Isnin, 1 September 2008

Al-Quran : Membacamu Tidak jemu

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Di sisi para bahasa, mereka berpendapat al-Quran berasal dari : kata kerja Qo, Ro, A yang memberi makna membaca.

Ada pendapat menyatakan bahawa ianya membawa makna:
1) Pengumpulan
2) Merangkaikan
3) Akrab atau dekat
4) Kitab suci agama Islam

Di sisi para ulama Usul dan Feqah ialah : (mempunyai 8 ciri)
1) Kalam Allah swt yang mempunyai mukjizat,
2) yang mencabar dengan sependek-pendek surah darinya akan sesiapa saja untuk membawa surah yang mempunyai kehebatan seperti yang ada di dalamnya,
3) yang diturunkan kepada penutup para nabi dan rasul iaitu Nabi Muhammad saw dengan perantaraan Malaikat Jibril as,
4) yang tertulis pada mushaf,
5) yang sampai kepada kita secara mutawatir,
6) yang membacanya adalah dianggap ibadah,
7) yang boleh dibaca di dalam sembahyang,
8) dan dimulai dengan surah al-Fatihah dan diakhiri surah al-Nas.

Sejarah Penurunannya

Firman Allah swt : "Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan al-Quran di dalamnya...", surah al-Baqarah, ayat 185. Dan firmanNya lagi : "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) di malam Lailatul Qadar", surah al-Qadr, ayat 1.

Apa yang dapat difahami dari dua ayat di atas, al-Quran itu diturunkan sekaligus ke langit dunia yang digelar dengan nama Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar, kemudian diturunkan secara berperingkat kepada Rasulullah saw selama dua puluh lima tahun mengikut
peristiwa yang berlaku dan soalan-soalan dari manusia yang ada pada masa itu.

Mula-mula yang diturunkan

Aisyah ra menceritakan : "Wahyu mula-mula kepada Rasulullah saw ialah mimpi yang benar. Baginda saw nampak dalam mimpinya seperti dinihari waktu Subuh, kemudian Baginda saw suka mengasingkan diri, dia datang ke Gua Hira' dan beribadah (serta bertafakkur) beberapa malam di dalamnya, dan Baginda saw mengambil bekalan untuk tujuan itu dengan kembali pulang kepada Khadijah ra, dan mengulang-ngulang akan keadaan itu. Sehingga, datang kebenaran ketika Baginda saw sedang berada dalam Gua Hira. Datang malaikat kepadanya dan berkata: "Bacalah!", lalu Baginda bersabda sambil bercerita: ""Aku tidak boleh membaca", lalu dia memeluk ku dengan kuat sehingga terasa sakit dan melepaskan semula, dan dia berkata lagi: "Bacalah!", aku berkata: "Aku tidak boleh membaca", dia memeluk aku dengan kuat buat kali kedua dan melepaskan semula, dan dia berkata lagi"Bacalah!", aku berkata: "Aku tidak boleh membaca", dia memeluk aku dengan kuat buat kali ketiga dan melepaskan semula, lalu dia berkata: ((Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang telah menciptakan. Yang telah mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmulah Yang maha pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam (tulis dan baca). Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya))surah al-'Alaq, ayat 1 hingga 5".

Sejarah Pembukuan al-Quran

Terdapat tiga peringkat sejarah al-Quran untuk dijadikan sebagai satu mashaf seperti yang dapat kita lihat pada hari ini:
1) Di zaman Baginda saw masih ada, al-Quran dijaga dan dihafal dalam dada para sahabat. Ada ditulis di atas kulit-kulit binatang, pelepah-pelepah tamar yang lebar, batu-batu putih yang nipis tapi tidak tersusun surah-surahnya dan tidak terhimpun di satu tempat.

2) Di zaman pemerintahan Abu Bakar ra, dihimpun di satu tempat dengan disusun ayat-ayatnya menjadi bentuk suhuf-suhuf surah. Tapi masih bercerai di antara surah-surahnya, yakni tidak tersusun secara tertib.

3) Di zaman pemerintahan Osman ra, surah-surah disusun mengikut tertib dan disalin menjadi satu mashaf sepertimana yang kita baca dan saksikan pada hari ini.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alhmdulillah, seronok membaca artikel2 ilmiah sebegini, smga kita dapat sampaikan ilmu2 yg kita perolehi...barakallahufik us suhaimi.