Rabu, 3 Disember 2008

ANTARA DUA CINTA

Gusar...

Nabi Ibrahim as nampaknya gusar sedikit pada pagi itu, hatinya ligat memikirkan perkara yang merunsingkan hatinya, sesuatu yang ia nampak dalam mimpinya pada tidur malam tadi. Menyembelih anak sendiri. Ya! Nampak anak kesayangannya Nabi Ismail as disembelih.

Dahulu...

Dahulu, ketika mana baginda masih belum mempunyai anak, baginda pernah berdoa : (( رب هب لى من الصالحين )) al-Shooffat, ayat 100.
"Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku (seorang anak) yang tergolong dari orang soleh".
Seorang anak yang soleh yang dapat membantuku untuk mentaatiMu, dan menemaniku ketika aku keluar bermusafir.

Hatinya kepingin sangat untuk memilik cahayamata, menjadi penyeri dalam rumahtangga, penyejuk hati ketika letih berdakwah, penolong dan penyambung usaha dakwahnya.
Lalu, Allah yang Maha Pemurah lagi yang Maha Mendengar, menunaikan hajat hambanya yang disayangi ini : (( فبشرناه بغلام حليم )) al-Shooffat, ayat 101.
"Maka Kami gembirakan dia dengan (kelahiran) seorang anak yang amat sabar (Nabi Ismail as).

Mundar-mandir...

"Adakah yang aku mimpi semalam adalah perintah Allah?" hati kecilnya berkata sambil merenung kasih wajah anaknya Nabi Ismail as. Antara perintah Allah atau anak yang amat disayanginya, yang ia tatang dari kecil hingga dewasa, yang kini banyak membantu urusan dakwah dan kehidupan seharian rumahtangganya.

"Ah! Perintah Allah perlu diutamakan dari segala-galanya", hatinya semakin kuat untuk membenarkan mimpi yang datang dari Kekasih Utamanya itu. Dunia tidak diberi tempat langsung dalam hatinya. Biar mati anak, jangan tinggal Tuhan. Itu perinsip hidup Baginda as.

Demikianlah konflik yang sedang berlaku dalam hati Nabi Ibrahim as yang berada di dua persimpangan. Seorang hamba kepada Penciptanya dan seorang ayah kepada anaknya. Baginda diuji dengan DUA CINTA...

Dialog agung...

(( فلما بلغ معه السعى قال يا بنى إنى أرى فى المنام أنى أذبحك فانظر ماذا ترى قال ياأبت افعل ما تؤمر ستجدنى إن شاء الله من الصابرين )) al-Shooffat, ayat 102.
"Maka ketika anak itu (Nabi Ismail as) sudah sampai (umur yang mampu) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata : "Wahai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?", Ia menjawab : "Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insyaAllah engkau akan dapati aku terdiri dari golongan yang sabar".

Riwayat al-Bukhari dari Ibn Abbas ra secara marfu' : "Mimpi para nabi adalah wahyu". Nabi Ibrahim as diperintahkan oleh Allah melalui mimpinya yang benar untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail as dengan segera. Namun, sebagai seorang ayah perlu juga untuk ia meminta pendapat anaknya sendiri bagaimana ingin dilaksanakan perintah yang amat berat ini. Maka berlakulah mesyuarat di antara mereka berdua, dan dialog agung mereka ini dirakamkan oleh Allah untuk titipan umat yang akan datang.

Baginda diuji, tetapi mujur baginda dikurniakan seorang anak yang terdiri dari kalangan orang yang soleh. Di saat itu, Nabi Ismail as sebagai seorang anak berfikir apalah lagi yang diharapkan oleh ayahnya melainkan cuba membantu memudahkan lagi urusan orang tuanya itu. Lebih-lebih lagi, pengorbanan ini secara zahir tampak dia akan terkorban tapi secara tersirat dia sebenarnya berkorban untuk Allah, Tuhan penciptanya. Mati terkorban di jalan Allah, itulah cita-cita tertinggi yang sangat diimpikan oleh setiap mukmin.

Keputusan telah diambil

Dengan hati yang redha dan akur kepada perintah Allah, kedua-dua nabi tersebut pun bersiap-siaga dan keluar untuk melaksanakan tuntutan ilahi itu. Bila sampai tempat yang ditentukan, Nabi Ibrahim membaringkan anaknya dan mengikut beberapa riwayat ditelangkupkan wajah anak kesayangan itu ke tanah supaya ketika mana disembelih dia tidak terlihat wajah anaknya itu yang menyebabkan dia terhenti dari menyembelih.

Ketika itu, sedih, sayu, hiba dan menitis air mata nabi yang yang digelar dengan Kholilullah (Kekasih Allah), Hujjatullah (Hujah Allah) dan Abu al-Anbiya' (Bapa para nabi) ini dalam keadaan tidak sedar. Manakan tidak, anak kandung sendiri yang sudah membesar ini terbaring sedia menunggu untuk disembelih. Itu lumrah manusia dan rahmat dari Allah. Tapi, semua ini tidak dapat mengatasi rasa taat dan tunduk kepada perintah Allah. Perasaan cinta kepada Tuhan lebih menebal dari cintanya kepada anaknya.

Firman Allah swt : (( فلما أسلما وتله للجبين )) al-Shooffat, ayat 103.
"Ketika kedua-duanya telah berserah diri, dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya (untuk melaksanakan perintah Allah) ".

Balasan untuk orang yang berbuat baik

Dicuba beberapa kali untuk sembelih leher anaknya tapi tidak terpotong sedikitpun. Maka ketika itu Nabi Ibrahim diseru oleh Allah :
(( وناديناه أن ياإبراهيم )) al-Shooffat, ayat 104.
"Dan Kami memanggil dia (Ibrahim) : Wahai Ibrahim".

(( قد صدقت الرءيا إنا كذلك نجزى المحسنين )) ayat 105.
"Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu, sesungguhnya Kami kerana itu memberi balasan kepada orang yang berbuat baik".

(( إن هذا لهو البلاء المبين )) ayat 106.
"Sesungguhnya ini adalah satu ujian yang nyata (bagi menampakkan sifat keikhlasan yang ada pada Nabi Ibrahim itu)".

(( وفديناه بذبح عظيم )) ayat 107.
"Dan Kami gantikan dengan seekor sembelihan (biri-biri) yang besar".

Pensyari'atan Qurban 'Aidul Adha

Dimaterikan slot kisah Antara Dua Cinta ini di dalam al-Quran supaya menjadi puji-pujian yang berterusan untuk hamba yang pandai mengatur langkah kehidupannya menurut kehendak Tuhannya. Bukti untuk umat yang terkemudian supaya mencontohi sikap dan pendirian Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail as ini lantas dijadikan suatu peristiwa yang perlu diingati dengan dijadikan satu hari perayaan untuk umat Islam sepanjang zaman, Raya 'Aidul Adha.

Firman Allah swt : (( وتركنا عليه فى الآخرين )) al-Shooffat, ayat 108.
"Dan Kami abadikan untuk Ibrahim itu (puji-pujian) di kalangan umat yang terkemudian".

(( سلام على إبراهيم )) ayat 109.
"Selamat sejahtera dilimpahkan kepada Ibrahim".

(( كذلك نجزى المحسنين )) ayat 110.
"Demikianlah juga Kami akan beri balasan kepada mereka yang berbuat baik".

Sekian...

"Selamat Menyambut Hari Raya 'Aidul Adha, Mohon Maaf Zahir Dan Batin kepada semua sahabat pengunjung dari kami sekeluarga...."-penulis.

Tiada ulasan: