Selasa, 2 September 2008

Khatam al-Quran 8 kali Sehari?

KEBIASAAN SALAFUSSOLEH

Ibnu Abi Daud menceritakan bahawa kalangan salafussoleh, sebahagian mereka mengkhatamkan al-Quran dua bulan sekali, ada yang setiap bulan sekali khatam, ada yang setiap sepuluh hari sekali, setiap lapan hari sekali,dan kebanyakan mereka khatam setiap tujuh hari sekali, ada juga setiap enam hari sekali, setiap lima hari sekali, setiap empat hari sekali, banyak juga setiap tiga hari sekali, dan ada juga setiap dua hari sekali. Dan ramai juga yang satu hari sekali khatam, dua kali khatam atau tiga kali khatam. Ada sebahagian mereka lapan kali khatam dalam masa sehari, empat kali pada siang hari dan empat lagi pada waktu malam pula.

SIAPAKAH MEREKA?

Mereka yang mengkhatamkan al-Quran :
1) Sekali sehari semalam ialah Saidina Osman ra, Tamim al-Dari, Said bin Jubair, Mujahid,
Imam al-Syafie dan selain mereka.
2) Tiga kali sehari semalam ialah Sulaim bin 'Itr ra (Kadi Mesir di zaman pemerintahan
Mu'awiyah ra). Diceritakan juga dia selalu mengkhatamkan al-Quran pada waktu malam
sahaja tiga kali, dan kadang-kadang empat kali.
3) Empat kali pada waktu siang dan empat kali pada waktu malam ialah Ibnu al-Katib ra. Ini
adalah peringkat yang paling tinggi setakat yang pernah diketahui. Waktunya di antara
Zuhur dan Asar sekali khatam, Maghrib dan Isya' sekali khatam dan dua kali khatam pada
bulan Ramadan.
4) Mujahid dan Ali al-Azdi mengkhatamkan al-Quran pada setiap malam di bulan Ramadan di
antara waktu Maghrib dan Isya'.
5) Sekali khatam dalam satu rakaat sembahyang ialah Osman bin 'Affan ra dan Tamim al-Dari.

BENARKAH HAL DEMIKIAN TERJADI?

Sepatutnya kita menjaga pembacaan al-Quran dan memperbanyakkannya. Sebab itu, setiap individu berbeza dengan individu yang lain. Sesiapa yang diberi pemikiran yang mendalam dan rahsia-rahsia al-Quran hendaklah ia memperbanyakkan bacaan al-Quran dengan kadar kemampuannya itu. Begitu juga sesiapa yang sibuk dalam menuntut ilmu atau lain-lain kepentingan agama dan kemaslahatan umat maka hendaklah ia membanyakkan membaca al-Quran dengan semampu mungkin.

Sabda Baginda saw kepada Abdullah bin Amru: "Bacalah al-Quran setiap bulan", berkata Abdullah : "Aku mampu lebih lagi", lantas Baginda bersabda lagi: "Maka bacalah ia setiap dua puluh malam", maka berkata Abdullah : "Aku mampu lebih lagi", lantas Baginda bersabda: "Maka bacalah setiap tujuh hari dan jangan lebih dari itu". Begitu juga sabda Baginda: "Tidak akan memahami bacaan al-Quran bagi sesiapa yang membacanya kurang dari tiga hari". Wallahu 'Alam.

Tiada ulasan: