat Islam berada di zon kecemerlangan kerana ditempa dan dibentuk al-Quran. Melihatkan kepada suasana semasa nampak sangat kita berada di satu lembah dan al-Quran berada di tempat lain.

Prestasi makin jauh dari al-Quran ini akan mencetuskan seribu satu macam onar dalam masyarakat. Kepada remaja, dengarlah al-Quran, selalulah membaca, cuba fahami isinya, akan datang penghayatan dan akhirnya terserlahlah al-Quran dalam bentuk tindakan, lalu berulang kembali generasi al-Quran. Wassalam.

Penulis Asal oleh : Mohd Zawawi Yusoh.

Selasa, 3 Februari 2009

ANTARA TANDA KENABIAN RASULULLAH SAW (yang telah diketahui oleh Ahli Kitab)

Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan Nabi Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.

Sahabat-sahabat sekalian,

Kemunculan seorang nabi di akhir zaman, berperanan sebagai penutup segala nabi telah dikhabarkan oleh Allah swt dalam Kitab-kitab Samawi yang terdahulu, sehingga Ahli Kitab (penganut kitab Taurat dan Injil) amat kenal tanda-tanda yang ada pada batang tubuh badan Junjungan Nabi Muhammad saw lebih dari mereka kenal akan anak-anak mereka seperti yang tercatat dalam Kitab mereka.

Firman Allah swt :
(( الذين آتيناهم الكتاب يعرفونه كما يعرفون أبناءهم )) al-Baqarah ayat 146 dan al-An 'am ayat 20.

Maksudnya :
"Orang yang telah Kami berikan Kitab (Taurat dan Injil) mengenalnya (Muhammad) seperti mereka kenal anak-anak mereka sendiri".

Antara tanda tersebut

Ketikamana Rasulullah saw berada di Kota al-Madinah al-Munawwarah, Baginda telah dikunjungi oleh dua orang paderi dari Negara Syam.

Tatkala mereka berdua masuk ke Kota Madinah tersebut, terpacul kata-kata dari mulut salah seorang dari mereka : "Wah! Kota ini serupa sungguh dengan sifat-sifat kota seorang nabi yang bakal muncul di akhir zaman".

Lalu pabila mereka mengadap Baginda saw, mereka kenal Baginda saw kerana ada sifat-sifat dan ciri-ciri pada batang tubuh Nabi saw sebagaimana yang tercatat dalam Kitab mereka.

Lalu mereka bertanya : "Adakah engkau Muhammad?", jawab baginda : "Ya".
"Adakah engkau Ahmad", jawab Baginda : "Ya".

"Kami ingin menanyakan kepada engkau tentang syahadah (persaksian), jika engkau boleh memberitahu kepada kami, kami beriman dengan engkau dan membenarkan engkau". Baginda menjawab : "Silakanlah tanya kepadaku".

Soalannya : "Beritahu kepada kami tentang seagung-agung syahadah dalam Kitab Allah".

Lalu diturunkan kepada Baginda saw ayat 18 dari surah Ali Imran :
(( شهد الله أنه لا إله إلا هو والملائكة وأولوا العلم قائما بالقسط لا إله إلا هو العزيز الحكيم ))
Maksudnya :
"Allah (sendiri) mengaku bahawasa diriNyalah tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Zat yang menegakkan keadilan, (begitu juga yang sanggup menjadi saksi terhadap persaksian ini ialah) para malaikat dan orang yang berilmu, (juga persaksian) tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia yang Maha perkasa lagi Maha bijaksana".

Apabila mendengar jawapan yang tepat dari Baginda saw ini, lantas kedua-dua mereka memeluk agama Islam dan membenarkan kerasulan Baginda saw.
(Asbab al-Nuzul oleh Ali bin Ahmad al-Naisaburi wafat 468H)

Demikianlah kisah dua paderi dari Syam, yang terkandung dalam kisah ini beberapa tanda nabi akhir zaman yang sudah diketahui oleh Ahli Kitab sebelum ini. Sehingga mereka kenal tanda-tanda ini lebih dari mengenali anak-anak sendiri.

Faedah dari kisah

1) Ayat ini menjelaskan kepada kita sejelas-jelas tanda yang menerangkan akan kebangkitan Baginda saw sebagai Rasul kepada seluruh alam.

Sabda Baginda :

"Nabi terdahulu dibangkitkan khusus untuk kaumnya, sedangkan aku diutuskan untuk semua".
(Hr al-Bukhari, 335).

2) Kebenaran pengesaan Allah swt dengan bukti-bukti kewujudan alam ini, sebagaimana Allah swt menerangkan bukti-bukti itu ada pada kejadian langit yang luas, kejadian bumi yang luas terbentang serta isinya, serta keunikan dan terlalu komplek ciptaan tubuh badan manusia itu sendiri.

3) Berkata al-Qurtubi : "Ayat ini menunjukkan kelebihan ilmu dan ahlinya kerana Allah menghubungkan orang yang berilmu dengan namaNya yang Maha agung dan para malaikat. Sebab itu Allah swt menyuruh Baginda saw memohon ditambahkan ilmu dengan firmanNya :
(( وقل رب زدنى علما )) surah Toha ayat 114.
Maksudnya :
"Dan katakanlah : 'Ya Tuhanku! Tambahkanlah daku ilmu pengetahuan'."

Berkata Anas : "Orang yang berilmu adalah orang yang diamanahkan Allah terhadap makhluknya".
(Rwy al-Qodho'ie dan Ibn 'Asakir. Riwayatnya hasan)

4) Dari Anas ra, dari Nabi saw bersabda :
"Barangsiapa yang membaca (( شهد الله أنه ... العزيز الحكيم )) ketika hendak tidur, Allah swt menjadikan baginya tujuh puluh ribu para malaikat memohon keampunan untuknya sehingga hari Kiamat".
(Sangkaan saya hadis ini ada pada Jami' al-Turmizi, Kitab Thawab al-Quran, bab yang ke-8)

Sekian...