Ahad, 5 Oktober 2008

MENGENAL WAQAF DAN IBTIDA'

Respon Dari Pembaca

Alhamdulillah, pada kali ini saya berpeluang untuk menulis artikel berkenaan tajuk yang pernah ditanyakan oleh salah seorang pembaca blog ini kepada saya dalam ruangan 'Dari Hati Ke Hati'. Saudara pembaca tersebut bertanyakan adakah dalam hukum tajwid terdapat istilah waqaf jiril, dan saya memberikan jawapan bahawa saya tidak pernah tahu akan istilah waqaf tersebut bahkan saya katakan kepada dia untuk mengemukakan pengetahuannya itu (yang mungkin saya tidak ada ilmu tentang itu). Namun tiada respon. Lantas saya berfikir untuk mengeluarkan satu artikel yang menyentuh secara khusus akan perbahasan tersebut sebagai satu tatapan ilmu kepada pembaca blog ini.

Permulaan

Secara asasnya memang tidak dinafikan bahawa ulama berbeza pendapat dalam menentukan bilangan dan nama waqaf, kerana tidak sependapat pada maksud ayat-ayat al-Quran tetapi apa yang telah mereka bahagikan tidak terkeluar dari jenis-jenis yang akan saya kemukakan sebentar nanti.

Setiap pembaca al-Quran patut mengetahuinya kerana demikian secara tidak langsung ia menunjukkan seseorang pembaca itu mempunyai pengertian terhadap makna ayat suci al-Quran. Sebagaimana Saidina Ali ra pernah ditanya apakah maksud kalimah tartil yang terdapat pada ayat 4 surah al-Muzammil (( ورتل القرآن ترتيلا )), maka beliau menjawab: "Mentajwidkan huruf dan mengetahui menghentikan bacaan pada rangkaikata yang sesuai".

Begitu juga Imam Ibnu al-Jazari pernah berkata dalam Toiyyibah al-Nasyr:
وبعد ما تحسن أن تجودا # لا بدا أن تعرف وقفا وابتدا
Maksudnya: "Dan selepas engkau memperelokkan dalam pembacaan dengan bertajwid, semestinya pula kenal akan cara waqaf dan cara ibtida'.

Definisi


Waqaf (وقف) menurut:
- bahasa : Berhenti atau menahan.
- istilah : Menghentikan bacaan dengan cara memutuskan suara di akhir perkataan sekejap untuk bernafas dengan niat akan menyambung bacaan semula.

Ibtida' (إبتداء) menurut:
- bahasa : Bermula
- istilah : Menyambung bacaan semula sesudah menghentikan bacaan sementara kerana bernafas.

Pembahagian

Waqaf terbahagi kepada empat jenis seperti berikut:
1) Waqaf Ikhtibari (وقف اختبارى) : Ialah waqaf pada sesuatu kalimah kerana ingin menerangkan hukum kalimah itu dari sudut resamnya pada Mashaf samada terputus atau bersambung, ditulis dengan Ta' Marbutoh atau Ta' Maftuhah, dan lain-lain lagi.
Sebagai contoh:
-Boleh waqaf pada kalimah فى dalam ayat (( إن الله يحكم بينكم فى ما هم فيه يختلفون )) surah al-Zumar ayat 3.
-Tetapi tidak boleh waqaf pada kalimah فى yang bersambung dengan kalimah ما pada ayat (( قالوا فيما كنتم )) surah al-Nisa' ayat 97. Ini kerana tulisan Resam Usmani sebegitu rupa.

Hukumnya : Harus, dengan cara mengulang kembali kalimah yang diwaqafkannya atau kalimah sebelumnya untuk menyempurnakan maksud dari ayat tersebut.

2) Waqaf Idhtirari (وقف اضطرارى) : Ialah waqaf ketika sebab terdesak seperti kurang nafas, bersin dan sebagainya.

Hukumnya : Harus, bagi si pembaca yang waqaf kerana sebab terdesak lalu apabila hilang sebab terdesak itu mestilah mengulang kembali menyebut kalimah yang diwaqafkannya atau kalimah sebelumnya bagi menyempurnakan maksud ayat bacaannya itu.

3) Waqaf Intizari ( وقف انتظارى ) : Ialah waqaf pada sesuatu kalimah dengan tujuan mencukupkan bentuk-bentuk qiraat yang ada dalam kalimah itu.

Hukumnya : Harus, ini biasanya dilakukan oleh penuntut dalam bidang ilmu Qiraat. Mereka membaca satu ayat dengan pelbagai bentuk qiraat sehingga habis khilaf qiraat yang ada dalam ayat tersebut dengan pemerhatian dan tunjuk ajar dari guru mereka (talaqi dan musyafahah). Jika ayat itu terlalu panjang sudah tentulah memerlukan kemahiran untuk waqaf pada kalimah yang sesuai, kemudian diulang dengan bentuk qiraat yang lain sehingga selesai. Kemudian barulah disambung dengan potongan rangkaikata ayat yang berbaki itu.

4) Waqaf Ikhtiyari (وقف اختيارى) : Ialah waqaf yang boleh dibuat pilihan dengan tanpa sebab-sebab yang telah disebut sebelum ini.

Dan waqaf jenis ini mempunyai beberapa pembahagian yang sudah dikenali ramai sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibnu al-Jazari dalam Toiyyibah al-Nasyr:
فاللفظ إن تم ولا تعلقا # تام وكاف إن بمعنىً علقا
قف وابتدئ وإن بلفظ فحسن # فقف ولا تبدا سوى الآى يسن
وغيرما تم قبيح وله # يوقف مضطرا ويبدا قبله

Maksudnya : "Maka lafaz yang sudah sempurna dan tidak mempunyai sangkutpaut (makna dengan selepasnya), ialah Waqaf Tam dan Waqaf Kaf jika mempunyai sangkutpaut makna (dengan selepasnya). Waqaflah dan mulakanlah (dengan kalimah seterusnya) dan jika mempunyai sangkutpaut dari sudut lafaz (ia adalah) Waqaf Hasan, boleh waqaf dan tidak boleh memulakan bacaan melainkan dimulakan dengan kalimah sebelumnya. Dan selain (yang telah disebut) ini adalah Waqaf Qobih dan bagi si pembaca, boleh waqaf secara terdesak (pada mana-mana kalimah) dan dimulakan kembali dengan kalimah sebelumnya".

Seperti yang dapat difahami dari matan di atas tadi, Waqaf Ikhtiyari terbahagi kepada empat jenis seperti berikut:
1) Waqaf Tam وقف تام (Berhenti sempurna) : Iaitu waqaf yang sempurna maknanya, dan tidak terikat dengan selepasnya dari sudut lafaz dan makna.

Seperti : (( إنما يستجيب الذين يسمعون والموتى يبعثهم الله ثم إليه يرجعون )) surah al-An'am ayat 36. Waqaf pada يسمعون adalah Waqaf Tam kerana sudah sempurna makna dari rangkaikata ayat tersebut dan rangkaikata selepasnya mempunyai makna yang lain pula.

Ia juga diberi nama Waqaf Lazim وقف لازم dan di dalam Mashaf ia diberi tanda ( مـ ) untuk menunjukkan jenis berhentinya adalah Waqaf Tam. Menunjukkan semestinya waqaf pada kalimah itu.

2) Waqaf Kaf وقف كاف (Berhenti Mencukupi) : Iaitu waqaf di satu kalimah yang sempurna maknanya tetapi masih mempunyai sangkutpaut dengan kalimah selepasnya dari sudut makna bukan dari sudut lafaz.

Seperti : (( واذكر فى الكتاب إبراهيم إنه كان صديقا نبيا )) surah Maryam ayat 41. Waqaf pada إبراهيم adalah Waqaf Kaf, maknanya sudah cukup tetapi masih mempunyai kaitan dengan makna pada kalimah selepasnya.

Dalam Mashaf ia diberi tanda ( قلى ) (lebih kurang, ini kerana komputer saya tidak mempunyai tanda yang serupa dengan tanda yang ada dalam Mashaf). Menunjukkan waqaf pada satu kalimah itu lebih utama dari menyambungnya.

3) Waqaf Hasan وقف حسن (Berhenti Elok) : Iaitu waqaf yang sempurna makna pada dirinya tetapi makna dan lafaznya masih terikat dengan kalimah selepasnya.

Seperti : (( الحمد لله رب العالمين )). Boleh waqaf di sini tetapi masih mempunyai kaitan makna dan lafaz selepasnya.

Di dalam Mashaf diberi tanda (صلى) (lebih kurang macam tanda ini, ini kerana komputer saya tidak mempunyai tanda yang serupa dengan tanda yang ada dalam Mashaf). Menunjukkan menyambung bacaan adalah lebih utama dari mewaqafkannya tetapi boleh sahaja untuk waqaf di situ.

4) Waqaf Qobih وقف قبيح (Berhenti Tidak Elok) : Iaitu waqaf pada kalimah yang masih tidak sempurna maknanya dan mempunyai kaitan dengan kalimah selepasnya dari segi lafaz dan makna.

Seperti: (( وعد الله الذين ءامنوا وعملوا الصالحات لهم مغفرة وأجر عظيم )) surah al-Maidah ayat 9. Waqaf pada الصالحات adalah Waqaf Qobih kerana makna ayat masih tidak sempurna.

Di dalam Mashaf ianya diberi tanda (لا) menunjukkan jenis berhentinya adalah Waqaf Qobih. Maka dilarang waqaf di sesuatu kalimah yang terdapat tanda itu melainkan tidak cukup nafas atau bersin dan sebagainya. Apabila hendak memulakan bacaan semula hendaklah mengulang dari kalimah وعـد hingga akhir ayat.

Tambahan

Di sana, ada tambahan waqaf yang selain dari empat Waqaf Ikhtiyari yang telah disebut seperti:

1) Waqaf Jaiz وقف جائز (Berhenti Harus) : Ianya diberi tanda di dalam Mashaf (ج) untuk menunjukkan seorang pembaca al-Quran harus waqaf pada sesuatu kalimah itu ataupun terus menyambungkan bacaannya kerana waqaf padanya tidak sampai merosakkan makna ayat tersebut.

Seperti : (( ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله واسع عليم )) surah al-Maidah ayat 54. Waqaf pada يشاء adalah Waqaf Jaiz kerana ianya tidak sampai merosakkan makna ayat tersebut.

2) Waqaf Ta'anuq وقف تعانق (Berhenti Berikat) : Sejenis waqaf yang perlu kita perhatikan terlebih dahulu di mana kita akan kita waqaf bacaan pada salah satu di antara dua tempat yang berdekatan. Jenis ini dalam Mashaf diberi tanda tiga titik seperti titik huruf Syin ش (Harap maaf kerana komputer saya tidak mempunyai tanda yang serupa dengan tanda yang ada dalam Mashaf).

Seperti : (( ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين )) surah al-Baqarah ayat 2. Terdapat dua tanda (tiga titik seperti yang dinyatakan di atas); satu tanda pada kalimah ريب, dan satu lagi pada kalimah فيه. Pembaca boleh waqaf pada salah satu tempat sahaja, dan tidak boleh pada kedua-dua tempat. Namun boleh juga memilih untuk tidak waqaf pada kedua-dua tempat tersebut.
Ianya juga diberi nama Waqaf Muraqabah وقف مراقبة (Berhenti Pemerhatian).

Penutup

Demikianlah jenis-jenis waqaf dan pembahagiannya yang terdapat di dalam al-Quran. Namun kini semua Mashaf yang dicetak telah mempunyai tanda-tanda waqaf seperti yang disebutkan tadi yang telah diletakkan oleh para ulama untuk memudahkan orang ramai membaca al-Quran. Semoga artikel ini dapat memantapkan ilmu dan mengenalkan kita lagi tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Kalamullah ini. Amin..

14 ulasan:

Miss Aizamia berkata...

terima kasih ustaz. dah lame cari pasal ni. byk membantu.

SITI KHADIJAH berkata...

saya ada jual al-quran, boleh tengok..http://manisjelita.blogspot.com/2012/09/al-quran-al-qarim-terjemahan-lafziyyah.html

Unknown berkata...

t.kasih ustaz.. disini saya ingin tanya pada ustaz, waqaf ithmam perlu tak apabila kita waqaf pada huruf nun berbaris domah?

pusat bahasa arab mikro berkata...

Terima Kasih ustaz, mitak izin copy ye...

Unknown berkata...

Salam, Boleh tuan bincangkan wakaf yang wajib atau mesti diraikan dalam surah fatihah. Saya ada dengar video ini https://www.youtube.com/watch?v=mw8sxpaRv_o, ada 4 wakaf tam dalam fatihah. (lihat minit 36)

Tanpa Nama berkata...

Mohon maaf..
Tertarik dengan soalan tersebut.sekadar perkongsian yang pernah saya pelajari..
Mad aridh lissukun ada beberapa pilihan cara wakaf
1)jika huruf akhir berbaris dia atas - harus kita membaca dengan salah satu cara wakaf berikut..
2 harakat sukun
4 harakat sukun
6 harakat sukun
2) jika huruf akhir berbaris di bawah pula harus diwakafkan dengan salah satu cara berikut
2 harakat sukun
4 harakat sukun
6 harakat sukun
2 harakat roum
3) jika huruf akhir berbaris dhummah(baris hadapan) maka harus dibaca dengan pilihan berikut
2 harakat sukun
4 harakat sukun
6 harakat sukun
2 harakat roum
2 harakat isymam
4 harakat isymam
6 harakat isymam

Wallahu a'lam

Mohon ustaz atau yang lebih arif perbetulkan jika ada kesilapan dalam memahami ilmu ini.

Terima kasih...

Unknown berkata...

penerangan tentang waqaf jaa ustaz. Tentang ibtida' x ada kaa. Tentang ibtida' ada maksud dan istilah jaa.

Unknown berkata...

mane maksud wakaf lazim dan kafi?

Tanpa Nama berkata...

Xtau

Tanpa Nama berkata...

Apakalah kebaikan mengetahui wakaf dan ibtida?

Abuafnan berkata...

Baarakallahu fiik

Unknown berkata...

Al Ustaz berapa jumlah Wakaf Lazim, Wakaf Qubih yang terdapat dalam Al Quraan kita dll sebagai panduan kami. TK

pelangipurple berkata...

Alhamdulillah ... terima kasih atas perkongsian. Halalkan ilmu ini untuk saya kongsi dengan pelajar saya.

Hannani Ruwaidiyah Ruwaidiyah berkata...

jazakallahu khairan kathiiran jaza waljannah ustaz atas ilmunya, sgt jelas dan faham. barakallahu fik