Jumaat, 12 September 2008

I'JAZ HUKUM TAJWID 1 - (Sambungan)

Pembaca yang dihormati sekelian,

Dalam catatan yang lepas, kita telah ketahui bahawa bacaan yang terdapat dengung adalah bacaan yang agak sedikit memerlukan masa di antara dua kalimah. Lantas ia menunjukkan sesuatu yang bersifat "makan masa', dan ada sesuatu yang berada tengah di antara dua perkara.

Pada kali ini, kita akan melihat lagi pelbagai contoh untuk menjelaskan lagi keistimewaan yang terdapat dalam hukum Izhar ketika seorang membaca al-Quran. Semoga dapat dirasakan makna atau mesej yang tersirat yang ingin disampaikan oleh Allah kepada setiap pembaca 'surat-surat'Nya itu.

Contoh-contoh dari firman Allah swt:

1) ((قل هو الله أحد # الله الصمد # لم يلد ولم يولد # ولم يكن له كفوا أحد ))
- Tiada dengung atau tempoh masa panjang kerana ia menunjukkan satu perkara yang Qat'i (perkara yang tidak boleh dipertikaikan).

2) ((فلا خوفٌ عليهم )) al-Baqarah ayat 38
- Tiada dengung pada tanwin tersebut, tidak perlukan masa bermakna tiada ada rasa takut dalam hati orang yang mengikut petunjuk Allah walau sedetik sekalipun.

3) (( الذى أطعمعهم منْ جوع وءامنهم منْ خوف )) Quraisy ayat 4
- Terdapat dengung pada (( من جوع )) menunjukkan ada tempoh masa untuk menghilangkan rasa lapar orang Quraisy ketika mereka bermusafir pada musim sejuk dan panas. Sebab itu mereka disuruh untuk menyembah Allah.
- Adapun pada (( من خوف )) tiada dengung menunjukkan cepatnya rasa takut itu hilang dengan datangnya perasaan aman dan tenang.

4) (( وما الله بغافلٍ عما تعملون )) al-Baqarah ayat 74
- Tanwin bertemu huruf 'Ain tiada dengung, menjelaskan sesuatu yang Qat'i. Bahawasanya Allah swt tidak ada alpa dan lalai dari apa yang kamu lakukan sekalipun sesaat.
- Sedangkan alpa dan lalai di sisi manusia itu ada dan tak dapat dipisahkan sepertimana dalam firman Allah: (( وهم فى غفلةٍ معرضون )) al-Anbiya' ayat 1 dan (( كنا فى غفلةٍ من هذا )) al-Anbiya' ayat97. Kedua-duanya terdapat dengung (maka ia memerlukan masa untuk menuturkan dengung tersebut), menunjukkan bahawa manusia itu adalah lalai dan leka terhadap Hari Kebangkitan untuk tempoh masa yang lama selama mereka hidup di dunia ini.

5) (( وما منْ إله إلا الله )) Ali 'Imran ayat 62
6) (( والله عزيزٌ حكيم )) (( والله سميعٌ عليم )) (( والله غفورٌ رحيم )) dan lain-lain lagi.

Kesimpulan

Di sana, ada banyak lagi contoh-contoh ayat yang berkenaan jika diteliti dan direnung kita akan dapati maksud yang tersirat. Oleh itu, Allah itu Maha Hebat sehingga sekecil-kecil sudut yang datang dariNya ada perkara besar di sebaliknya yang akan diperolehi oleh mereka yang mempunyai akal fikiran. Wallahu 'Alam...

NOTA:
Ayat-ayat yang dikemukan di atas sila lihat terjemahan al-Quran untuk mengetahui maknanya. Dan sesiapa yang kurang memahami artikel ini, sila rujuk kepada ustaz-ustazah dan alim ulama yang ada. Sekian, terima kasih.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam,bolehkah saya share di tempat lain ? syukran

Tanpa Nama berkata...

salam mohon share bolehkah?

Sue Reez berkata...

SubhanAllah sungguh bermanfaat
Jzkk ustaz. Teruskan menulis & berkongsi ilmu2 Kalamullah ni.