Rabu, 22 Julai 2009

Makluman kepada al-Mizzi (berkenaan Iltifat dalam al-Quran)

Salam sahabat pengunjung,

Baru-baru ini ada permintaan dari salah seorang sahabat pengunjung yang bernama al-Mizzi untuk menghuraikan serba sedikit tentang Iltifat yang berlaku pada ayat-ayat al-Quran.

Penulis memohon ribuan kemaafan kerana tidak dapat menunaikan hajat tersebut. Hal demikian adalah kerana perbincangan tersebut ada dalam sukatan pelajaran tahun 2 di Kuliah al-Quran al-Azhar Tonto. Sedangkan penulis baru ingin mengurus kemasukan ke sana pada awal bulan depan. InsyaAllah kalau berkesempatan lagi akan dihuraikan perbincangan tajuk tersebut secara tepat di masa akan datang.

Sekalipun begitu, Iltifat ialah satu cara penuturan Allah swt kepada hambaNya yang menggunakan bentuk pemalingan ketika berbicara. Dan ia mempunyai beberapa kehebatan dan kelebihan dari segi psikologi.

Misalan yang mudah untuk tajuk itu ialah seperti seorang ibu sedang bersembang dengan si ayah tentang anak-anak jiran mereka sudah ramai yang dah berkahwin. Ketika itu anak bujang mereka yang sudah berumur sedang duduk di hadapan dalam keadaan bukan sedang sama-sama bersembang. Mungkin sedang membaiki kipas yang rosak atau sebagainya tetapi berada di hadapan mereka berdua. Jadi dia lebih banyak mendiamkan diri kerana sedang sibuk dengan aktivitinya ketika itu. Sedang si ibu dan si ayahnya rancak bersembang tentang perkahwinan anak jiran mereka tiba-tiba si ibu terus bertanya : "Ujang oi! Kau pulak bila nak kawin nye. Mak ni pun nak la rasa ada menantu sendiri". Boleh jadi anak bujangnya itu tersentak dan terkejut dan tergamam. Sebab pada sangkaannya, mak dan ayahnya hanya bersembang tentang anak jiran mereka bukan tentang dirinya tetapi dipalingkan tajuk perbualan itu kepadanya.

Segi logiknya memanglah dirinya sendiri tergolong dalam golongan yang disembangkan oleh kedua orang tuanya, tetapi penghujung perbualan itu didatangkan bentuk pertanyaan secara pemalingan kepada anak bujang mereka.

Inilah keadaan yang lebih kurang sama dengan hikmah Iltifat (pemalingan) yang berlaku dalam kebanyakan ayat-ayat al-Quran, untuk memberi sentakan kepada si pendengar ayatNya.

Semoga lakaran ini memberi gambaran secara ringkas kepada semua sahabat dan khususnya kepada sahabat al-Mizzi berkenaan tajuk yang ditanyakan oleh beliau. Terima kasih atas sokongan yang membina ini.

Akhirnya, saya mohon doa dari sahabat pengunjung semua supaya Allah memperkenankan hajat-hajat saya. Dan saya doakan kembali supaya sahabat mencapai apa yang dicita dalam perkara kebajikan. Amin...

Tiada ulasan: