Ahad, 26 April 2009

HARGA SEORANG MUKMIN : BUKAN DI SISI KELUARGANYA

Salam perjuangan semua,

Sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kita perlulah tahu tentang keberadaan kita dengan iman kita. Posisi mana yang sepatutnya perlu kita berada bilamana kita sudah mengucapkan kalimah 'لا إله إلا الله محمد رسول الله ' dan untuk melaksanakannya. Untuk hal itu, terdapat pada 2 ayat dari 2 kisah yang akan saya ceritakan ini. Iaitu :

Pertama :

Tahun Kesedihan. Itulah tahun yang Baginda saw begitu sedih amat sangat. Kematian bapa saudara yang disayanginya, Abu Tholib dan isteri pertamanya yang dicintai, Ummuna Saidatuna Khodijah binti Khuwailid.

Kematian bapa saudaranya itu banyak memberi perubahan corak dakwah Baginda saw selepas itu. Kerana di masa hayatnya, beliau adalah satu-satunya seorang pemuka bangsa Quraisy yang banyak membela Baginda saw dalam melaksanakan misi-misi dakwah pada bangsa tersebut. Sehingga Quraisy yang lain tidak boleh mengapa-apakan batang tubuh Baginda saw yang mulia itu.

Begitu juga isterinya yang sangat dikasihinya, Saidatuna Khodijah ra. Menjadi tulang belakang kepada suaminya yang merupakan pejuang agama. Sentiasa memberi semangat dan mendengar rintihan ketika Baginda saw dalam keadaan sedih terhadap umatnya yang susah dan menentang perjuangannya.

Pemergian dua insan yang tersayang ini berlaku pada tahun kesepuluh selepas kebangkitan Baginda saw menjadi Rasul Utusan Allah, menjadikan Baginda saw terasa sedih yang mendalam.

Kafir Quraisy mula mengambil langkah yang lebih agresif bagi menghalang perjuangan Baginda saw. Dengan cara menyakiti tubuh badan Baginda saw pula.

Tatkala itu, Baginda saw merasakan perlunya Baginda saw dan orang yang beriman pada masa itu mencari tempat yang selamat untuk mereka duduki bagi menghindari dari kezaliman yang dikenakan oleh kafir Quraisy terhadap mereka.

Penempatan Thoif adalah sasaran awal yang Baginda saw nampak bagi tujuan tersebut.
Namun apakan daya, "Buah yang disangka manis rupanya berulat dalam". Dakwah Baginda saw bukan sahaja ditolak bahkan Baginda saw keluar dari kota tersebut dengan diiringi balingan batu dan duri sepanjang jalan. Hingga kaki-kaki Baginda saw mengalir darah-darah yang suci.

Baginda saw berdoa tatkala itu kepada Tuhannya:
(( Ya Allah ya Tuhanku! Aku mengadu kepadaMu akan kelemahan upayaku, sedikitnya kedratku, hinanya aku di mata pandangan manusia, wahai Tuhan yang lebih kasih dari mereka yang mengasihi, Engkau Tuhan bagi orang yang lemah, dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah pabila aku dicaci? kepada siapakah bila aku dilihat dengan wajah yang benci? atau apakah kepada musuh yang Engkau jadikan dia berkuasa terhadap urusanku? jika tidak ada marah dariMu kepadaku maka tidaklah aku peduli, akan tetapi penjagaanMu adalah amat luas terhadapku, aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang menyinari seluruh kegelapan...))

Penindasan demi penindasan berlaku ke atas umat Islam. Baginda saw semampu mungkin mencari mana-mana tempat bagi melepaskan dari cengkaman kejam kafir Quraisy.

Oleh kerana itu, pada musim haji, seperti biasa Baginda saw bertemu dengan orang luar yang datang untuk menunaikan haji bagi menyampaikan risalah dakwah Islam kepada mereka.

Maka berlakulah pertemuan yang pertama di antara Baginda saw dan Kaum Aus dan Khazraj seramai tujuh orang (gabungan dua kaum itu dikenali juga sebagai kaum Ansar). Baginda saw mengajak kepada Islam dan mereka menyahutnya. Lalu pulang ke kampung masing-masing mengislamkan pula kaum masing-masing.

Islam mula berkembang sedikit demi sedikit di sana. Benarlah kata-kata : "Selepas malam berlabuh pasti fajar mula menyingsing".

Pada tahun haji berikutnya iaitu tahun kedua belas selepas kebangkitan Nabi, datang pula dua belas orang dari golongan Ansar itu berjumpa dengan Baginda saw dan berbaiah sanggup membawa perjuangan yang penuh suci dan telus ini.

Begitu juga tahun haji berikutnya, datang lagi golongan Ansar seramai tujuh puluh orang lelaki dan dua orang perempuan. Berbaiah pula untuk sanggup membantu dan mendokong perjuangan ini.

Apabila dilihat Islam sudah kuat di bumi Yasrib (sekarang dikenali dengan Madinah al-Munawwarah, Arab Saudi, penempatan golongan Ansar) dan dalam masa yang sama kezaliman kafir Quraisy terhadap umat Islampun bertambah kuat maka Baginda saw mengarahkan supaya orang yang beriman ketika itu supaya berhijrah ke daerah sana, Yasrib.

Berkata al-Kalabi : Tatkala Baginda (dan orang beriman) di arah untuk berhijrah, mulalah ketika itu mereka (umat Islam) berkata-kata dan menanya-nanya kepada orang tuanya, adik-beradiknya dan pasangan-pasangannya : "Kami disuruh berhijrah".

Setengan dari mereka bersegera dalam menunaikan perintah itu dan berlumba-lumba. Namun setengah yang lain terfikir-fikir perkara yang berkaitan dengan pasangannya, keluarganya dan anaknya, lantas mengambil keputusan mahu bersama dengan keluarganya dan meninggalkan hijrah.

Bagi mereka yang masih menetap di bumi Mekah dan meninggalkan perintah hijrah diturunkan ayat ini :
(( قل إن كان ءاباؤكم وأبناؤكم وإخوانكم وأزواجكم وعشيرتكم وأموال اقترفتموها وتجارة تخشون كسادها ومساكن ترضونها أحب إليكم من الله ورسوله وجهاد فى سبيله فتربصوا حتى يأتى الله بأمره والله لا يهدى القوم الفاسقين )) al-Taubah, ayat 24.

Maksudnya :
((Katakanlah (wahai Muhammad)! : "Jika orang tuamu, anak-anakmu, adik-beradikmu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan-perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan rumah tempat tinggalmu yang kamu sayangi itu, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan berjihad di jalanNya, maka tunggulah Allah mendatangkan keputusanNya", dan Allah tidak beri petunjuk kepada mereka yang yang fasik))

Demikianlah kisah pertama dari ayat yang pertama yang cuba saya bawakan. Semoga ianya benar-benar dapat difahami, yang tersurat dan tersirat.

Bersambung...

Jumaat, 10 April 2009

I'JAZ TAJWID 3

Beberapa lagi keindahan (i'jaz) membaca al-Quran yang ramai orang sukar mendapatinya. Kerana tidak tahu dan tidak menyedari akan kewujudannya dalam pembacaan al-Quran lantas hikmah dari keindahan itu ditinggalkan dengan begitu sahaja. Benarlah firman Allah swt : (( قل هل يستوى الذين يعلمون والذين لا يعلمون إنما يتذكر أولوا الألباب )) al-Zumar, ayat 9.

Maksudnya : (( Katakanlah (wahai Muhammad) : Adakah sama orang yang tahu dan orang yang tidak tahu? Sesungguhnya orang yang dapat menerima pelajaran adalah mereka yang ada akal))

Begitu juga dengan keindahan-keindahan (i'jaz) al-Quran dan bidang-bidang ilmu lain yang bilamana seseorang tidak mengetahuinya maka tiadalah keindahan seni ilmu berkenaan dapat diketahui. Bahkan kadangkala menjadi musuh terhadap apa yang ia tidak tahu, bak kata pepatah Arab : "من جهل شيئا عاداه ".

Sahabat pengunjung yang dikasihi,

Kali ini, mari kita mengenal i'jaz Tajwid dari hukum al-Idgham Bila Ghunnah ( الإدغام بلا غنة ).

Al-Idgham sudut bahasa ialah : Memasukkan sesuatu ke dalam sesuatu.
Menurut istilah ulama Tajwid pula ialah : Memasukkan huruf pertama yang bertanda sukun ke dalam huruf kedua yang berbaris, dan menjadi kedua-duanya itu satu huruf bertanda sabdu pada huruf yang kedua.

Maksud al-Idgham Bila Ghunnah pula ialah : Memasukkan tanpa dengung. Dikenali juga dengan Idgham kamil ( إدغام كامل ) ertinya memasukkan secara sempurna, ini kerana keseluruhan sifat dengung dan makhraj nun yang berbaris sukun (mati) dan tanwin telah dihilangkan dalam hurufnya.

Hurufnya ada dua sahaja iaitu :
1) Ro ( ر ), contoh :
-(( أن رُّءاه استغنى ))al-'Alaq, ayat 7.
-(( عيشةٍ رّاضية )) al-Qori'ah, ayat 7.

2) Lam ( ل ), contoh :
-(( ولم يكن لّه كفوا أحد )) al-Ikhlas, ayat 4.
-(( ذكرٌ لّلعالمين )) Yusuf, ayat 104.

I'jaznya...

Al-Idgham Bi Ghunnah secara asasnya meliputi makna-makna yang menunjukkan kepada keperluan tempoh masa dan tidak segera, kerana dengung ( غنة ) sendiri memerlukan masa untuk di bunyikan.

Adapun al-Idgham Bila Ghunnah yang sedang kita bincangkan ini, menunjukkan makna-makna yang putus ( قطعى ) dan tidak perlukan masa untuk memikirkannya kerana tilawah idgham ini tidak wujud dengung untuk dibunyikan oleh qari/ah.

Contoh

Saya datangkan beberapa contoh untuk kita melihat kewajarannya seperti di bawah :
1) (( ولم يكن لّه كفوا أحد )) al-Ikhlas, ayat 4.
Maksudnya : (( Dan sesiapapun tiada yang setara denganNya )) .

Bila dibaca ayat itu, tiada wujud dengung pada proses idgham di sana lantas memberi makna : Allah memberikan terus keputusanNya untuk dipegang oleh hambaNya, bahawa mereka patut fikir bahawa tiada yang selayaknya dengan Zat Allah yang Maha Agung, sesiapapun!

2) (( وللآخرة خيرٌ لّك من الأولى )) al-Dhuha, ayat 4.
Maksudnya : ((Dan sesungguhnya akhir itu (Hari Akhirat) lebih baik bagimu dari mula (Dunia))).

Bila dibaca ayat itu, tiada wujud dengung pada proses idgham di sana lantas memberi makna : Tiada sesuatupun nikmat di dunia ini yang dapat dibandingkan dengan nikmat di Akhirat kelak yang disediakan oleh Allah untuk hamba pilihannya yang nilaiannya terlalu hebat tak terkata, tiada langsung!

Bersambung...

Isnin, 6 April 2009

KIRAAN AYAT AL-QURAN : IJTIHAD ULAMA / KETETAPAN NAS?

Ulangan

Di artikel yang bertarikh 19 Januari 2009, kita telah membahaskan perbezaan keseluruhan bilangan ayat al-Quran di sisi ulama yang berkenaan serta beberapa faktor berlaku hal yang demikian. Saya sendiri berjanji untuk mengulas sedikit lagi perkara yang berkaitan di hujung artikel tersebut

Kali ini saya bercita untuk menghuraikan bagaimana sumber perbezaan dalam mengira ayat al-Quran : adakah ianya dari ijtihad para ulama sahaja, atau memang sudah ketetapan Nas (yakni dari Nabi saw sendiri), atau bagaimana?

Huraian

Pabila berlaku perbezaan dalam membilang ayat-ayat al-Quran, menjadi satu keluasan yang luas untuk para ulama mengkaji dan menonjolkan kelebihan dan hikmah (i'jaz) bilangan ayat al-Quran. Kerana sesuatu yang berkaitan dengan al-Quran tidak sedikitpun yang tertinggal dari sudut i'jaznya. Itu bukti yang memang ada bahawa ia adalah Kalamullah (firman Allah) bukan kitab rekaan manusia.

Hal ini seperti kes yang berlaku pada akhir tahun 2001, 11 Sepetember. Tragedi runtuhnya bangunan kemegahan Amerika menara kembar WorldTrade Center (WTC). Tragedi itu disifatkan mempunyai hubungkait yang rapat dengan firman Allah (( لا يزال بنيانهم الذى بنوا ريبة فى قلوبهم إلا أن تقطع قلوبهم والله عليم حكيم ))
Maksudnya :
(( Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka, kecuali ketika hati mereka sudah hancur (mati atau tidak mahu bertaubat). Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana)) seperti berikut :

1) Tarikhnya 11 haribulan = ayat tersebut terletak di juzu yang ke-11.

2) September (bulan 9) = surah al-Taubah adalah surah yang ke 9 dari al-Fatihah.

3) Tahun 2001 = huruf Mim pada kalimah حكيم dikatakan adalah huruf yang ke-2001 jika dikira
dari awal surah tersebut (penulis sendiri tidak pernah mengira, silakan mengira!).

4) Bilangan paras tingkat bangunan WTC adalah 110 tingkat = ayat ini adalah ayat yang
ke-110 dalam surah al-Taubah. Sila lihat Mashaf masing-masing!

Demikanlah satu contoh i'jaz al-Quran dari sudut bilangan ayat.

Persoalan

Kita terfikir, adakah perjalanan penentuan bilangan ayat al-Quran adalah dari ijtihad ulama semata-mata sehingga berlaku perbezaan pandangan ataupun ketetapan Nas semata-mata? Manakah yang betul dari dua situasi tersebut.

Di sinilah kita perlu memahami sangat-sangat. Sesungguhnya dalam penentuan bilangan ayat al-Quran berlaku kedua-dua situasi tersebut secara serentak. Saya akan kemukakan hal ini satu persatu supaya kita dapat gambaran yang tepat dari permasalahan ini.

Rungkaian

Secara ringkasnya,

Pertama : Bilangan ayat al-Quran adalah ketetapan Nas. Yakni ketetapan dari Baginda saw seperti kata Saidina Osman bin 'Affan, Abdullah bin Mas'ud dan Ubai bin Ka'ab ra : Bahawa Rasulullah saw membacakan kepada mereka sepuluh ayat dari al-Quran, lalu tidak diberi lebih dengan sepuluh ayat yang lain pula sehinggalah mereka mempelajari apa yang terkandung dari sepuluh ayat yang sudah diberi itu. Sehingga mereka mengatakan : 'Kami belajar al-Quran, ilmu dan amal sekaligus".

Antara buktinya :
1) Semua ulama Fawasil mengira (( وسيجنبها الأتقى )) -al-Lail, ayat 17- sebagai satu ayat sedangkan ianya masih bersambung dari segi makna dengan ayat selepasnya. Kes ini banyak kita jumpa dalam al-Quran.

2) Tiada satupun dalam al-Quran satu ayat dengan satu kalimah di pertengahan surah melainkan pada surah al-Rahman ayat 64 (( مدهامتان )). Biasanya satu kalimah sudah dikira satu ayat terdapat pada kebanyakan awal surah sahaja seperti (( والطور )), (( والفجر )), (( والضحى )) dan lain-lain lagi.

3) Saidatina Aisyah ra pernah mengatakan : "Surah al-Ahzab di zaman Rasulullah saw masih hidup ialah 200 ayat". Menunjukkan golongan sahabat mengetahui bilangan ayat bagi satu-satu surah dengan pemerhatian Rasulullah saw. Sedangkan selepas pertemuan terakhir ( العرضة الآخرة ) berlaku pemansukhan (kalau dilihat kini surah itu terdapat sebanyak 73 ayat sahaja).

4) Jika dalam satu surah banyak menghabiskan hujung ayat dengan Mad 'Aridh Li al-Sukun, namun tiba-tiba terdapat satu ayat yang hujungnya dengan Mad 'Iwad. Maka ini tidak dapat tidak dengan ketetapan Nas. Contoh pada ayat 2 surah al-Israk yang berakhir dengan Mad 'Iwad (وكيلا) sedangkan sebelumnya dan selepasnya hujung dengan Mad 'Aridh.

Di sana banyak lagi dalil serta bukti atas hal ini.

Kedua : Sebahagian kecil berlaku juga ijtihad ulama dalam mengira ayat al-Quran. Akan tetapi ianya adalah fikiran yang bersih suci bersandarkan kaedah umum yang dipetik dari Nas juga. Sebab itu kita kata juga, ianya adalah ketetapan Nas seperti di atas.

Mungkin sahabat agak kurang faham akan bicara saya ini kerana ia nada ilmu Fawasil. Namun, nanti saya kemukakan hujahnya untuk sama-sama kita dapat memahami situasi yang kedua ini.

Tadi saya katakan, sekalipun berlaku ijtihad dari para ulama namun ia masih bersandarkan dari Nas yang ada. Membilang ayat al-Quran melalui ketetapan Nas tidaklah berlaku pada semua perinci ayat al-Quran, maka berlaku penetapan bilangan ayat al-Quran di tempat-tempat tersebut dengan ijtihad ulama tapi masih bersandarkan Nas yang ada yang sentiasa dijadikan kayu ukur.

Seperti contoh :
1) Ulama Kufi mengira فواتح السور sebagai satu ayat melainkan yang berakhir dengan huruf Ra (seperti الر , المر ), atau yang dengan satu huruf sahaja (seperti ص, ق, ن ), dan yang pada awal surah al-Naml (طس). Kalau ini dengan ijtihad semata-mata, maka apa beza di antara طس dengan يس ? di antara المص dan المر ? Ini semua tidak lain hanyalah mengikut Nas.

2) Mengikut hukum ilmu timbangan bahasa Arab ( ilmu عروض ). Jika mengikut Nas diperhatikan hujung dengan Mad 'Aridh, tiba-tiba pada ayat selepasnya tidak terdapat Nas. Maka ulama cuba berijtihad berdasarkan Nas pada ayat sebelumnya. Situasi inilah yang banyak menyebabkan mereka khilaf. Contoh : setengah mereka mengira الوسواس sebagai satu ayat, sedangkan yang lain mengira الخناس sebagai hujung ayat pula, dan pelbagai lagi.

Akhir

Demikianlah, serba sedikit pengenalan ringkas berkaitan dengan permasalahan mengira ayat al-Quran. Harapnya semua pembaca dapat input yang penting tentang Kitab yang kita sayangi ini. Segala persoalan, rujuklah pada mereka yang mempelajari bidang ini. Sekian. terima kasih...

Rabu, 11 Mac 2009

"KE MANA TUMPAH KUAH, KALAU BUKAN KE NASI"

Dari seramai 124 000 nabi-nabi Allah, hanya 313 yang menjadi rasul utusanNya. Dari 313 rasul, hanya 25 orang rasul sahaja yang wajib diimani. Dari 25 orang rasul yang wajib beriman, hanya 5 orang yang tergolong dalam 'Ulu al-Azmi'. Iaitu golongan rasul-rasul yang menerima sehebat-hebat dugaan.

Firman Allah swt: (( فاصبر كما صبر أولوا العزم من الرسل )) al-Ahqaf, ayat 35.
Maksudnya : (( Maka bersabarlah kamu seperti sabarnya orang yang mempunyai keteguhan hati (Ulu al-'Azmi) dari kalangan rasul-rasul..)).

Di antara 5 rasul tersebut, ialah nabi Nuh as (bakinya : Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as, Nabi Isa as dan Nabi Muhammad saw).

Baginda digolongkan dalam golongan ini kerana telah berjuang mengajak kaumnya ke arah mentauhidkan Allah swt selama 950 tahun. Yakni satu masa yang kalau difikirkan sudah tentu berjayanya misi dan visi dakwah Baginda terhadap kaumnya, tetapi apakan daya hanya sebilangan kecil sahaja yang beriman.

Sehingga dicatat rasa sedih Baginda itu dalam perjuangannya sepertimana firman Allah swt :
(( قال رب إنى دعوت قومى ليلا ونهارا فلم يزدهم دعائى إلا فرارا وإنى كلما دعوتهم لتغفرلهم جعلوا أصابعهم فى آذانهم واستغشوا ثيابهم وأصروا واستكبروا استكبارا )) surah Nuh, ayat 5-7.
Maksudnya : (( Nuh berkata : "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambahkan mereka lari (dari kebenaran), dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan jari-jemari mereka ke dalam telinga dan menutupkan baju (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri sangat-sangat)).

Puas sudah dipujuk dan didatangkan hujah-hujah keesaan Allah swt, namun kedegilan kufur kaumnya sukar dilebur dalam tempoh masa yang terlalu lama itu kalau difikir secara logik akal fikiran manusia. Degil, kufur, sombong, jahil dan sewaktu dengannya adalah hasil dari pandangan mereka terhadap tanda-tanda keesaan dan kebesaran Allah swt (boleh lihat dalam surah al-A'raf ayat 59-64, Yunus 71-73, Hud 25-49, al-Anbiya 76&77, al-Mukminun 23-30, al-Syu 'ara' 105-122, al-'Ankabut 14&15, al-Shooffat 75-82, al-Qomar 9-17 dan surah Nuh sepenuhnya) bahkan anaknya sendiri ingkar dengan seruan tauhidnya itu.

Sepertimana firman Allah :
(( قال يا نوح إنه ليس من أهلك إنه عمل غير صالح فلا تسألن ما ليس لك به علم )) Hud ayat 46.
Maksudnya : (( Berfirman (Allah swt) : "Wahai Nuh! sesungguhnya dia (anakmu itu) bukanlah termasuk dalam keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan) sesungguhnya (perbuatannya) perbuatan yang tidak baik sebab itu janganlah kamu memintaKu sesuatu yang kamu tidak tahu hakikatnya...)).

Akhirnya

Firman Allah swt :
(( مما خطيئاتهم أغرقوا فأدخلوا نارا فلم يجدوا لهم من دون الله أنصارا ))
d(( وقال نوح رب لا تذر على الأرض من الكافرين ديارا ))
d(( إنك أن تذرهم يضلوا عبادك ولا يلدوا إلا فاجرا كفارا )) surah Nuh, ayat 25-27.
Maksudnya : (( Disebabkan kesalahan-kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka, maka mereka tidak mendapat penolong-penolong bagi mereka selain dari Allah, Nuh berkata : "Ya Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorangpun di antara orang kafir itu tinggal di atas bumi, sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka tinggal, nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir )).

Perkataan ini terkeluar dari mulut Baginda as kerana hampir sepanjang satu dekad Baginda berusaha menarik kaumnya kepada mengesakan Allah swt, diperhatinya beberapa generasi demi generasi yang lahir setiap saban tahun tiada menambah bilangan penganutnya malah menjadi penentang agamanya pula.

Itulah pepatah orang Melayu ada menyebut 'ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi'.

Ada pada firman Allah swt berikut (seperti di atas) : (( ..dan mereka tidak akan melahirkan selain anak yang berbuat maksiat lagi sangat kafir )). Na'uzubillah min zalik.

Wallahhua'lam...

Rabu, 18 Februari 2009

KEDUDUKAN BASMALAH PADA SURAH AL-FATIHAH DAN KETIKA DALAM SOLAT. SATU PERSOALAN?

Salamun 'alaik,

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada kali ini saya ingin mengupas satu tajuk yang saya kira menarik dan penting untuk diketahui bersama.

Iaitu bagaimana sebenarnya kedudukan basmalah (atau juga dikenali tasmiah, بسم الله الرحمن الرحيم ) dalam surah al-Fatihah secara khusus dan bagaimana hal keadaannya ketika ingin dibacakan dalam sembahyang menurut pandangan para ulama.

InsyaAllah saya cuba kupaskan isu ini dari pandangan kepelbagaian lapangan ilmu yang berbeza untuk pengetahuan kita lebih meluas.

Pengenalan,

Basmalah بسملة adalah kata terbitan dari kata perbuatan بسمل iaitu apabila berkata kalimah : بسم الله الرحمن الرحيم , seperti Hauqola حوقل iaitu apabila berkata kalimah : لا حول ولا قوة إلا بالله .

Pertama : Sepakat kesepuluh ulama Qiraat mendatangkan basmalah ketika permulaan membaca awal ayat dari mana-mana surah melainkan awal ayat surah al-Taubah.

Ibn Hajar dan al-Khatib berpendapat bahawa basmalah diharamkan di awal ayat surah itu sahaja(al-Taubah), demikian juga penulisan kalimah basmalah tidak didapati pada surah itu sepertimana yang tercatat di dalam Mashaf, kerana surah itu diturunkan dengan pedang. Dan makruh hukumnya ketika di pertengahan surah itu.

Manakala al-Ramli berpendapat makruh basmalah pada awal ayat surah al-Taubah, dan sunat membaca basmalah pada pertengahannya.

Berkata Ibn Abbas ra : "Aku menanyakan Ali ra, kenapa tidak ditulis pada surah al-Taubah ((بسم الله الرحمن الرحيم ))? ". Dia menjawab : "Kerana sesungguhnya (( بسم الله الرحمن الرحيم )) adalah keamanan, sedangkan surah al-Taubah diturunkan dengan pedang dan melanggar janji-janji, tiada padanya keamanan".
(Tafsir al-Razi 216/15)
Lihat pada kisah penurunan surah ini untuk lebih lanjut.

Kedua : Adapun ketika di antara dua surah ulama Qiraat berselisih pendapat seperti berikut :
1) Pendapat Imam Qolun, al-Asbahani, Ibn Kathir, 'Asim, al-Kisaie, dan Abu Ja'far
- Basmalah dibacakan, melainkan di antara surah al-Anfal dan al-Taubah.
Berdasarkan Hadis dari Sa'id bin Jabir : "Adalah Nabi saw : Tidak tahu habisnya satu-satu surah sehinggalah turun padanyaبسم الله الرحمن الرحيم

2) Bagi Imam Hamzah
- Menyambungkan akhir surah dengan ayat awal surah selepasnya tanpa basmalah, kerana ingin menjelaskan kalimah di akhir surah tersebut tentang baris i'rab dan binaan kalimah, dan kalimah di awal surah berikutnya tentang Hamzah Qot'ie atau Wasal, hukum izhar, idgham, atau iqlab.

3) Imam Kholaf al-'Asyir, dua pendapat
- Sambungkan seperti Imam hamzah
- Saktah di antara dua surah tanpa basmalah, kerana menandakan pemisah di antara dua surah.
Saktah bermaksud berhenti di akhir kalimah berhenti yang seketika tanpa mengambil nafas baru selama 2 harakat. Dan harakat bermaksud menutup satu jari atau membukanya.

4) Imam al-Azraq, Abu 'Amru, Ibn Amir dan Ya'qub dengan tiga pendapat
- Pendapat no 1)
- Pendapat no 3)

Peringatan : Ini hukum yang umum di antara dua surah samada ianya tersusun rapat seperti di antara surah al-Fatihah dan al-Baqarah, ataupun yang tidak tersusun rapat seperti surah al-Fatihah dan al-Naas. Tetapi dengan syarat surah yang kedua mesti berada di bawah surah yang pertama mengikut tertib susunan dalam al-Quran.

Ilmu Qiraat

Kini, saya kira, saya akan mulakan perbincangan ini dari pengamatan ilmu Qiraat :

Pertama sekali perlu diketahui, tiada perbezaan pendapat dari ulama Qiraat bahawasanya basmalah adalah sebahagian ayat dari surah al-Naml seperti firman Allah swt :
(( إنه من سليمان وإنه بسم الله الرحمن الرحيم )) ayat 30.
Maksudnya : (( Sesungguhnya surat itu dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi)nya : "Dengan Menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang")).

Kedua, begitu juga ulama Qiraat tidak berselisih mengatakan bahawasanya basmalah adalah termaktub di awal surah al-Fatihah.

Ilmu Fawasil

Kesemua ulama 'Adad mengatakan al-Fatihah mempunyai tujuh ayat, secara umunya mereka sepakat, berdasarkan :

- Firman Allah swt : (( ولقد آتيناك سبعا من المثانى والقرءان العظيم )) surah al-Hijr ayat 87.
Maksudnya : (( Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang (al-Fatihah) dan al-Quran yang agung )).

- Dari Ummu Salamah ra berkata : Adalah Rasulullah saw memotong-motong bacaannya, Baginda saw menyebut : (( الحمد لله رب العالمين, ثم يقف, الرحمن الرحيم, ثم يقف, وكان يقرؤها ملك يوم الدين ))

Maksudnya : Nabi saw membaca (( الحمد لله رب العالمين, kemudian berhenti, الرحمن الرحيم , kemudian berhenti, dan Baginda membaca ملك يوم الدين (tanpa alif mad) )).
(Hr Imam Ahmad, Abu Daud, al-Turmizi, Ibn Abi Syaibah, al-Darqutni, al-Hakim, al-Tohawi, al-Tabrani, Abu Ya'la, Ibn Khuzaimah, al-Baihaqi dan al-Khotib. Kesemua mereka dari toriq Ibn Juraij dari Ibn Abi Mulaikah dari Ummi Salamah. Kalau dari rwy Ibn Khuzaimah, al-Darqutni, al-Hakim dan al-Baihaqi dengan lafaz (( Bahawasanya Rasulullah saw membaca di dalam sembahyang : بسم الله الرحمن الرحيم maka baginda mengiranya sebagai satu ayat, الحمد لله رب العالمين sebagai ayat kedua, الرحمن الرحيم ayat ketiga, مالك يوم الدين ayat keempat, dan : Begini إياك نعبد, وإياك نستعين dan menggenggam kelima-lima jarinya)) ).

Dari pemahaman hadis di atas maka ulama 'Adad terbahagi dua pendapat seperti berikut :
1) Pendapat ulama Mekah dan Kufah mengira basmalah sebagai satu ayat.
2) Sedangkan ulama Basrah, Syam dan dua golongan ulama Madinah tidak mengira basmalah sebagai satu ayat bahkan menggugurkannya, dan mengira (( أنعمت عليهم )) sebagai satu ayat pula.

Ilmu Fiqh

Adapun dari sudut pandangan Fiqh, saya hanya mengambil pendapat dari imam 4 mazhab sahaja. Dan dari sinilah kita akan melihat terus jawapan penuh dari persoalan tajuk kita pada kali ini.

1) Basmalah dari sisi mazhab Hanafi
- Bukanlah ia salah satu ayat dari al-Fatihah dan mana-mana surah melainkan surah al-Naml (seperti yang telah kita sebut di atas).

Kerana hadis Anas ra berkata : (( Aku bersembahyang dengan Rasulullah saw, Abu Bakar ra, Umar ra, dan Usman ra, maka aku tidak mendengar salah seorang dari mereka membaca بسم الله الرحمن الرحيم ))
(Hr Muslim dan Ahmad)

- Akan tetapi baca bersendirian بسم الله الرحمن الرحيم secara senyap di setiap rakaat, begitu juga آمين di hujung al-Fatihah oleh setiap pembaca.

Berkata Ibn Mas'ud ra : " Empat perkara yang disenyap-senyapkan imam sembahyang : al-ta'awwuz ( أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ), basmalah, al-ta'min ( آمين ), dan al-tahmid ( ربنا لك الحمد )".
( Rwy Ibn Abi Syaibah dari Ibrahim al-Nakho'ie)

2) Di sisi mazhab al-Syafi'e
- Basmalah adalah salah satu ayat dari al-Fatihah

Kerana riwayat dari Imam al-Bukhori dalam sejarahnya bahawa Baginda saw mengira al-Fatihah dengan tujuh ayat, dan mengira basmalah sebagai satu ayat darinya.

Adapun riwayat dari al-Darqutni dari Abi Hurairah ra, bahawa Baginda saw bersabda : ((Apabila kamu semua membaca الحمد لله , maka bacalah بسم الله الرحمن الرحيم , sesungguhnya ia (al-Fatihah) adalah Ummu al-Quran, Ummu al-Kitab, al-Sab'u al-Mathani (tujuh ayat yang diulang-ulang), dan بسم الله الرحمن الرحيم adalah salah satu ayatnya)).

- Maka tatkala sembahyang yang membaca dengan kuat (sembahyang Subuh, Maghrib, Isyak dan sebagainya) maka kuatkanlah (baca dengan jelas dan terang) basmalah tersebut seperti kita baca al-Fatihah dan surah lain dengan jelas.

Sepertimana yang diriwayatkan dari Ibn Abbas ra bahawa Nabi saw menjelaskan dengan بسم الله الرحمن الرحيم .
(Banyak hadis yang meriwayatkannya samada Imam al-Bukhorie, Muslim dan samada dalam kitab sohih kedua-dua mereka dari enam para sahabat ra : Abu Hurairah ra, Ummu Salamah ra, Ibn Abbas ra, Anas ra, Ali bin Abi Tolib ra, Samrah bin Jundab ra (seperti yang tercatat dalam al-Majmu') ).

3) Di sisi mazhab Malik
- Basmalah bukan satu ayat dari al-Fatihah
- Makruh membaca al-ta'awwuz dan basmalah sebelum al-Fatihah pada sembahyang fardhu. Adapun sembahyang-sembahyang sunat adalah harus, itupun meninggalkan kedua-duanya itu adalah lebih utama selagi tidak mera'ikan khilaf. Mendatangkan basmalah lebih utama jika ingin keluar dari khilaf.

4) Di sisi mazhab Hanbali
- Basmalah adalah satu ayat dari al-Fatihah
- Wajib membacanya di dalam solat sebelum al-Fatihah tapi dengan senyap, tidak diterangkan (tidak dibaca dengan kuat).

Akhirnya

Terpampang di depan mata kita beberapa pendapat beserta dengan hujah-hujahnya bagi mengeluarkan kita dari kepompong kejahilan. Semoga input ini amat bermakna untuk kita semua.

Wallahua'lam...