Ahad, 26 April 2009

HARGA SEORANG MUKMIN : BUKAN DI SISI KELUARGANYA

Salam perjuangan semua,

Sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kita perlulah tahu tentang keberadaan kita dengan iman kita. Posisi mana yang sepatutnya perlu kita berada bilamana kita sudah mengucapkan kalimah 'لا إله إلا الله محمد رسول الله ' dan untuk melaksanakannya. Untuk hal itu, terdapat pada 2 ayat dari 2 kisah yang akan saya ceritakan ini. Iaitu :

Pertama :

Tahun Kesedihan. Itulah tahun yang Baginda saw begitu sedih amat sangat. Kematian bapa saudara yang disayanginya, Abu Tholib dan isteri pertamanya yang dicintai, Ummuna Saidatuna Khodijah binti Khuwailid.

Kematian bapa saudaranya itu banyak memberi perubahan corak dakwah Baginda saw selepas itu. Kerana di masa hayatnya, beliau adalah satu-satunya seorang pemuka bangsa Quraisy yang banyak membela Baginda saw dalam melaksanakan misi-misi dakwah pada bangsa tersebut. Sehingga Quraisy yang lain tidak boleh mengapa-apakan batang tubuh Baginda saw yang mulia itu.

Begitu juga isterinya yang sangat dikasihinya, Saidatuna Khodijah ra. Menjadi tulang belakang kepada suaminya yang merupakan pejuang agama. Sentiasa memberi semangat dan mendengar rintihan ketika Baginda saw dalam keadaan sedih terhadap umatnya yang susah dan menentang perjuangannya.

Pemergian dua insan yang tersayang ini berlaku pada tahun kesepuluh selepas kebangkitan Baginda saw menjadi Rasul Utusan Allah, menjadikan Baginda saw terasa sedih yang mendalam.

Kafir Quraisy mula mengambil langkah yang lebih agresif bagi menghalang perjuangan Baginda saw. Dengan cara menyakiti tubuh badan Baginda saw pula.

Tatkala itu, Baginda saw merasakan perlunya Baginda saw dan orang yang beriman pada masa itu mencari tempat yang selamat untuk mereka duduki bagi menghindari dari kezaliman yang dikenakan oleh kafir Quraisy terhadap mereka.

Penempatan Thoif adalah sasaran awal yang Baginda saw nampak bagi tujuan tersebut.
Namun apakan daya, "Buah yang disangka manis rupanya berulat dalam". Dakwah Baginda saw bukan sahaja ditolak bahkan Baginda saw keluar dari kota tersebut dengan diiringi balingan batu dan duri sepanjang jalan. Hingga kaki-kaki Baginda saw mengalir darah-darah yang suci.

Baginda saw berdoa tatkala itu kepada Tuhannya:
(( Ya Allah ya Tuhanku! Aku mengadu kepadaMu akan kelemahan upayaku, sedikitnya kedratku, hinanya aku di mata pandangan manusia, wahai Tuhan yang lebih kasih dari mereka yang mengasihi, Engkau Tuhan bagi orang yang lemah, dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapakah pabila aku dicaci? kepada siapakah bila aku dilihat dengan wajah yang benci? atau apakah kepada musuh yang Engkau jadikan dia berkuasa terhadap urusanku? jika tidak ada marah dariMu kepadaku maka tidaklah aku peduli, akan tetapi penjagaanMu adalah amat luas terhadapku, aku berlindung dengan cahaya wajahMu yang menyinari seluruh kegelapan...))

Penindasan demi penindasan berlaku ke atas umat Islam. Baginda saw semampu mungkin mencari mana-mana tempat bagi melepaskan dari cengkaman kejam kafir Quraisy.

Oleh kerana itu, pada musim haji, seperti biasa Baginda saw bertemu dengan orang luar yang datang untuk menunaikan haji bagi menyampaikan risalah dakwah Islam kepada mereka.

Maka berlakulah pertemuan yang pertama di antara Baginda saw dan Kaum Aus dan Khazraj seramai tujuh orang (gabungan dua kaum itu dikenali juga sebagai kaum Ansar). Baginda saw mengajak kepada Islam dan mereka menyahutnya. Lalu pulang ke kampung masing-masing mengislamkan pula kaum masing-masing.

Islam mula berkembang sedikit demi sedikit di sana. Benarlah kata-kata : "Selepas malam berlabuh pasti fajar mula menyingsing".

Pada tahun haji berikutnya iaitu tahun kedua belas selepas kebangkitan Nabi, datang pula dua belas orang dari golongan Ansar itu berjumpa dengan Baginda saw dan berbaiah sanggup membawa perjuangan yang penuh suci dan telus ini.

Begitu juga tahun haji berikutnya, datang lagi golongan Ansar seramai tujuh puluh orang lelaki dan dua orang perempuan. Berbaiah pula untuk sanggup membantu dan mendokong perjuangan ini.

Apabila dilihat Islam sudah kuat di bumi Yasrib (sekarang dikenali dengan Madinah al-Munawwarah, Arab Saudi, penempatan golongan Ansar) dan dalam masa yang sama kezaliman kafir Quraisy terhadap umat Islampun bertambah kuat maka Baginda saw mengarahkan supaya orang yang beriman ketika itu supaya berhijrah ke daerah sana, Yasrib.

Berkata al-Kalabi : Tatkala Baginda (dan orang beriman) di arah untuk berhijrah, mulalah ketika itu mereka (umat Islam) berkata-kata dan menanya-nanya kepada orang tuanya, adik-beradiknya dan pasangan-pasangannya : "Kami disuruh berhijrah".

Setengan dari mereka bersegera dalam menunaikan perintah itu dan berlumba-lumba. Namun setengah yang lain terfikir-fikir perkara yang berkaitan dengan pasangannya, keluarganya dan anaknya, lantas mengambil keputusan mahu bersama dengan keluarganya dan meninggalkan hijrah.

Bagi mereka yang masih menetap di bumi Mekah dan meninggalkan perintah hijrah diturunkan ayat ini :
(( قل إن كان ءاباؤكم وأبناؤكم وإخوانكم وأزواجكم وعشيرتكم وأموال اقترفتموها وتجارة تخشون كسادها ومساكن ترضونها أحب إليكم من الله ورسوله وجهاد فى سبيله فتربصوا حتى يأتى الله بأمره والله لا يهدى القوم الفاسقين )) al-Taubah, ayat 24.

Maksudnya :
((Katakanlah (wahai Muhammad)! : "Jika orang tuamu, anak-anakmu, adik-beradikmu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan-perniagaan yang kamu khuatir akan kerugiannya, dan rumah tempat tinggalmu yang kamu sayangi itu, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan berjihad di jalanNya, maka tunggulah Allah mendatangkan keputusanNya", dan Allah tidak beri petunjuk kepada mereka yang yang fasik))

Demikianlah kisah pertama dari ayat yang pertama yang cuba saya bawakan. Semoga ianya benar-benar dapat difahami, yang tersurat dan tersirat.

Bersambung...

Tiada ulasan: