Ahad, 16 Mei 2010

I'JAZ AL-QURAN : ISTILAH YANG DIKENALI SETELAH 6 KURUN HIJRAH

Bismillah, walhamdulillah.

Assalamualaikum wrt wbt

Sidang pembaca sekalian,

Perkataan I'jaz al-Quran adalah satu perkataan yang baru dalam ilmu perbahasan al-Quran, Semasa mula al-Quran turun ianya tidak disebut-sebut sebagai i'jaz sekalipun golongan Muslimin terdahulu mengetahui adanya perkara itu. Sebagaimana kaum Muslimin terdahulu tahu benarnya firman Allah berkenaan peperangan antara bangsa Rumawi dan Parsi, dan matinya Abu Jahal dan al-Walid dalam kekufuran.

Iman mereka bertambah dengan sebab itu tetapi tidak dinamakan lagi sebagai i'jaz. Sedangkan i'jaz yang kita bincangkan nanti antara fungsinya ialah membenarkan kenabian dan kerasulan setiap Utusan Allah, meningkatkan keimana mereka yang beriman dan merendahkan keupayaan dan kesombongan mereka yang kufur.

I'jaz al-Quran adalah salah satu istilah yang mula dikenali selepas berlalunya 6 kurun dalam kiraan kalendar Hijrah (Mafhum al-I'jaz al-Quraniy oleh al-Doktor Ahmad Jamal al-'Umari). Ini disebabkan kalimah عجز yang digunakan dalam al-Quran membawa kepada tafsirannya dari segi bahasa sahaja seperti dalam ayat :

( إلا عجوزا فى الغاربين )
Maksudnya :
(( Kecuali seorang perempuan tua (isterinya) yang termasuk dalam golongan yang tinggal )),
-al-Syu'ara, ayat 171-

dan ayat :

( قالت ياويلتى ءألد وأنا عجوز )
Maksudnya :
(( Dia (isterinya) berkata, "Sungguh ajaib, mungkinkah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua")).
-Hud, ayat 72-

Lagi ayat :

( قال ياويلتى أعجزت أن أكون مثل هذا الغراب فأواري سوءة أخى )
Maksudnya :
(( Qabil berkata, "Oh, celaka aku! Mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, sehingga aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini" )).
-al-Maidah, ayat 31-


Ini kerana ianya adalah yang dipetik dari percakapan orang Arab yang membawa maksud mengisbatkan (menjadikan) kelemahan. Dan asal kelemahan di sini ialah menahan atau menegah dari melakukan sesuatu ataupun terkebelakang dari sesuatu perkara tersebut.

Ini dapat dilihat jika dikatakan : "Dia lemah tentang sesuatu perkara" yakni apabila dia cuba maka dia menjadi tidak mampu samada kemampuannya terbatas ataupun kesungguhannya tidak berjaya.


Secara kesluruhan dari contoh di atas menunjukkan kelemahan dari mengadakan sesuatu perkara, ataupun ketinggalan dalam cara menyelesaikan sesuatu perkara.

Maka secara ringkasnya kita dapati i'jaz vs mampu.

Cumanya apabila disebut ilmu, sepertimana yang diketahui bersama perkataan ilmu itu sendiri menunjukkan sesuatu yang hidup dan ia terus berkembang dan adakalanya ia boleh mengalami kepupusan atas sebab-sebab tertentu.

Begitu juga dengan ilmu al-Quran ini, ianya terus berkembang dan berjalan di atas tangan mereka yang mahir dan mengkaji. Begitu juga dengan semua ilmu yang ada pada hari ini.

Kalau dulunya manusia itu hanya tahu menanak nasi putih, namun sekarang telah lahir pelbagai hidangan nasi yang beraneka macam kerana ianya sentiasa berjalan di atas tangan mereka yang mahir. Komputer pertama yang pertama dicipta sebesar setengah padang bola sepak kini ianya tidak begitu lagi kerana ianya sentiasa berjalan di atas tangan mereka yang mengkaji.

Atas sebab yang sama juga berlaku kepada al-Quran yang Maha Mulia ini. Ilmu-ilmu saintifik yang wujud dalam petikan dan susun kalimah ayat al-Quran mula terbongkar dengan Sains Moden setelah berbelas abad berlalu. Oleh itu ianya bukanlah suatu perkara yang terasing dan pelik bahkan kelahiran situasi ini memenangkan lagi al-Quran yang sememangnya sentiasa menang untuk semua abad, semua tempat dan semua umat.

Sidang pembaca yang dirahmati Allah,

I'jaz yang ditakrifkan oleh ulama dengan maknanya dari segi istilah syar'iyyah ialah : "Perkara yang mencarik adat yang disertai dengan mencabar, lagi terlepas dari penentangan".
(al-Itqan oleh al-Suyuti dalam nau' yang ke-64)

Ibnu Khaldun juga ada menyebut tentangnya dalam Muqaddimahnya :
"Dan Mukjizat itu ialah perlakuan-perlakuan yang melemahkan manusia dari menirunya, lantas dinamakan sebagai mukjizat. Dan tiada dalam kemampuan hamba, dan meletakkan diri mereka di tempat yang mereka sendiri tidak mampu".
(Muqaddimah oleh Ibnu Khaldun m.s. 99)

Sebab itu kedatangan mukjizat ini melawan norma-norma kebiasaan hidup dan undang-undang adat manusia atas tangan para rasul atau nabi bagi membenarkan dakwah yang dibawa bersama dengan mereka yang menyebabkan manusia ramai tidak mampu melawan mukjizat mereka bahkan menandinginya. Sekiranya ini tidak ada maka para rasul dan nabi terdedah dengan perasaan syak wasangka dari orang ramai.

Dalam al-Quran yang Maha Hebat itu jika diperhati, tiada menggunakan perkataan معجزات untuk memberi makna tersebut. Bahkan menggunakan perkataan yang berlainan dari beberapa contoh yang berikut :

1) Unta yang lahir dari sebuah batu atas lisan Nabi Salih as menggunakan perkataan الآية dan البينة seperti firmanNya :

( قد جاءتكم بينة من ربكم هذه ناقة الله لكم ءاية )

Maksudnya :
(( ..Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu..))
-al-A'raf, ayat 73-

2) البرهان bagi mukjizat Nabi Musa as :

( فذانك برهانان من ربك إلى فرعون وملإئه )

Maksudnya :
((..Maka yang demikian itu adalah dua mukjizat dari Tuhanmu (yang akan kamu hadapkan) kepada fira'un dan pengikutnya..))
-al-Qosos, ayat 32-

3) Penggunaan السلطان dalam ejekan kaum kuffar terhadap nabi masing-masing :

( قالوا إن أنتم إلا بشر مثلنا تريدون أن تصدونا عما كان يعبد آباؤنا فأتونا بسلطان مبين )

Maksudnya :
((..Mereka berkata : "Kamu tidak lain hanyalah manusia biasa seperti kami jua. Kamu berkehendak menghalangi kami sepertimana yang disembah oleh datuk nenek-moyang kami, kerana itu datangkanlah kepada kami bukti yang nyata")).
-Ibrahim, ayat 10-

Sidang pengunjung yang dikasihi sekalian,

Sekalipun generasi terdahulu tidak mengenali istilah ini namaun setiap akal yang sihat tidak dapat menafikan bahawa Kitabullah ini adalah bersifat melemahkan sehingga tiada manusia yang dapat menandinginya sekaipun sudah dicabar berkali-kali.

Awal penurunan dahulu kala mencabar mereka dari aspek bahasa mereka sendiri sekalipun mereka adalah ahli bahasa yang hebat dan masyhur sehinggakan nukilan-nukilan mereka masih dikaji dan dipelajari di bilik kuliah bahasa, namun tetap mereka akur akan kelemahan untuk menandinginya.

Sehinggakan al-Nadhar bin al-Harith berlaga kepala dengan kawannya yang musyrik juga ketika cuba mengintai-mengintai mendengar bacaan suci ayat al-Quran yang dialunkan oleh umat Islam. Kemudian berjanji tidak akan datang lagi untuk mendengarnya, namun pada esok harinya berlaga kepala sekali lagi kerana masing-masing tidak tenteram hati jika berada di rumah tanpa mendengar kalam suci Tuhan itu terlebih dahulu.

Sudahlah mereka tidak dapat menandingi bahasa al-Quran bahkan tertarik pula dengannya.

Begitu juga, ilmu Sains Moden yang mula muncul kini pun sudah disebut semenjak seribu tahun setengah yang dahulu dalam al-Quran. Mengapa tidak ilmu ini dibincangkan oleh Bagida saw kepada umat ketika itu?Sudah tentulah kita katakan al-Quran datang mencabar mengikut ilmu yang muncul di sesuatu zaman.

Sehinggalah mencabar ilmu yang bakal wujud di akhir zaman kelak.

Al-Syeikh Hussain al-'Asyari pernah menyebut dalam syarahannya :
"Mengapa umat Islam rata-rata mereka adalah golongan miskin dan sederhana?Dan mengapa pula golongan Kafir adalah mereka yang mempunyai harta dan kuasa yang banyak?Inilah kehebatan al-Quran yang mahu ditonjolkan oleh Pencipta Alam ini. Oleh kerana mereka kaya mereka boleh mengkaji pelbagai ilmu sehinggakan ke ilmu angkasaraya namun semua itu akhir sekali telah disebut di dalam al-Quran yang dibaca oleh umat Islam yang miskin setiap hari".

Sahabat sekalian,

Sekalipun perkataan i'jaz adalah istilah yang terkemudian dalam sejarah umat Islam namun ia adalah salah satu ranting ilmu dari pohon al-Quran.

Sekian, berjumpa lagi. Wassalam...

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jazzakallah

Unknown berkata...

jazakallahu khairan. sangat membantu

Tanpa Nama berkata...

syukran jazilan..sangat2 membantu penulisan esei, mohon izin