Isnin, 5 Januari 2009

AL-QURAN DITURUNKAN DENGAN TUJUH HURUF


Assalamualaikum wrt

Sahabat pengunjung yang dirahmati Allah,

Sudah sebulan blog ni saya tidak masukkan artikel-artikel ilmiah yang baru. Dek lantaran jaringan internet yang tidak berapa mengizinkan. Saya memohon maaf!

Alhamdulillah, di kala ini saya berkesempatan untuk menulis sedikit wacana bekalan di dada. Berkenaan al-Quran itu diturunkan dengan tujuh huruf. Semoga ini menjadi ilmu yang berkat untuk kita semua.

Satu pengenalan

Tika mana Islam baru mula berkembang di tanah Jazirah Arab, terutamanya keluasan Bumi Hijjaz tanah kelahiran Baginda saw, komuniti Arab itu sendiri terdiri dari pelbagai bangsa dan puak yang wujud sudah sekian lama.

Bila diamati, kedatangan Islam yang mempunyai pelbagai hukum syara' yang bakal merubah mereka datang dengan keadaan beransur-ansur. Sesuatu yang sudah dilazimi semenjak zaman Jahiliyah lagi jika ingin diubah, Allah swt datangkan dengan mertabat hukum yang beransur demi hati mereka menerima dengan baik. Baik hukum arak, hamba, pernikahan dan lain-lain lagi.

Begitulah juga datangnya al-Quran kepada mereka yang mempunyai pelbagai jenis lidah dan peringkat umur. Jika ia masih kecil tentu senang untuk dilatih membaca menggunakan lahjah yang baru, tapi kalau sudah tua jika tiada kemudahan membaca ayat al-Quran tentulah menyukarkan, lantas al-Quran tidak dibaca langsung.

Hadis-hadis yang datang menerangkan hal tersebut:

1) Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam Sohih mereka, dari Ibn 'Abbas ra berkata : Telah bersabda Rasulullah saw : "Jibril membacakan kepadaku dengan satu huruf, maka aku meminta ia berfikir, maka sentiasa aku meminta tambahan (aku sentiasa meminta dari Jibril as supaya memohon dari Allah swt penambahan dari satu huruf tersebut sebagai keringanan, rahmat dan keluasan ke atas umatku), dan Jibril memberi tambahan sehingga kepada tujuh huruf". Riwayat Muslim menambah : Berkata Ibn Syihab : "Sampai kepadaku ketujuh-tujuh huruf tersebut pada perkara yang masih menjadi satu (makna), tidak berselisih pada perkara halal dan haram".

2) Dari Bukhari dan Muslim juga bahawa Umar bin al-Khattab ra berkata: "Aku mendengar Hisyam bin Hakim ra (yang sedang sembahyang) membaca surah al-Furqan ketika itu Rasulullah saw masih hidup. Lalu aku perhati bacaannya, dia membaca dengan banyak huruf yang aku sendiri tidak baca seperti itu di depan Rasulullah saw. Aku berazam untuk menangkapnya sejurus saja dia selesai sembahyang, aku tunggu sehingga dia memberi salam kemudian aku pegang dia dengan kain selempangnya dan bertanya: "Siapa yang bacakan kepada kau sepertimana yang aku dengar tadi?". Dia menjawab: "Rasullullah saw yang bacakan kepadaku (seperti itu)". Aku berkata: "Kau penipu, demi Allah Rasulullah tidak bacakan kepadaku seperti itu". Kemudian aku membawa dia bertemu Rasulullah saw dan aku bertanya: "Wahai Rasulullah! Aku mendengar dia membaca surah al-Furqan dengan huruf yang kau tidak bacakan kepadaku sedangkan kau telah mengajarkan aku bacaan surah itu". Lalu Rasulullah saw bersabda: "Lepaskan dia wahai Umar! Bacalah wahai Hisyam!". Dia pun membaca seperti yang aku dengar tadi dan Rasulullah saw bersabda: "Demikianlah seperti itu diturunkan", kemudian Rasulullah saw menyuruhku pula:"Bacalah wahai Umar!". Maka aku baca sepertimana yang Baginda ajarkan, dan Rasullullah saw bersabda: "Itu juga seperti yang telah diturunkan, sesungguhnya ini adalah al-Quran yang diturunkan dengan tujuh huruf maka bacalah apa yang mudah (bagi kamu) dari salah satu huruf itu".

3) Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dengan lafaz Huzaifah : Maka aku (Rasulullah saw) bersabda : "Wahai Jibril, sesungguhnya aku diutuskan kepada umat yang tidak reti membaca dan menulis. Di kalangan mereka ada lelaki, wanita, kanak-kanak, hamba perempuan, orang tua panjang usianya yang tidak membaca apa kitab sekalipun. Berkata Jibril : "Sesungguhnya al-Quran diturunkan atas tujuh huruf."

Dan di sana banyak lagi hadis-hadis Rasulullah saw dan sejarah para sahabat ra yang menerangkan tentang keadaan ayat al-Quran datang dengan pelbagai huruf. Terutama dalam sejarah pembukuan Mashaf di zaman Saidina Osman ra. Mungkin di masa lain kita akan bincangkan hal itu.

Maksud huruf?

Pada asal maknanya ialah :
1) Hujung penghabisan bagi sesuatu, sebagai contoh : أعلى الجبل حرف (tertinggi bukit itu ialah puncak atau hujungnya). Firman Allah swt : ( ومن الناس من يعبد الله على حرف ) al-Hajj, ayat 11. Maksudnya : (( Di antara manusia itu ada yang menyembah Allah dengan berada di tepi (tidak dengan penuh keyakinan) )).

2) Huruf Ejaan, had terputus suara dan tujuan suara tersebut.

3) Tepi sesuatu dan sebelahnya. Sebagai contoh : حرف السفينة bermaksud tepi kapal.

4) Penggunaan atas bahasa dan lahjah dalam bahasa, kerana setiap bahasa adalah satu bahagian dari bahagian-bahagian semua bahasa. Ia tersusun lalu membentuk satu bahasa.

5) Menunjukkan ke atas satu bentuk qiraat yang ada pada al-Quran, satu bentuk bacaan al-Quran, kerana itu disebut : هذا حرف ابن كثير bermaksud "Ini bacaan Ibnu Kathir".

Namun perlu berhati, bahawa tujuh huruf bukanlah bermaksud tujuh bacaan qiraat kerana selepas ini kita akan huraikan apakah maksud tujuh huruf itu dan ada berapa bentuk bacaan yang ada dalam al-Quran.

Tujuh huruf?

Ulama berbeza pendapat tentang maksud tujuh huruf ini berdasarkan hadis yang pelbagai kepada beberapa pendapat. Sehingga al-Suyuti menyebut dalam kitab al-Itqan, perbezaan pendapat pada makna tujuh huruf ini membawa kepada sehingga 40 makna berdasarkan pendapat para ulama.

Adapun di sini kita cuba mengambil beberapa pandangan sahaja untuk sebagai pengenalan asas, di antaranya :
1) Pandangan Muhammad bin al-Sa ib al-Kalbi dan Sulaiman bin Mahran al-Asadi yang terkenal dengan panggilan al-'Amasy : Tujuh huruf bermaksud tujuh bahasa bangsa Arab pada makna yang satu, yakni berbeza bahasa Arab pada mengungkap sesuatu makna dari kalimah yang tertentu.

Cumanya mereka berbeza pula pendapat dalam menentukan bahasa tersebut. Ada mengatakan bahasa itu ialah bahasa Quraisy, Huzail, Thaqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan Yaman. Dan pelbagai lagi pendapat dalam hal ini.

2) Bermaksud tujuh bentuk dari segi : Perintah, larangan, janji baik, janji buruk, perdebatan, kisah-kisah, perumpamaan, halal dan haram, ayat yang jelas dan samar, dan misalan-misalan.

Sepertimana riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas'ud ra dari Nabi saw bersabda : "Adalah pada permulaannya al-Kitab diturunkan dari pintu yang satu atas huruf yang satu. Dan lalu diturunkan al-Quran dari tujuh pintu atas tujuh huruf ; Tegahan, perintah, halal, haram, ayat yang jelas, ayat yang samar, dan misalan".

3) Pendapat yang kuat ialah pendapat al-Imam Fakhr al-Din al-Rozi, hampir dengan pendapat al-Imam Ibn al-Jazari, Ibn Qutaibah, al-Qodi Abu al-Thoiyyib, dikuatkan pula dari ulama yang terkemudian seperti al-Syekh Muhammad Bakhit al-Muthi'i dan al-Syekh Muhammad Abdul 'Azim al-Zirfani, seperti berikut:

Ialah perbezaan dari tujuh sudut seperti berikut :
i) Perbezaan kata nama dari sudut kata tunggal, kata pendua dan ramai, dan dari sudut kata lelaki dan kata perempuan. Firman Allah swt : ( والذين هم لأماناتهم ) al-Mu'minun ayat 8. Kalimah أماناتهم berbentuk kata ramai, namun ada qiraat dengan kata tunggal أمانتهم .

ii) Sudut bentuk-bentuk 'irab. Firman Allah : ( فتلقى آدمُ من ربه كلماتٍ ) al-Baqarah ayat 37. Kalimah آدم keadaan marfu' dan kalimah كلمات keadaan mansub. Namun qiraat lain, kalimah آدم keadaan mansub dan kalimah كلمات keadaan marfu'.

iii) Sudut binaan kalimah. Firman Allah swt : ( فقالوا ربنا باعد بين أسفارنا ) Saba' ayat 19. Ada sebahagaian qiraat baca dengan rafa'kan ربنا dan mensabdukan huruf 'Ain pada بعّد .

iv) Sudut mengawalkan dan mengakhirkan, firman Allah : ( أفلم ييأس ) al-Ra'd ayat 31. Pada setengah qiraat يأيس .

v) Sudut menukar samada huruf atau kalimah seperti firman Allah : ( وانظر إلى العظام كيف ننشزها ) al-Baqarah ayat 259, pada qiraat lain ditukar ننشزها dengan ننشرها .

vi) Sudut menambah dan mengurangkan seperti firman Allah : ( وأعد لهم جنات تجرى تحتها الأنهار ) al-Taubah ayat 100. Pada qiraat lain ada penambahan kalimah مِن selepas kalimah تجرى .

vii) Sudut menebal atau menipiskan, fatah, taqlil atau imalahkan, izhar atau idghamkan, dengan Hamzah atau tashilkan, dan sebagainya.

Demikianlah pandangan para ulama dalam mengatakan makna tujuh huruf ini. Oleh kerana ilmu ini terlalu luas dan tiada satu kata ketetapan yang jelas dari Baginda saw maka ianya menjadi satu wacana perselisihan ulama untuk menghuraikannya. Ketika Rasulullah saw masih hidup pun baginda tidak mengajarkan semua huruf-huruf tersebut pada kebanyakan sahabat demi menjaga tahap kekuatan ingatan dan kefahaman para sahabat.

Hikmah penurunan sebegitu?

Di sana, wujud beberapa hikmah al-Quran datang sebegini rupa. Seperti yang ulama huraikan adalah seperti berikut :

i) Bukti menunjukkan pengawalan, penjagaan terhadap Kitab Allah ini dari penggantian dan perubahan tangan berkepentingan kerana wujudnya pelbagai huruf terus mematikan hasrat jahat mereka.

ii) Meringan dan memudahkan umat Nabi Muhammad saw dalam usaha membaca al-Quran sepertimana yang kita faham dari hadis Nabi sebelum ini.

iii) Menghimpunkan kepelbagaian aneka lidah Arab ketika itu kepada satu sumber sahaja yakni al-Quran. Lantas ianya dapat menyatukan bangsa-bangsa Arab.

Akhir kalam

Semoga, kita semua dapat memahami hal ini. Ianya diturun dan dihidangkan kepada kita semua dalam keadaan mempunyai kehebatan yang luar biasa, sehingga kita dan sesiapa sahaja tidak mampu untuk menggapai dan mengejar kelajuan kehebatannya itu. Itulah Mukjizat Agung...

Tiada ulasan: